Wednesday, 27 March 2019

MENURUNKAN BERAT BADAN DENGAN DIET DAN SENAMAN : SIRI 2

MENURUNKAN BERAT BADAN DENGAN DIET DAN SENAMAN : SIRI 2
_____________________________________________________________
MENETAPKAN SASARAN DAN STRATEGI MENGURANGKAN BERAT BADAN
Untuk memahami siri ke-2 ini anda mesti membaca tulisan saya di siri 1 di pautan ini (https://www.facebook.com/rushdan.noor/posts/10213014178937010). Jika tidak anda tidak akan faham.
Dalam siri ke-2 ini anda akan mempelajari bagaimana mengukur BMI ataupun Body Mass Index dan menentukan sasaran berat badan yang ingin dicapai. Anda juga akan mempelajari bagaimana mengukur REE/BMR dan Daily Calorie Requirement (DCR)
1. Tetapkan sasaran anda iaitu berapakah berat badan yang ingin anda capai. Ini dapat ditentukan dengan kaedah mengukur BMI ataupun Body Mass Index. Kaedah mengukur BMI adalah mudah iaitu berat badan anda di dalam kilogram dibahagi dengan tinggi (meter) kuasa dua ataupun guna kulkulator BMI online di pautan ini: http://www.nutriweb.org.my/index.php?bmi-calculator
2. Katakan Berat Badan anda adalah 80 kg dan tinggi anda 5 kaki 7 inci ataupun 1.72 meter, BMI anda adalah 27. Anda dianggap mempunyai berat badan berlebihan. Obes adalah apabila BMI lebih daripada 30. Saya syorkan anda sasarkan BMI di antara 20-24.
3. Jika anda mensasarkan BMI 24, maka apakah berat badan yang ingin anda capai? Caranya adalah dengan mendarab 24 dengan tinggi (meter) yang dikuasa duakan. Memandangkan tinggi anda 1.72 meter, tinggi kuasa dua adalah 1.72 X 1.72 ataupun 2.96. Maka berat badan yang ingin anda capai adalah 24 X 2.96 = 71 kg. Memandangkan berat badan anda sekarang adalah 80, anda perlu menurunkan sebanyak 9 kg untuk mendapat 71 kg ataupun BMI 24.
4. Langkah seterusnya adalah anda perlu mengira berapakah jumlah kalori yang dibakar dalam sehari (DCR) dengan menggunakan Online Calorie Calculator di pautan ini : https://www.calculator.net/calorie-calculator.html
ataupun menggunakan formula yang saya berikan di dalam siri pertama.
Jika anda adalah seorang lelaki yang berusia 45 tahun dengan berat badan 80kg dan tinggi 172 cm, REE ataupun BMR anda adalah 1655 kalori. Jika anda bekerja pejabat dan jarang aktif/bersenam (little or no exercise), daripada online calculator di atas, jumlah kalori yang dibakar dalam sehari adalah 1,986 kalori. Maka jika anda mengambil makanan yang membawa 1,986 kalori yakni bersamaan dengan kalori yang dibakar oleh badan anda, berat badan anda akan kekal 80 kg.
5. Anda sudah meletakkan sasaran menurunkan berat badan sebanyak 9 kg. Kadar penurunan berat badan tidak boleh terlalu banyak kerana ini akan memudaratkan kesihatan anda. Kadar maksimum yang dibenarkan adalah 1 kg dalam seminggu. Jika anda ingin menurunkan berat badan pada kadar yang lebih besar, anda perlu mendapat nasihat daripada doktor ataupun pakar dietetik. Anda mempunyai 3 kaedah bagaimana untuk mencapai sasaran ini iaitu:
a. DIET SAHAJA. Mengawal pengambilan kalori sahaja yakni anda hanya menurunkan pengambilan makanan supaya berlaku kalori defisit tanpa melakukan senaman ataupun aktiviti fizikal.
b. SENAMAN SAHAJA.Hanya melakukan senaman sahaja tanpa mengambil berat tentang makanan yang diambil. Maksudnya anda hanya melakukan senaman untuk mengurangkan berat badan.
c. DIET DAN SENAMAN. Menggunakan kedua-dua kaedah iaitu mengurangkan pengambilan kalori dan juga melakukan senaman secara tetap.
Pilihan (a) dan (b) mempunyai kelemahan dan boleh menyebabkan program menurunkan berat badan anda gagal, di samping kesan sampingan. Untuk pilihan (a), anda perlu menuurangkan pengambilan kalori yang banyak dan ini boleh memudaratkan kesihatan di samping anda tidak mendapat manfaat melakukan senaman. Menggunakan pendekatan (b) pula adalah sukar kerana anda perlu melakukan senaman yang berat sehingga mungkin badan anda tidak mampu melakukannya. Maka pilihan yang terbaik adalah dengan memilih kaedah (c) di mana anda menggunakan kedua-dua kaedah iaitu mengurangkan pengambilan kalori dan juga melakukan senaman untuk membakar kalori. Dengan pilihan (c) ini anda tidak perlu mengurangkan pengambilan kalori yang terlalu rendah dan melakukan senaman yang terlalu berat.
DALAM SIRI KE-3, KITA AKAN BELAJAR BAGAIMANA UNTUK MENGUKUR KALORI YANG DIAMBIL DAN KALORI YANG DIBAKAR SESUAI DENGAN KAEDAH (c).
IKUTI SIRI KE-3
DDr Rushdan Noor


MENURUNKAN BERAT BADAN DENGAN DIET DAN SENAMAN : SIRI 1

MENURUNKAN BERAT BADAN DENGAN DIET DAN SENAMAN : SIRI 1
-----------------------------------------------------------------------------
Kaedah yang terbaik untuk menurunkan berat badan yang disyorkan oleh doktor dan pakar dietetik adalah melalui kawalan makanan dan senaman. Saya akan berkongsi dengan anda apa yang saya faham berkenaan dengan kaedah menurunkan berat badan ini. Anda perlu faham bahawa Ini hanyalah teori, jadi jika anda ingin memastikan ianya berkesan, anda perlu mempraktikkannya. Ini adalah juga panduan untuk diri saya sendiri.
1. Apabila anda makan, makanan itu akan dibakar untuk menghasilkan tenaga. Tenaga penting untuk menjalankan fungsi organ badan yang normal.
2. Kalori adalah unit tenaga dan ianya diperolehi daripada makanan yang mengandungi karbohidrat, lemak dan protein. Jadi sumber tenaga bukan sahaja daripada karbohidrat seperti nasi dan roti, tetapi juga daripada lemak dan protein seperti daging.
3. Apabila anda makan, anda bolehlah dikatakan memasukkan sejumlah kalori ke dalam badan. Kemudian kalori ini akan dibakar oleh badan.
4. Walaupun anda berehat dan tidur, badan perlu membakar sejumlah tertentu kalori untuk mempertahankan fungsi organ badan anda. Jumlah kalori yang dibakar ketika rehat ini dinamakan REE ataupun "Resting Energy Expenditure".
5. REE berbeza daripada seorang dengan seorang yang lain. REE bergantung kepada berat badan, tinggi, usia dan jantina anda. Sumber REE ini tentulah daripada makanan anda. REE juga dikenali sebagai BMR (Basal Metabolic Rate).
6. Kaedah yang paling tepat untuk mengira REE adalah berdasarkan kepada Mifflin St.Jeor Equation. Formulanya adalah seperti berikut:
REE(lelaki)= (10X Berat(kg) + (6.25 X Tinggi(cm) - (5 X Usia (tahun) + 5.
REE (wanita) = (10 X Berat (kg) + (6.25 X Tinggi(cm) - 161
7. Jangan pening, kini sudah ada mesin pengira online yang sangat mudah. Anda hanya perlu isikan ruangan kosong dan komputer akan mengira untuk anda. Tapi kalau anda ingin mengira sendiri dengan formula di atas pun tidak susah.Hasil daripada kiraan ini adalah jumlah kalori yang dibakar dalam sehari ketika anda rehat.
8. Jika anda bekerja dan melakukan aktiviti tambahan, maka jumlah kalori yang perlu dibakar tentu lebih tinggi. Ahli sains telah menemui formula bagaimana mendapatkan jumlah kalori yang dibakar apabila anda bekerja ataupun melakukan aktiviti fizikal. Untuk mengira jumlah kalori yang perlu dibakar semasa anda bekerja, anda perlu mendarabkan REE dengan faktor aktiviti yang bernilai antara 1.2-1.9 mengikut jenis aktiviti yang anda lakukan setiap hari. Nilai 1.2 adalah untuk pekerjaan yang paling ringan, manakala 1.9 adalah pekerjaan yang paling berat. Katakan REE anda adalah 2000 kalori, jika anda bekerja di pejabat dan tidak aktif, jumlah kalori yang dibakar adalah 2000 X 1.2 bersamaan dengan 2,400 kalori. Jumlah ini adalah kalori yang dibakar untuk menampung seseorang yang melakukan pekerjaan yang ringan dalam sehari. Jumlah kalori yang dibakar dalam sehari untuk menampung seseorang yang bekerja ataupun aktif ini saya namakan DCR ataupun " Daily Calorie Requirement" .Jika anda tidak mahu susah dan pening, anda boleh menggunakan online kalkulator bagi mengukur DCR di pautan berikut: (https://www.calculator.net/calorie-calculator.html).

9. Jika kalori yang anda ambil dalam satu hari bersamaan dengan kalori yang dibakar (DCR), maka berat badan anda akan kekal.
11. Jika jumlah kalori yang anda ambil kurang daripada DCR, maka badan anda kekurangan kalori. Untuk menampung kekurangan ini badan anda akan membakar lemak badan bagi mencapai DCR. Apabila lemak dibakar, berat badan anda akan turun. Kekurangan kalori yang anda ambil itu dikenali sebagai DEFISIT KALORI. Katakan anda mengambil 1800 kalori, sedangkan DCR anda adalah 2,400 kalori, maka badan anda kekurangan sejumlah 600 kalori (2,400-1,800) sebab kalori yang diambil tidak cukup. Jumlah 600 kalori ini dinamakan defisit kalori. Badan anda hanya membakar 1,800 kalori sahaja yg diperolehi dari makanan. Jadi badan anda perlu membakar lemak badan untuk menghasilkan 600 kalori bagi mencukupkan DCR anda.
12. Jika anda mengambil kalori yang lebih tinggi daripada DCR, kalori yang berlebihan ini akan disimpan sebagai lemak. Maka berat badan anda akan bertambah.
Kesimpulannya, jika anda ingin menurunkan berat badan, anda perlu mencapai DEFISIT KALORI. Kita akan belajar di dalam siri kedua, bagaimana untuk mengira jumlah kalori yang diambil, bagaimana defisit kalori boleh dicapai dan apakah defisit kalori yang sesuai supaya pengurangan berat badan yang diperolehi tidak menjejaskan kesihatan anda. Kita juga akan mempelajari apakah yang dinamakan "Low Calorie Diet" serta "Very Low Calorie Diet".
TUNGGU SIRI KE-2
DDr Rushdan Noor

PENGARUH RAWATAN ALTERNATIF KE ATAS PESAKIT KANSER

Hari ini saya bertemu dengan seorang pesakit, Puan M berusia 71 tahun. Beliau adalah bekas pesakit kami yang disahkan menghidap kanser pangkal rahim peringkat 2B pada tahun 2017. Selepas disahkan penyakit kanser, beliau disyorkan untuk menjalani rawatan radioterapi. Pada ketika itu peluang kanser untuk disembuhkan adalah baik. Kadar hidup untuk 5 tahun boleh mencapai sehingga 85%.
Malangnya Puan M enggan menjalani rawatan kanser di hospital walaupun telah dinasihati oleh kami. Beliau kemudiannya hilang dan tidak kembali ke hospital jadi beliau tidak menerima sebarang rawatan. Sehingga minggu lepas tahun 2019, selepas hampir 2 tahun, beliau kembali ke hospital. Kami bertanya kepada Puan M apakah yang dilakukan dalam tempoh 2 tahun itu. Katanya dia bertemu dengan 3 orang bomoh di negeri Kedah. Semuanya atas nasihat rakan2 dan orang kampung. Bomoh ini menggunakan jampi dan air daunkayu yang disapu pada bahagian perut untuk merawat kanser. Pengkeras ikut suka pesakit. Selepas tidak berkesan, beliau berpindah kepada bomoh lain pula sehingga bertemu dengan bomoh ketiga yang menggunakan kaedah sama tetapi memesan beliau utk dapatkan juga rawatan hospital.
Hari ini berat badan Puan M hanya 48 kg turun sebanyak 30 kg berbanding dengan 2 tahun lalu. Ujian pengimejan menunjukkan kanser merebak ke hati dan paru-paru. Sekarang kanser Puan M sudah menjadi peringkat 4B dengan anggaran kadar hidup 5 tahun serendah 7-10%. Rawatan yang akan diberikan hanyalah untuk mengurangkan gejala ataupun rawatan paliatif. Puan M sedang menghadapi masa depan yang gelap dan bakal menderita akibat kanser yang sudah merebak ke banyak bahagian badan beliau.
Beban penyakit kanser bukan sahaja akan dipikul oleh pesakit tetapi juga oleh ahli keluarga yang lain. Kesannya bukan sahaja terhadap fizikal, tetapi psikologikal, sosial, seksual dan kewangan. Bebannya lebih besar jika pesakit masih muda dan sedang membesarkan anak2nya. Kisah Puan M ini adalah kisah yang sering kami temui. Punca utama adalah sikap dan tahap pengetahuan. Pesakit lebih suka mendengar cakap orang lain selain daripada pakar yang merawat. Orang lain pula suka memberi gambaran yg salah dan menakut2kan pesakit kanser untuk dirawat di hospital sedangkan mereka sendiri pun jahil. Terlalu banyak mitos tentang rawatan kanser yang masih berlegar dalam minda masyarakat kita, khususnya orang melayu. Kita mudah sangat percaya dakwaan dan pengakuan orang lain sedangkan itu hanyalah testimoni ataupun pengalaman peribadi. Masalah sikap, pengetahuan dan pengaruh orang lain ini telah memberi impak yang sangat besar kepada pesakit2 kanser.
Pengamal2 rawatan alternatif juga menjadi salah satu punca mengapa kadar hidup yang lebih rendah dalam kalangan pesakit2 kanser di Malaysia. Lapuran MySCan jelas menunjukkan bahawa salah satu punca mengapa kadar kematian pesakit kanser di negara kita lebih tinggi daripada negara2 maju adalah kelewatan mengesan dan merawat kanser pada peringkat awal. Mendapatkan rawatan alternatif adalah salah satu punca kelewatan sehingga pesakit yang hadir ke hospital sudah berada pada peringkat yang lewat. Pengamal2 rawatan alternatif sepatutnya lebih bertanggungjawab dan jujur. Mereka patut bayangkan jika pesakit itu anak, adik beradik atau ibubapa mereka sendiri. Kerana untuk habuan wang ringgit, mereka sanggup menipu pesakit yang sedang bertarung nyawa berjuang melawan penyakit kronik yang sangat serius ini.

DDr Rushdan Noor 
Pakar Perunding Gine-Onkologi

IBU HAMIL DAN BERPANTANG JANGAN AMBIL RINGAN GEJALA SAKIT/LENGUH KAKI DAN BENGKAK SEBELAH KAKI


Menyaksikan kematian seorang ibu adalah saat yang paling mendukacitakan kepada kami kerana kematian seorang ibu bermaksud hilangnya seorang ibu kepada anak2nya dan terpisahnya sepasang suami isteri buat selama2nya. Ibu2 ini pula masih muda, berkerjaya dan masih produktif. Kadar kematian ibu adalah petunjuk kepada kualiti perkhidmatan kesihatan keseluruhannya. Saya berkongsi satu kematian ibu yang pernah berlaku agar cerita ini dapat dijadikan pengajaran.
Seorang ibu, Puan M berusia 32 tahun melahirkan anak kedua secara normal di hospital. Semasa hamil tidak ada masalah dan proses kelahiran pun berjalan dengan baik. Pada hari ke 4 selepas bersalin beliau mula mengalami lenguh2 di sebelah kaki kiri. Walau bagaimanapun Puan M masih boleh berjalan serta menguruskan diri dan menganggap ianya perkara kecil. Tidak ada gejala2 lain yang serius. Pada malam hari ke 6, Puan M mula mengalami sakit dada dan malam itu tidurnya tidak nyenyak, beliau cuba melegakan sakit dengan menggosok dadanya dengan minyak angin. Besok paginya beliau memandikan anak kecil.Semasa memandikan anak kecilnya, Puan M tiba-tiba merasa pening dan terus pengsan. Suami menjadi panik dan menalipon hospital.
Melihat keadaan Puan M yang semakin serius, suaminya mengambil keputusan untuk membawa sendiri Puan M ke hospital tetapi di tengah jalan, Puan M kelihatan seperti nazak, kemudian tidak bernafas. Suami Puan M mengambil keputusan untuk singgah ke sebuah klinik kesihatan berdekatan dan doktor yang bertugas memberi rawatan kecemasan. Ketika itu pernafasan Puan M sudah berhenti dan jantung sudah tidak berdenyut. Doktor melakukan CPR dan memasukkan tiub ke dalam saluran pernafasan. Puan M kemudian dibawa ke hospital besar dan pakar kecemasan meneruskan CPR. Pakar dan pasukannya berjaya mengembalikan denyutan jantung serta tekanan darah Puan M. Ujian CTPA dapat dilakukan dan mendapati Puan M mengalami "massive pulmonary embolism" yakni banyak saluran darah di paru-parunya dipenuhi dengan darah beku. Walaupun dirawat oleh ramai doktor pakar yang berpengalaman, Puan M tidak dapat diselamatkan dan meninggal dunia pada hari ke-3 di hospital.
Salah satu perubahan fisiologi yang berlaku ke atas wanita hamil adalah aliran darah yang lebih mudah membeku. Ini adalah adaptasi yang penting untuk mengurangkan pendarahan semasa bersalin dan keadaan ini berterusan walaupun selepas melahirkan anak terutama pada minggu pertama. Faktor ini juga meningkatkan risiko terjadinya darah beku di dalam saluran darah kaki yang dikenali sebagai DVT ("Deep Vein Thrombosis"). Selalunya berlaku di salah satu kaki terutamanya betis. DVT yang tidak dikesan dan dirawat boleh menyebabkan darah beku itu terlepas dan memasuki saluran darah paru2. Jika darah beku ini banyak dan menyumbat saluran darah paru2, ia boleh menyebabkan kegagalan jantung kanan dan mengurangkan darah kembali ke jantung kiri. Akibatnya bekalan darah ke organ2 yang penting seperti otak dan jantung akan terjejas dan pesakit boleh meninggal pada kadar yang cepat. Di antara risiko tambahan yang menyebabkan berlakunya DVT ini adalah kurang pergerakan, kekeringan akibat tidak mengambil air yang mencukupi, mempunyai sejarah darah beku pada masa lalu, pembedahan, menghidap penyakit Thrombophilia dan lain-lain. Kadangkala DVT berlaku secara senyap.
Pengajaran daripada kes kematian Puan M yang trajis ini adalah jangan mengambil ringan masalah LENGUH dan SAKIT SEBELAH KAKI (SAKIT BETIS) samada semasa hamil ataupun selepas melahirkan anak (terutama minggu pertama selepas bersalin). Jika anda mengalami gejala ini ataupun mendapati sebelah kaki membengkak, kemerahan dan sakit apabila dipicit, sila maklumkan petugas perubatan ataupun pergi berjumpa dengan doktor dengan segera. Lebih serius lagi jika gejala sebelah kaki itu diikuti dengan SAKIT DADA dan JANTUNG BERDEBAR, pada saat ini berkemungkinan Pulmonary Embolism sudah berlaku. Jika DVT dapat dikesan pada peringkat awal, ianya boleh diubati dan Pulmonary Embolism dapat dicegah. Puan M mungkin dapat diselamatkan jika beliau dibawa berjumpa dengan doktor semasa mengalami lenguh sebelah kaki, 2 hari sebelum mengalami sakit dada dan pengsan. Malangnya darah beku yang banyak sudah pergi ke paru-paru Puan M dan pada ketika itu jantung dan paru-parunya sudah gagal berfungsi. Semoga tragedi ini tidak berulang kepada ibu2 yang lain. Pulmonary embolism adalah penyebab kematian ibu yang ketiga paling utama di Malaysia.
DDr Rushdan Noor 
Pakar Perunding Kanan O&G

ADAKAH SUPLEMEN ANTIOKSIDAN BERMANFAAT KEPADA PESAKIT KANSER ?

SUPLEMEN ANTIOKSIDAN DAN RAWATAN KANSER
Ada beberapa fakta yang orang awam perlu tahu tentang suplemen antioksidan.
1. Semua orang tahu bahawa tidak ada satu pun benda yang Tuhan jadikan di dunia ini yang tidak ada langsung manfaat kepada manusia. Semua benda ada baik dan ada buruknya.
2. Tubuh badan manusia dibina oleh berbagai sel, tisu dan organ yang mempunyai fungsi tertentu yang spesifik. Ada mekanisma semulajadi yang mengawal sistem di dalam badan supaya seimbang dalam banyak segi seperti persekitaran asid-alkali, kandungan air, mineral, gas, bilangan sel dalam darah dan lain2 yang ditetapkan pada satu2 julat yang normal. Begitu juga sel2 yang mati dan yang membiak. Ketidakseimbangan perkara2 yang disebutkan di atas boleh memudaratkan tubuh badan, malahan boleh menyebabkan kematian.
3. Salah satu keseimbangan yang tubuh badan manusia pertahankan secara semulajadi adalah kandungan antioksidan dan radikal bebas.
4. Antioksidan dan radikal bebas diperolehi dari luar dan ada yang dihasilkan dalam badan.
5. Radikal bebas mempunyai ciri2 perosak, menyebabkan sel2 cepat tua dan mematikan sel2 yang sakit dan tidak normal. Antioksidan pula adalah penawar kepada kesan radikal bebas.
6. Walaupun pada pandangan kita radikal bebas ini jahat dan perosak tetapi sedarkah kita bahawa sifat perosak itu jugalah yang menghapuskan sel2 yang tidak normal termasuk sel2 yang sedang berubah untuk menjadi kanser.
7. Jadi fahamlah kita bahawa di sebalik "kejahatan" radikal bebas, ada manfaat yang disumbangkan oleh radikal bebas kepada tubuh badan manusia.
8. Jadi perlu ada keseimbangan antioksidan dan radikal bebas di dalam badan. Keseimbangan ini berlaku jika manusia mengamalkan gaya hidup sihat termasuk mengambil makanan yang seimbang, tidak merokok, tidak minum alkohol, senaman dan kurangkan stres. Saya pernah menulis sebab2 mengapa sumber nutrient (makro dan mikronutrien) yang terbaik adalah makanan dalam bentuk semulajadi dan bukan suplemen. Sikap manusia termasuk gaya hidup mereka sendiri yang menjadi punca kepada gangguan keseimbangan ini.
9. Mengambil suplemen antioksidan boleh menganggu keseimbangan antioksidan dan radikal bebas di dalam badan. Perkataan yang lebih tepat adalah keseimbangan oksidatif dan reduktif (oxidative and reductive stress). Apabila antioksidan terlalu banyak, maka kesan radikal bebas pula menurun di bawah tahap yang diperlukan. Apabila radikal bebas terlalu kurang , maka manfaat yg diberikan olehnya juga berkurangan termasuk menghapuskan sel2 yang tidak normal. Pendek kata antioksidan boleh menjadi seperti serampang dua mata.
10. Ahli Sains menjalankan kajian ke atas haiwan yang diransang untuk menghidap kanser dan diberikan suntikan antioksidan. Apa yang mengejutkan adalah, berbanding dengan haiwan yang tidak diberi antioksidan, kanser membiak dan merebak je tempat lain dengan lebih cepat dalam tubuh tikus yang diberikan antioksidan.
11. Berdasarkan kepada alasan2 di atas, pakar kanser tidak menggalakkan pesakit2 kanser mengamalkan suplemen antioksidan terutama ketika rawatan dan ketika kanser belum disahkan sembuh. Adapun antioksidan dalam bentuk makanan seperti buah2an dan sayur2an pula berbeza kerana di dalam bahan makanan ini terdapat banyak nutrien2 lain dan serat yang memberi manfaat tambahan kepada badan secara keseluruhannya. Di samping itu tidak ada bukti kukuh pengambilan suplemen antioksidan memanfaat sesiapa sahaja termasuk yang sihat.
Kepada pesakit kanser, dapatkan nasihat daripada pakar kanser anda sebelum mengamalkan apa2 kaedah rawatan alternatif dan mengambil apa2 bentuk suplemen.
Dato Dr Rushdan Noor
Pakar Perunding Ginekologi Onkologi

https://www.cancer.gov/news-events/cancer-currents-blog/2015/antioxidants-metastasis
https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/26446958
https://www.scientificamerican.com/article/antioxidants-may-make-cancer-worse/
https://www.healthline.com/health-news/evidence-antioxidants-fuel-cancer#1

PAKAR PERUBATAN VERSUS PAKAR MAKHLUK HALUS


Sekarang ini saya dapati semakin banyak iklan dan papan tanda yang menawarkan khidmat mengesan jin dan saka. Ada juga khidmat mengesan serangan santau dan juga mengenalpasti orang yang melakukan santau. Makhluk-makhluk halus juga dikaitkan dengan masalah bayi yang menangis tidak berhenti, perkahwinan yang tidak bahagia, anak yang nakal serta degil, lambat jodoh dan banyak lagi tanda2. Di samping tanda-tanda tersebut, banyak pula gejala-gejala yang dikaitkan dengan perbuatan jin. Pendek kata merawat serangan jin dan makhluk halus ini mempunyai pasaran yang luas dan berpotensi menjana pendapatan lumayan.
Saya tidak berniat untuk komen mengenai isu jin, saka dan santau kerana saya bukan pakar di dalam bidang ini. Walau bagaimanapun sebagai seorang yang beragama Islam, kita wajib mempercayai wujudnya makhluk halus seperti jin dan iblis.
Di dalam bidang kedoktoran kami belajar ilmu perubatan untuk mengesan serta merawat penyakit fizikal seperti kanser, diabetes, darah tinggi dan lain-lain. Kami juga belajar mengenalpasti pesakit yang mengalami masalah psikiatri seperti schizoprenia, MDP, kemurungan dan lain-lain. Memang terdapat kaedah rawatan untuk penyakit-penyakit ini dan dengan izin Allah ramai yang berjaya dipulihkan.
Sebelum menjadi seorang doktor yang bertauliah, kami perlu memenuhi banyak syarat seperti lulus periksa, tamat latihan doktor pelatih dan juga berdaftar dengan MMC. Saya tidak pasti bagaimana pula kaedah untuk mengenalpasti seorang Perawat Makhluk Halus yang bertauliah. Apakah syarat dan kelulusan yang perlu mereka perolehi sebelum mereka layak merawat pesakit. Saya dapati ada di antara pengamal2 rawatan makhluk halus ini adalah dalam kalangan ustaz-ustaz, mungkin ada hujah agama yang mereka gunakan. Jika mereka mempunyai kaedah pentauliahan, adakah badan tertentu yang memantau mereka?
Saya ada mengikuti ceramah beberapa orang ustaz yang memberi petua bagaimana mengesan seseorang yang tubuhnya dimasuki oleh jin dan saka.Saya dapati terdapat persamaan dari segi gejala-gejala ini dengan masalah kesihatan fizikal yang dirawat oleh seorang doktor. Mengikut seorang ustaz, di antara gejala-gejala awal tubuh dimasuki jin adalah sukar untuk tidur (insomnia), apabila tidur mudah terjaga dan keletihan tanpa sebab. Seorang pengamal perubatan makhluk halus lain pula menerangkan gejala-gejala orang yang kena santau, di antaranya adalah mengalami muntah berdarah, batuk yang berpanjangan, berat badan turun dan lain-lain lagi.
Gejala-gejala yang dinyatakan di atas mungkin disebabkan oleh penyakit fizikal yang boleh diubati oleh doktor. Contohya sukar untuk tidur malam, sering terjaga-jaga dan keletihan mungkin disebabkan oleh Obstructive Sleep Apnea (OSA) iaitu keadaan di mana saluran pernafasan seseorang tersumbat semasa tidur. OSA boleh memudatkan kesihatan jika tidak dirawat dan dikaitkan dengan sindrom metabolik. Muntah darah mungkin disebabkan oleh keadaan yang dikenali sebagai "bleeding oesophageal varices", satu keadaan yang boleh mengancam nyawa kerana saluran darah di bahagian bawah esofagus telah pecah dan jika pesakit dibawa berjumpa dengan doktor bedah, mereka boleh diselamatkan. Batuk yang berpanjangan dan turun berat badan mungkin disebabkan oleh penyakit Tibi ataupun kanser paru-paru. Penyakit2 ini jika tidak dirawat segera boleh mengancam nyawa pesakit.
Saya bimbang dengan implikasi yang akan timbul daripada sikap masyarakat yang terlalu mudah menyalahkan jin dan saka ataupun menuduh disantau oleh orang lain apabila mengalami tanda dan gejala kesihatan. Sedangkan gejala-gejala yang mereka hadapi ini sebenarnya disebabkan oleh penyakit-penyakit fizikal ataupun psikologikal yang boleh dikesan dan diubati oleh pengamal perubatan moden.
Saya ingin berpesan kepada orang ramai supaya berjumpalah dahulu dengan doktor apabila mengalami sebarang gejala samada gejala fizikal ataupun psikologikal. Terdapat banyak jenis doktor di hospital, pastikan doktor yang anda temui itu memang doktor yang terlatih untuk merawat penyakit anda. Dapatkan pemeriksaan,ujian terperinci dan rawatan daripada mereka terlebih dahulu sebelum anda mengambil keputusan untuk bertemu dengan pengamal perubatan alternatif ataupun perawat makhluk halus. Pastikan kaedah-kaedah alternatif ini selamat dan tidak bercanggah dengan agama kita. Di samping itu berwaspadalah dengan pengamal yang cuba menipu orang ramai demi untuk kepentingan diri sendiri.
Dato'Dr Rushdan Noor
Medical Mythbusters Malaysia

PANDUAN MENILAI KESAHIHAN DAN KREDIBILITI FAKTA PERUBATAN YANG DISIARKAN

Salah seorang sahabat facebook saya telah berkongsi satu rencana yang saya sertakan di bawah. Rencana itu bertajuk “ PEOPLE DIE FROM CHEMOTHERAPY, NOT CANCER – SAID DOCTOR PETER GLIDDEN”. Di dalam rencana ini juga ditulis bahawa 97% daripada kematian kanser disebabkan oleh kemoterapi. Apabila membaca tajuk ini dan rencana yang ditulis tentu ramai akan teruja dan mudah percaya. Tetapi saya boleh nyatakan bahawa rencana ini adalah TIDAK BERASAS. Saya akan jelaskan kenapa saya berkata begitu.

Sila rujuk imej-imej yang disertakan di bawah untuk memahami penerangan saya ini.

Seperti yang pernah saya tulis di dalam posting saya yang lalu, apabila membaca sesuatu rencana ada sekurang2nya 3 perkara yang perlu anda selidiki iaitu:

1. SIAPA PENULIS RENCANA

2. SIAPA "PAKAR" RUJUK, KAJIAN DAN RUJUKAN YANG DIGUNAKAN
3. APAKAH KEWIBAWAAN LAMAN WEB ATAUPUN MEDIA YANG MENYIARKAN RENCANA TERSEBUT


Berbalik kepada rencana yang saya nyatakan di atas (sila rujuk imej yang dikepilkan di bawah), saya akan berikan panduan kepada anda bagaimana menilai kewibawaan rencana ini dengan menjawab 3 soalan di atas (rujuk imej-imej yang saya sertakan):
1. PENULIS RENCANA ini adalah ANNA JONES iaitu seorang tukang masak , penulis buku masakan dan penulis blog masakan serta menu makanan untuk merawat penyakit.

2. Siapakah "PAKAR" RUJUK yang digunakan di dalam rencana tersebut. Terdapat 2 nama yang digunakan di dalam rencana ini iaitu DR.PETER GLIDDEN dan DR.HARDIN B JONES. Penulis (Anna Jones) mengambil kenyataan daripada Dr.Peter Glidden iaitu seorang “DOKTOR NATUROPATHY” (pada asalnya seorang intruktor yoga) yang mendapat “Phd” di dalam bidang PERUBATAN NATUROPATHY iaitu bidang rawatan alternatif yang percaya bahawa semua penyakit boleh disembuhkan dengan kaedah semulajadi tanpa rawatan perubatan moden. Jadi Dr.Peter Glidden BUKAN DOKTOR PERUBATAN. Hujah yang digunakan oleh Dr. Peter Glidden pula adalah merujuk kepada kenyataan yang dibuat oleh Dr. Hardin B. Jones yang juga BUKAN DOKTOR PERUBATAN (Clinician) sebaliknya Professor di dalam bidang FIZIK dan FISIOLOGI, meninggal dunia pada tahun 1978. Lebih memeranjatkan lagi adalah kenyataan Dr.Hardin B Jones ini sebenarnya dibuat pada tahun 1969 iaitu 47 TAHUN YANG LALU. Dari latar belakang akademik Dr.Peter Glidden dan Dr. Hardin Jones, jelas mereka bukan pakar perubatan dan tentu sekali bukan pakar kanser. Jadi mereka TIDAK LAYAK untuk bercakap ataupun menulis mengenai kemoterapi dan kanser dari perspektif perubatan moden. Senarai RUJUKAN yang digunakan oleh penulis rencana ini hanyalah pautan laman web dan sangat meragukan.

3. LAMAN WEB yang menyiarkan rencana ini adalah WWW.BLUESKYIN.COM

 yang dikendalikan oleh ANNA JONES, iaitu seorang tukang masak (chef) dan penulis masakan termasuk remedi yang boleh merawat penyakit di samping penyokong kuat naturopati yang dipelopori oleh Dr.Peter Glidden. Mungkin ini dapat melariskan promosi masakan beliau.

Daripada ketiga-tiga bukti yang saya nyatakan di atas, kita boleh membuat kesimpulan bahawa RENCANA INI TIDAK BERASAS DAN TIDAK BOLEH DIGUNAKAN SEBAGAI RUJUKAN malah ianya MENGELIRUKAN. Perhatikan bagaimana gelaran DR dieksploitasikan untuk tujuan mempengaruhi orang ramai. Semoga panduan ini dapat anda amalkan sebelum hujung jari anda cepat menekan butang “like” ataupun “share”. JADILAH PENGGUNA MEDIA SOSIAL YANG BIJAK.





Nota: Prinsip yang sama boleh juga digunakan untuk menilai kesahihan lain-lain maklumat dan kenyataan.
Dato' Dr.Mohd Rushdan Noor

Pakar Perunding Ginekologi Onkologi
Hosp Sultanah Bahiyah

JANGAN BIARKAN ANAK2 ANDA TERBANTUT


Pada hari ini saya mengikuti ceramah mengenai kanak2 terbantut yang dibentangkan dalam program CME hospital oleh Pakar Pediatrik. Ada beberapa maklumat penting yang ingin saya kongsikan.
1. Walaupun kadar obesiti orang dewasa negara kita adalah di antara yang tertinggi di Asia, rupa2nya kadar kanak2 terbantut pertumbuhan juga tinggi ("failure to thrive"). Kadar kekurangan darah (anemia) dalam kalangan wanita juga tinggi.
2. Kadar obesiti, kadar kekurangan darah dan kadar anak2 yg terbantut pertumbuhan adalah petunjuk2 penting tentang masalah pemakanan di negara kita. Rakyat negara kita mengalami masalah yang serius dari aspek tabiat makan, memilih makanan dan amalan pemakanan yang tidak betul.
3. Dipercayai 500,000 kanak2 berusia kurang daripada 5 tahun mengalami pertumbuhan terbantut ("failure to thrive").
4. Terdapat banyak punca mengapa anak2 berusia kurang dari 5 tahun terbantut pertumbuhan di antaranya adalah kemiskinan, sikap ibubapa yang tidak terdidik dengan kaedah pemakanan anak2, mencairkan susu, waktu makan yang tidak tetap, kelahiran pramatang, anak2 yang cacat, terencat akal, penyakit, jangkitan, dan lain2 lagi.
5. Kajian menunjukkan anak2 yang terencat pertumbuhan pada usia kurang daripada 5 tahun ini boleh mengalami komplikasi2 berikut:
a. Berbadan kecil dan rendah bila dewasa
b. Sebaliknya pula, di negara2 membangun dan kurang maju, kanak2 yang terbantut pertumbuhan di peringkat awal mempunyai kadar obesiti yang lebih tinggi apabila dewasa. Jadi negara2 ini mengalami masalah untuk menangani anak2 yang terbantut pada awal usia dan obesiti pada usia dewasa.
c. Masalah kognitif dan pencapaian akademik yang lebih rendah
d. Masalah belajar ("learning problem")
6. Ibubapa memainkan peranan yang sangat besar di dalam menyediakan makanan yang mencukupi dan menanam tabiat makan yang betul ke atas anak2 semenjak dilahirkan. Jika ibubapa mendapati tumbesaran anak2 terbantut, mereka perlu membawa anak2 mereka bertemu dengan doktor kanak2 untuk pemeriksaan dan rawatan.
7. Ibubapa boleh melayari laman2 web berikut (percuma) untuk mengetahui semua tentang pertumbuhan kanak2, pemakanan dan menu2 makanan yang berkhasiat untuk anak2. Di dalam laman web ini juga diterangkan bagaimana mengesan anak2 yang terbantut dan memantau pertumbuhan mereka.

http://nutriweb.org.my

DDr Rushdan Noor

Sunday, 24 March 2019

SAINS CACA MERBA

Dato' Dr.Mohd Rushdan Md Noor
Pakar Perunding Kanan Obstetriks & Ginekologi 
Ahli Medical Mythbusters Malaysia
Agama sangat menggalakkan perkembangan ilmu bagi tujuan manfaat kepada manusia. Pengetahuan sains moden adalah anugerah Allah yang memberi ilham kepada manusia. Perkembangan sains sebenarnya adalah salah satu petunjuk kebesaran Allah. Maka mendalami ilmu sains tidak bercanggah dengan agama. Malahan perkembangan sains moden yang ada pada hari ini sebahagiannya dicetuskan oleh sarjana-sarjana terkemuka yang beragama Islam pada masa dahulu seperti Ibnu Sina, Ibnu Rusy dan lain-lain. Mereka dikagumi oleh semua sarjanawan termasuk sarjana-sarjana Barat. Perkembangan dan amalan sains Perubatan moden telah terbukti meningkatkan mutu kesihatan dan memanjangkan hayat manusia. Banyak jenis penyakit telah dapat dicegah dan dirawat berbanding dengan masa lampau. Purata jangkahayat manusia juga telah meningkat dari masa ke semasa, contohnya di Malaysia purata jangkahayat pada tahun 1957 adalah 56 tahun tetapi pada tahun 2015 purata jangkahayat sudah meningkat kepada 75 tahun.

Pada hari ini sukar untuk ditemui individu yang boleh menguasai kedua-dua bidang agama dan sains kerana untuk menguasai kedua-duanya memerlukan keupayaan IQ yang tinggi. Menguasai kedua-dua bidang pada zaman ini lebih sukar kerana luasnya ilmu agama dan terlalu pesatnya perkembangan ilmu sains. Maka di dalam keadaan ini, kita terpaksa akur bahawa tidak ada seorang individu yang layak menjadi pakar rujuk untuk kedua-dua bidang ini sekali gus. Ini bukan bermaksud mereka tidak boleh langsung bercakap tentang ilmu yang satu lagi, tetapi perlu berhati-hati dan menggunakan rujukan dan kaedah yang betul sesuai dengan kemampuan mereka.

PSEUDOSAINS ("pseudosciences") adalah satu istilah yang merujuk kepada pemahaman sains yang dipelopori oleh golongan tertentu tetapi TIDAK berdasarkan kepada kaedah dan disiplin yang diamalkan oleh pengamal sains moden. Ilmu pseudosains boleh menghasilkan PSEUDOPERUBATAN ("pseudomedicine') iaitu amalan perubatan yang berasaskan kepada pseudosains. Sains dan perubatan moden menggunakan kaedah amalan berdasarkan bukti kajian saintifik yang sangat menitikberat aspek ketepatan fakta, manakala pseudosains pula menggunakan falsafah untuk menerangkan bagaimana sesuatu perkara itu berlaku. Psedosains menggunakan konsep yang bersifat subjektif, berbeza dengan sains moden yang menggunakan bukti objektif untuk menerangkan bagaimana sesuatu perkara itu terjadi. Sesuatu yang bersifat subjektif sama tarafnya seperti dakwaan ataupun pendapat peribadi semata-mata yang lebih mudah terdedah kepada kesilapan dan kepalsuan. Seringkali pengamalnya hanya menggunakan testimoni sebagai bukti keberkesanan. Kesalahan terbesar pseudosains adalah membuat kesimpulan terlebih dahulu sebelum dibuktikan benar. Melalui kesimpulan yang telah ditetapkan, mereka akan mencari apa sahaja bukti ataupun alasan untuk membenarkan kesimpulan yang mereka lakukan. Jika benar dakwaan mereka, itu mungkin secara kebetulan ataupun hanya kesan placebo. Pengamal pseudosains tidak dapat membuktikan kebenaran dakwaan mereka melalui kajian yang diulang dan mereka tidak akan menerima sebarang kritikan. Dakwaan yang dibuat seringkali terlalu hebat untuk dipercayai dan menganggap penentangnya sebagai golongan yang sedang melakukan konspirasi. Dengan alasan konspirasi, mereka dapat menutup kelemahan hujah dan dapat menyakinkan pengikut mereka untuk terus menyokong. Dengan menggunakan teori konspirasi juga mereka harap dapat menutup mulut pengkritik untuk cuba mengkritik.

Jadi hari ini berlaku pertembungan di antara sains sebenar (saya namakan sains moden) dengan pseudosains. Di dalam kancah pertembungan sains moden dan pseudosains, muncul pula pengamal sains moden yang berpaling arah seolah-olah menyokong golongan pseudosains. Kebanyakan mereka yang berpaling tadah ini melakukanya demi untuk kepentingan peribadi seperti terlibat dengan penjualan produk dan suplemen. Walaupun pengamal Perubatan moden yang berpaling tadah ini nampak seperti menyokong pseudosains tetapi di dalam hati kecil mereka saya yakin masih berpegang dengan prinsip sains moden dan ini boleh dilihat daripada gaya mereka bercakap ataupun menulis mengenai sains dan perubatan.

Pada waktu yang sama, dalam kalangan ahli agama yang mempunyai asas ilmu agama, ada pula yang berminat untuk mempelopori ilmu sains dan bercakap mengenai sains. Disebabkan mereka faham tentang agama, maka apabila mereka bercakap tentang sains, mereka akan menggunakan alasan agama untuk membenarkan dakwaan mereka. Disebabkan tidak ada perincian di dalam Quran dan Hadith, di dalam banyak keadaan mereka mencipta sendiri fakta sains mengikut tahap kefahaman mereka yang mereka rasa selari dengan maksud ayat ataupun hadith yang ditemui. Disebabkan mereka bukan daripada aliran sains, maka mereka nampak sangat janggal apabila bercakap tentang sains. Walau bagaimanapun disebabkan oleh kefasihan bertutur dalam bahasa arab dan kepetahan membaca ayat alquran, serta menggunakan agama untuk menjelaskan sains ciptaan mereka, mereka sangat berpengaruh dan mempunyai pengikut yang ramai. Terdapat juga golongan agama yang terlalu mudah menyalahkan jin dan saka sebagai jalan singkat untuk mencari punca penyakit fizikal, kemudian menggunakan kaedah agama untuk "menghalau" punca penyakit tersebut. Kaedah ini akan dilabelkan sebagai kaedah rawatan Islam (pada pandangan mereka). Konsep berikhtiar dengan kaedah terbaik tidak ujud dalam prinsip amalan mereka. Di samping golongan agama yang sebegini, saya dapati ujud juga golongan agamawan yang hanya dipergunakan sebagai jurucakap produk-produk kesihatan yang berasaskan kepada pseudosains demi untuk melariskan jualan.

Masyarakat hari ini sedang menyaksikan pertembungan di antara pengamal perubatan moden yang kekal dengan prinsip mereka,  golongan-golongan  Pengamal Perubatan moden yang berpaling tadah, pengamal pseudosains dan ahli agama yang bercakap tentang sains mengikut kefahaman mereka. Akibat daripada pertembungan ini, masyarakat sedang berdepan dengan apa yang saya namakan sebagai SAINS CACAMERBA.

Sains cacamerba adalah cabaran yang besar kepada Kementerian Kesihatan Malaysia kerana ianya memberi kesan ke atas tahap kesedaran masyarakat tentang kaedah pencegahan dan rawatan penyakit yang betul. Keujudan pseudosains ini menyebabkan masyarakat keliru dan seringkali tersalah pilih sehingga lambat mendapatkan rawatan yang lebih berkesan. Saya tidak pasti apakah jalan penyelesaian yang terbaik tetapi sesuatu yang lebih proaktif perlu dilakukan sebelum terlambat. Sains cacamerba ini boleh menguasai dan mengelirukan masyarakat sehingga mereka memilih jalan yang salah dan kita akan ketinggalan untuk mencapai negara maju. Salah satu kaedahnya adalah dengan mengujudkan kumpulan yang berperanan mendidik masyarakat dan menyanggah mitos mengenai sains dan Perubatan. Salah satu kumpulan ini dinamakan Medical Mythbusters Malaysia yang menggunakan media sosial untuk menjalankan aktiviti mereka. 

Salah satu punca keujudan pseudosains adalah kurangnya minat masyarakat terhadap ilmu sains semenjak di peringkat sekolah sehingga peratusan pelajar yang mengambil bidang ini semakin mengecil. Apabila asas ilmu sains sebenar tidak kuat, maka ujudlah pemahaman yang hanya berprinsipkan falsafah semata-mata dan menggunakan kaedah berfikir yang mudah. Masyarakat kita malas berfikir dan sukar untuk memahami konsep ilmu yang kompleks, pseudosains menggunakan lojik akal yang mudah untuk mempengaruhi masyarakat yang sebegini. Kaedah pembelajaran sains perlu diperbaiki bagi meningkatkan minat masyarakat kepada ilmu sains moden. Di samping itu setiap masyarakat perlu memainkan peranan dengan memilih pakar rujuk yang betul dan menjauhi pengamal pseudosains. Keadaan ini sama seperti memilih alim ulamak yang berwibawa sebagai sumber maklumat agama, bukan memilih pengamal ajaran sesat. 

RENCANA INI ADALAH PENDAPAT PERIBADI PENULIS DAN TIDAK MEWAKILI MANA-MANA INSTITUSI ATAUPUN PERTUBUHAN.

HISAP GANJA BILANGAN SPERMA LEBIH TINGGI ??



Baru-baru ini ada disiarkan di dalam akhbar mengenai satu kajian yang menunjukkan bahawa menghisap ganja boleh meningkatkan bilangan sperma. Ramai pro ganja suka dengan berita ini tetapi apabila dibaca dengan terperinci kertas kajian tersebut barulah jelas apakah fakta yang sebenarnya. Berikut adalah penjelasan saya mengenai kertas kajian tersebut.
 
Terdapat sekurang-kurangnya 3 kelemahan yang sangat ketara daripada kertas kajian tersebut dan saya akan menghuraikannya satu persatu.

1. Pertama, kajian ini bukan satu kajian yg berkualiti tinggi kerana ianya bukan kajian prospektif sebaliknya kajian longitudinal dan retrospektif yakni peserta yang terlibat sudah terdedah kepada ganja pada masa lampau. Malahan hanya 11% sahaja daripada mereka yg masih aktif menghisap ganja. Yang lain hanya pernah mengambil ganja pd satu ketika. Di sini sukar utk menentukan jumlah pendedahan ataupun "dose response relationship". Ujian darah untuk mengukur kandungan bahan aktif ganja juga tidak dilakukan. Kemungkinan ramai dlm kalangan mereka yg kesan ganja sudah tidak ada di dalam tubuh mereka.

2. Kedua, peserta yang terlibat di dalam kajian ini adalah terhad kepada lelaki yang hadir di klinik kesuburan di mana mereka sememangnya mengalami masalah kesuburan, bukan orang awam. Terdapat banyak punca yang boleh menyebabkan kekurangan bilangan sperma termasuk kaedah dan masa pengambilan air mani. Tabiat lain seperti merokok, meminum alkohol dan ubat2 tertentu juga boleh mempengaruhi bilangan sperma. Tambahan pula maklumat yang diperolehi hanya berdasarkan kepada soal-selidik dan ada kemungkinan peserta tidak memberi maklumat yang betul ataupun merahsiakan maklumat yang diperlukan.

3. Ketiga, kajian ini menunjukkan bahawa lelaki yg mengambil ganja kebetulan juga mempunyai kandungan hormon lelaki testosterone yg lebih tinggi. Persoalannya adakah kandungan sperma yg tinggi itu disebabkan oleh kandungan hormon testosteron yg tinggi dan bukan kesan langsung daripada ganja. Mungkin lelaki yg tinggi hormon testosterone lebih cenderung utk mengambil ganja. Penyelidik tidak dapat menjawab soalan ini. Penyelidik berkemungkinan salah mengaitkan ganja dengan bilangan sperma, sedangkan hakikatnya ganja tidak ada langsung kaitan dengan bilangan sperma. Contohnya seorang lelaki terjatuh disebabkan oleh pening kepala tetapi disalahkan lantai kononnya licin. Dia jatuh disebabkan oleh pening dan bukan faktor lantai.

KESIMPULAN

Kajian ini tidak memberi apa2 kesimpulan yg konklusif tentang kaitan antara ganja dan kepekatan sperma seseorang lelaki, jadi kajian lanjut yg lebih bermutu perlu dijalankan. Terlalu banyak lagi soalan yg belum terjawab dan penyelidik sendiri mengakui limitasi kajian yang mereka lakukan. Selepas meneliti kajian ini, Profesor Andrologi daripada University of Sheffield, Professor Allan Pacey membuat kesimpulan berikut:
"Saya tidak yakin bahawa kertas kajian ini membawa apa2 perkembangan terbaru yang boleh membawa kita ke hadapan. Ia juga tidak membuktikan bahawa menghisap ganja akan bermanfaat untuk tujuan kesuburan. Dalam apa sahaja keadaan, menghisap ganja tidak patut diamalkan oleh mana-mana pasangan yang ingin memiliki anak"

Inilah akibatnya jika metodologi kajian tidak mencapai tahap memuaskan sehingga hasil kajian tersebut tidak membawa apa2 makna selain daripada lebih banyak soalan yg tidak terjawab.

DDr Rushdan Noor
Medical Mythbusters Malaysia

RUJUKAN

https://www.thestar.com.my/news/world/2019/02/06/cannabis-smoking-associated-with-higher-sperm-count-study-finds/

https://www.hsph.harvard.edu/news/press-releases/marijuana-smoking-sperm-counts/

https://academic.oup.com/DocumentLibrary/humrep/PR_Papers/dez002.pdf

GANJA : MITOS DAN REALITI

Dato' Dr.Mohd Rushdan Md Noor

MD,MOG(M”sia),FGO(S’pore),AM
Pakar Perunding Kanser Ginekologi
Unit Ginekologi Onkologi
Jabatan O&G
Hospital Sultanah Bahiyah
Alor Setar, Kedah

PENDAHULUAN

Isu marijuana ataupun Kanabis merupakan salah satu tajuk yang tidak pernah putus diperkatakan oleh masyarakat bukan sahaja di Malaysia tetapi di seluruh dunia. Penggunaan marijuana untuk beberapa rawatan penyakit memang tidak dapat dinafikan tetapi persoalannya adakah kita boleh membiarkan marijuana ini digunakan oleh orang ramai tanpa ada kawalan undang-undang. Di dalam Perubatan, ektraks daripada marijuana digunakan untuk rawatan melegakan kesakitan, menangani loya dan muntah akibat rawatan kanser, mengurangkan sakit akibat penyakit multiple sclerosis dan glaucoma. Ianya juga digunakan untuk tujuan rekresional (keseronokan) dan meningkatkan tenaga. Disebabkan marijuana sering diperkatakan, pelbagai mitos telah wujud sehingga ianya dianggap satu bahan ajaib yang boleh menangani pelbagai penyakit. Terdapat banyak mitos yang disebarkan berkenaan dengan marijuana sehingga masyarakat menjadi keliru. Tidak kurang juga masalah wujudnya kumpulan taksub terhadap marijuana disebabkan oleh penyebaran mitos dan mudahnya disebarkan melalui media social.
MARIJUANA
Marijuana juga dikenali sebagai Ganja ataupun Kanabis. Di negara lain marijuana dipanggil dengan pelbagai nama seperti pot, grass, weed, hemp, hash, marihuana dan banyak lagi. Marijuana digunakan di dalam pelbagai bentuk seperti rokok gulung, paip, curut, teh, dicampurkan di dalam makanan seperti brownies, cookies dan candies. Bentuk yang tidak kurang popular adalah di dalam bentuk resin berkepekatan tinggi termasuk minyak (kelihatan seperti madu), waxy (lilin) dan  keras/beku untuk tujuan mendapatkan keseronokan dan juga kegunaan Perubatan. Pendek kata marijuana boleh dihasilkan dalam seribu satu macam bentuk yang dapat menarik perhatian semua golongan dari kecil hinggalah dewasa. Kesan marijuana lebih cepat dengan menghisap daripada dalam bentuk makanan. Kesan marijuana yang diambil melalui makanan lebih perlahan tetapi bukan bermaksud ianya lebih selamat kerana pengguna seringkali mengambilnya dengan lebih banyak kerana menyangkakan yang ia tidak berkesan.

Sebenarnya di dalam daun Marijuana terdapat lebih daripada 500 jenis bahan kimia dan salah satu kumpulan bahan kimia di dalamnya dikenali sebagai Cannabinoids. Di bawah Cannabinoids sahaja terdapat lebih 100 jenis kompoun. Dalam kalangan cannabinoids, dua kompoun terpenting  adalah Tetrahydrocannabinol (THC) dan Cannabidiol (CBD).  THC ditemui oleh Ahli Sains Israel pada tahun 1964. Pokok ganja terdiri daripada banyak spesis dan setiap spesis mengandungi kuantiti Cannabinoids yang berbeza2 terutamanya kandungan THC. Kajian menunjukkan bahawa kandungan cannabinoid di dalam daun ganja telah meningkat dari 1-4% pada masa dahulu kepada 7% pada hari ini. Terdapat sekurang-kurangnya 5 perbezaan di antara THC dan CBD. THC dikatakan ingredient yang psikoaktif iaitu ia boleh menyebabkan “high” manakala CBD tidak dan kedua-dua komponen ini mempunyai baik dan buruknya. THC bertindak ke atas reseptor di otak yang dikenali sebagai CB-1 dan CB-2 yang mengawal selera makan, mood, rasa sakit dan ingatan. Jadi komponen THC inilah yang boleh membantu rawatan masalah selera makan, sakit dan beberapa masalah psikologi seperti PTSD dan kemurungan. Pada waktu yang sama THC juga boleh memudaratkan, THC boleh menyebabkan keresahan dan paranoid (1). CBD mempunyai kesan antipsikotik tetapi tidak cukup kuat untuk mengurangkan kesan samping THC ke atas minda seseorang. THC mempunyai kesan membantu tidur seseorang manakala CBD pula disebaliknya menyebabkan seseorang itu sukar untuk tidur. Kesan lali, mengantuk, mimpi dan jaga yang diperolehi daripada mengambil marijuana adalah hasil daripada tindakbalas THC dan CBD mengikut komponen mana yang lebih berpengaruh. Secara umumnya CBD dapat mengurangkan kesan yang dibawa oleh THC. CBD juga didapati dapat mengurangkan kesan keradangan (inflammatory), mencegah sakit dan boleh merawat penyakit sawan. Jika THC dan CBD diekstrak keluar daripada marijuana, setiap komponen ini mempunyai kesan yang berbeza dan juga membawa implikasi undang-undang serta peraturan yang berbeza. Umumnya THC perlu mengikut peraturan ketat di dalam penggunaanya manakala CBD pula di Amerika Syarikat diklasifikasikan sebagai dadah Schedule 1 dibawah undang-undang federal. Bentuk farmakologi CBD yang dikenali sebagai Epidiolex untuk rawatan penyakit sawan telah diluluskan oleh FDA.
Terdapat 3 golongan masyarakat yang mempunyai pendirian yang bertentangan tentang Marijuana. Ada yang berpendapat bahawa ianya patut dibenarkan atau tidak dikenakan sekatan untuk kegunaan orang ramai manakala satu golongan lagi tidak mahu ianya digunakan sewenang-wenangnya sebagaimana rokok dan alkohol. Golongan ke-3 adalah golongan atas pagar yang tidak pasti dan tidak mempunyai pendirian. Persoalan yang penting perlu dijawab adalah adakah penggunaan Marijuana ini patut dikawal ketat ataupun dibenarkan penggunaannya oleh orang ramai seperti menghisap rokok dan meminum alcohol. Untuk kesempatan ini saya akan menjawab beberapa Mitos mengenai Marijuana yang menjadi alasan yang digunakan oleh golongan yang memperjuangkan marijuana. Saya hanya akan menggunakan bukti kajian saintifik yang telah disiarkan di jurnal-jurnal dan bukan berdasarkan pandangan peribadi seseorang hatta daripada pakar Perubatan sekalipun kerana di dalam disiplin Perubatan moden, sebarang dakwaan yang dikeluarkan hendaklah berasaskan kepada bukti kajian saintifik..
MITOS 1 : MARIJUANA TIDAK MENYEBABKAN KETAGIHAN
Hasil kajian menunjukkan bahawa dakwaan ini tidak benar. Kajian telah menunjukkan bahawa THC yang terdapat di dalam marijuana boleh menyebabkan ketagihan psikologikal dan juga fizikal pada kadar 7-10%. Ada kajian menunjukkan kemungkinan seseorang untuk ketagih marijuana jika mengambil marijuana lebih daripada 21 kali di dalam satu tahun adalah 17.8% untuk lelaki dan 11.4% untuk wanita dengan purata kadar ketagihan sebanyak 13.9% (2). Pengguna marijuana yang berat mengalami gejala “withdrawal” yang serius apabila berhenti mengambil marijuana sama seperti yang dialami oleh ketagihan alcohol dan merokok. Di antara gejala-gejala tersebut adalah gelisah, gian (“craving”), kesukaran untuk tidur, mudah marah, tekanan perasaan , kurang selera makan, meningkat selera makan, menjadi ganas, sukar untuk memfokus, mimpi ngeri, sakit kepala, badan mengeletar, loya, sakit perut dan berpeluh. (3). Gejala ini memuncak selepas 2-4 hari dan berkurang selepas 7-10 hari. Gejala seperti mudah marah, gangguan tidur, kurang selera makan, rasa hendak marah, loya dan sakit perut dikesan lebih kerap berlaku keatas penagih marijuana berbanding dengan perokok. Ada kajian menunjukkan bahawa seseorang itu lebih mudah untuk berhenti ketagihan alcohol dan merokok berbanding dengan ketagihan marijuana. Walaupun ianya kurang kesan ketagihan berbanding dengan heroin dan kokain, ketagihan marijuana sebenarnya lebih serius daripada ketagihan merokok dan minum alcohol. Pengguna marijuana akan mengalami apa yang dinamakan “marijuana use disorders” iaitu peringkat awal sebelum ketagihan sebenar. Data terkini menunjukkan bahawa 30% daripada pengamal marijuana akan mengalami beberapa cirri “marijuana use disorders” dan individu yang mula mengambil marijuana pada usia kurang daripada 18 tahun mempunyai risiko 4-7 kali leih tinggi untuk mengalami marijuana use disorder. Pada tahun 2014, 4.1 juta rakyat Amerika menyalahguna dan ketagih marijuana, di mana 138,000 orang secara sukarela meminta supaya dirawat masalah tersebut. Kajian juga mendapati bahawa penggunaan marijuana adalah tapak permulaan untuk ketagihan bahan lain termasuk alcohol dan nikotin. Jadi inidividu yang ketagihan marijuana mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk ketagihan bahan-bahan lain.
MITOS 2 : MENGHISAP MARIJUANA LEBIH SELAMAT DARIPADA MEROKOK
Merokok memang merupakan penyebab pelbagai jenis penyakit termasuk kanser paru-paru, sakit jantung dan sebagainya. Walau bagaimanapun untuk membuat perbandingan di antara kesan merokok dan menghisap marijuana, kajian perbandingan hendaklah adil. Kajian merokok mudah dilakukan kerana penagih rokok senang diperolehi sedangkan penagih marijuana lebih sukar disebabkan oleh undang-undang yang ada jadi jika ada andaian yang mengatakan merokok itu lebih merbahaya sebenarnya adalah disebabkan oleh tidak ada kajian yang besar dilakukan ke atas penagih marijuana. Kita mempunyai lebih banyak data mengenai kesan samping merokok berbanding dengan marijuana. Lebih banyak data tidak bermaksud merokok itu lebih merbahaya. Terdapat kajian yang membandingkan kesan mengambil marijuana dengan merokok oleh individu dewasa ke atas risiko kanser paru-paru, selepas mengeluarkan factor-faktor “confounders” (maksudnya jika kajian ke atas pengguna marijuana, kesan merokok akan dikeluarkan supaya hanya kesan marijuana sahaja yang dikaji), pengambilan marijuana meningkatkan risiko kanser paru-paru sebanyak 7% setahun, berbanding dengan 6%,setiap pek setahun daripada merokok. Kajian itu juga menunjukkan bahawa risiko menghidap kanser paru-paru adalah 5.7 kali lebih tinggi daripada orang biasa ( relative risk of 5.7)(4). Pengkaji mendapati terdapat dua kali ganda kepekatan bahan karsinogenik (penyebab kanser) di dalam marijuana yang dikenali sebagai  polycyclic aromatic hydrocarbon ataupun PAHs, mereka tidak menggunakan penapis apabila mengambil marijuana. Penghisap marijuana juga didapati menghisap masuk 5 kali ganda kandungan karbon monoksida ke dalam paru-paru untuk setiap hisapan berbanding dengan merokok (5). Menghisap marijuana juga meningkatkan risiko radang bronkus (“bronchitis”), kecederaan saluran pernafasan dan mengganggu system imun di dalam paru-paru. Kesan ini lebih besar daripada yang dapat dilakukan dengan merokok. Menghisap marijuana juga meningkatkan risiko asma dan boleh meningkatkan gejala serangan asma. Kandungan tar, ammonia, hydrogen sianida dan nitous oksida juga lebih tinggi di dalam asap marijuana berbanding dengan asap rokok (6). Kesan psikologi pengambilan marijuana tidak boleh dijangka, ada yang merasa tenang, seronok dan bertenaga, tetapi ada juga yang akan mengalami kerisauan, takut, paranoid (buruk sangka) dan panic. Jika diambil dalam kuantiti yang banyak boleh menimbulkan gejala psikosis seperti halusinasi (nampak atau dengar sesuatu yang orang lain tidak nampak atau dengar), delusi (tanggapan yang tidak masuk akal) dan hilang pertimbangan diri. Pendek kata, marijuana mempunyai kesan negative bukan sahaja ke atas fizikal, tetapi juga mental dan psikologi.
MITOS 3 : GIAN (“HIGH”) SEMASA MENGAMBIL MARIJUANA TIDAK MERBAHAYA SEMASA MEMANDU
Jika anda menggunakan marijuana dalam masa 24 jam dan memandu, anda berisiko untuk mengalami kemalangan jalanraya sebanyak 2.4 kali lebih tinggi. Walaupun kemalangan jalanraya lebih banyak ditemui dalam kalangan orang yang meminum alcohol ianya adalah disebabkan oleh bilangan orang yang mengambil alcohol itu lebih ramai berbanding dengan penagih marijuana. Marijuana menyebabkan kesan mental yang sama seperti alcohol bila dikaitkan dengan risiko kemalangan jalanraya seperti gangguan kemahiran memandu dan ianya bergantung dengan dos (“dos dependent”). Kesan risiko kemalangan jalanraya meningkat apabila pengguna mengambil kedua-duanya sekali (7). Kajian menunjukkan bahawa risiko terlibat dengan kemalangan bergantung kepada kuantiti THC di dalam darah, kandungan THC yang tinggi di dalam darah meningkatkan risiko kemalangan sebanyak 3-7 kali ganda lebih tinggi daripada seseorang yang tidak menggambil sebarang benda yang memabukkan (8). Apa yang merisaukan tentang marijuana adalah dadah yang diambil itu tinggal lebih lama di dalam darah anda berbanding dengan alcohol. Kesan gangguan kepada kemahiran memandu mula dialami selepas 20-40 minit menghisap marijuana dan ini berlanjutan selama 2.5 jam.
MITOS 4 : ANDA TIDAK BOLEH KERACUNAN (“OVERDOSE”) DENGAN MARIJUANA
Ahli Farmakologi menggunakan istilah LD50 ataupun Lethal dose 50 untuk menguji kesan sampingan ataupun keracunan sesuatu bahan. LD50 adalah kuantiti bahan yang diambil yang boleh menyebabkan kematian ke atas 50% daripada sampel yang diuji. Ujian ini dilakukan ke atas haiwan. Jika dibandingkan dengan arsenic, LD50 untuk marijuana (THC) dalam bentuk sedutan adalah 42 mg/kg berat badan berbanding dengan 14 mg/kg arsenic. Nikotin mempunyai LD50 sebanyak 50 mg/kg, kafein 192 mg/kg dan alcohol lebih kurang 7060 mg/kg. Lagi rendah nilai LD50 bermaksud lebih toksik ataupun lebih beracun bahan tersebut. Anda juga boleh mengalami narcosis THC yang akut ataupun intoksikasi jika mengalami keracunan (overdose), ia mungkin tidak menyebabkan kematian tetapi anda akan lumpuh, tidak sedar dan kesesakan bernafas. Anda perlu cepat ke hospital untuk mengelakkan diri daripada mengalami komplikasi lain yang boleh membawa kematian (9). Penghidap asma yang mengambil marijuana boleh menjadi penyebab serangan serius asma dan kematian. Di Amerika Syarikat, terdapat negeri2 yang membenarkan penggunaan marijuana sehingga kadar pengambilan marijuana oleh remaja meningkat dan membimbangkan sehingga ada yang mencecah 39% dalam kalangan remaja. Masalah Perubatan kecemasan akibat daripada marijuana juga meningkat di mana dalam tahun 2011 pemantau penyalah gunaan dadah Amerika yang dikenali sebagai DAWN ( The Drug Abuse Warning Network) telah menganggarkan hampir 456,000 kes kecemasan yang berkaitan dengan dadah telah melapurkan nama Marijuana di dalam rekod Perubatan dan angka ini adalah 21% lebih tinggi jika dibandingkan daripada tahun 2009.
MITOS 5 : MARIJUANA ADALAH PADA ASASNYA SEJENIS TUMBUHAN HERBA DAN MENYIHATKAN JIKA IANYA TIDAK DIHISAP.
Marijuana adalah sejenis tumbuhan yang mengandungi bahan kimia di dalamnya dan salah satu daripadanya adalah THC yang diketahui boleh merosakkan otak jika diambil berlebihan. Apabila mengambil marijuana di dalam bentuk asal samada mentah ataupun dikeringkan, anda tidak tahu berapa banyakkah kandungan THC di dalamnya dan kesan sampingan yang berlaku bergantung kepada dos THC yang diambil. Kesan paling serius yang dilakukan oleh THC adalah kesan ke atas otak anda. Reseptor cannabinoid walaupun paling banyak terdapat di dalam otak, ianya didapati di hampir kesemua oragan badan anda termasuk jantung dan hati. Terdapat banyak kesan negative THC ke atas otak anda, di antaranya adalah kesan negative ke atas bahagian otak yang mengawal pergerakan badan, keseimbangan badan, koordinasi, pembelajaran, pusat selera makan, emosi, ingatan, pertimbangan dan juga kenikmatan. THC juga memberi kesan negative kepada perkembangan otak, menyebabkan pesakit psikotik seperti schizophrenia dan kemurungan bertambah teruk. Marijuana juga diketahui mempunyai karsinogen ataupun agen penyebab kanser. Kajian juga menunjukkan bahawa ibu hamil yang mengambil marijuana mempunyai 36% lebih tinggi untuk melahirkan anak yang cacat. (10). Terdapat juga kajian yang menunjukkan ibu hamil yang menggambil marijuana melahirkan anak yang mempunyai saiz kepala yang lebih kecil dan juga mempunyai risiko yang lebih tinggi melahirkan anak pramatang. Americaal College of O&G  mengesyorkan supaya wanita yang ingin hamil berhenti mengambil marijuana dalam apa sahaja bentuk sebelum hamil. Ketika hamil juga mereka tidak digalakkan untuk mengambil produk marijuana untuk tujuan pengubatan (11).
Terdapat kajian yang mengaitkan pengambilan marijuana dengan menghidap penyakit jiwa ataupun psikosis seperti “bipolar disorders” , kemurungan dan Schizophrenia. Pengamal marijuana kronik mempunyai isipadu hippocampal dan amygdale yang lebih rendah dan ini dikaitkan dengan gejala psikosis. (12). Risiko kerosakan otak ini lebih tinggi jika marijuana diambil pada usia yang lebih muda. Pengambilan marijuana pada usia muda dikaitkan dengan meningkatnya risiko sehingga 6 kali ganda menghidap Schizophrenia dan tahap risiko ini bergantung kepada dos dan kekerapan mengambilnya. Kadar kejadian membunuh diri juga didapati lebih tinggi dalam kalangan penagih marijuana sebanyak 1.3-2.1 kali lebih tinggi. (13). Kajian juga menunjukkan jika suntikan THC diberikan kepada pesakit Schizophrenia yang sudah stabil, ia boleh meningkatkan gejala psikosis pesakit ini termasuk halusinasi, gangguan persepsi, ketegangan badan dan dyskinesia. (14).
MITOS 6: MARIJUANA HANYA MEMBERI KESAN KE ATAS OTAK DAN PARU-PARU SAHAJA
Penggunaan marijuana telah dikaitkan dengan insiden kanser seperti kanser buah zakar, hilang ingatan (amnesia), serangan pitam semasa berdiri (postural syncope), boleh meransang serangan jantung (myocardial infaction) dari kesan vasospastik (mengecutkan saluran darah), THC mengurangkan kandungan asid lemak di otak dan penggambilan jangkapanjang mengurangkan isipadu otak, marijuana yang dihisap juga menyebabkan kerosakan gigi, penyakit gusi dan meningkatkan risiko mendapat prakanser mulut. (15,16). Salah satu lagi gejala yang baru dikaitkan dengan pengambilan marijuana adalah dikenali sebagai Cannabinoid hyperemesis syndrome iaitu gejala loya, muntah dan sakit perut yang berlaku secara periodic. Ini adalah kesan yang bertentangan dengan salah satu manfaat marijuana iaitu mengurangkan muntah. Pesakit mengalami loya dan muntah yang teruk dan menunjukkan tabiat sering mandi air panas (hot bathing) kerana didapati kaedah ini boleh mengurangkan gejala penyakit ini. Punca syndrome ini belum dapat dipastikan. Kesan pengambilan marijuana semenja usia remaja boleh memberi kesan yang serius terhadap kemampuan untuk belajar dan gangguan ingatan jangkapanjang.
MITOS 7 : MARIJUANA TERBUKTI BERKESAN MERAWAT KANSER

Sesuatu ubat melawan penyakit kanser hanya dikatakan berkesan setelah ianya disahkan berkesan selepas melalui kajian klinikal pada fasa 3 iaitu kajian besar ke atas pesakit-pesakit kanser. Tajuk kajian saintifik ini telah dibincangkan panjang lebar di dalam tulisan saya yang lalu (rujuk di sini). Kajian makmal dan kajian fasa satu tidak cukup untuk digunakan sebagai bukti keberkesanan. Ubat antikanser lebih kompleks daripada ubat-ubat moden yang lain kerana untuk menentukan keberkesanan ubat antikanser, bukan sahaja dinilai dari segi berapa cepat ianya dapat membunuh sel-sel kanser tetapi yang lebih penting adalah berapa lama ianya dapat memanjangkan hayat dan memperbaiki mutu kehidupan seseorang pesakit. Kajian yang mengambil masa yang panjang perlu dilakukan untuk mendapatkan maklumat yang tersebut. Ramai ahli masyarakat yang menerima bulat-bulat dakwaan keberkesaan ubat antikanser hanya berdasarkan kepada kajian makmal dan testimoni. Kajian makmal dan testimoni sebenarnya hanya baru dikira peringkat kajian pra-klinikal dan tidak sekali-kali dapat digunakan sebagai bukti keberkesanan. Setakat rencana ini ditulis tidak ada mana-mana Pertubuhan Kanser, Institut Kanser dan lain-lain badan2 antarabangsa termasuk FDA yang mengiktiraf cannabinoid sebagai agent anti-kanser. Salah sebuah pertubuhan kanser adalah American Cancer Society (ACS), sila klik pada paparan ini untuk membaca pendirian ACS mengenai Marijuana dan Kanser (17). Memoral Sloan Kettering Cancer Centre juga di dalam kenyataannya mengatakan bahawa tidak ada asas kajian saintifik yang kukuh untuk mendakwa marijuana di dalam apa sahaja bentu termasuk di dalam bentuk minyak yang dapat merawat penyakit kanser. Ianya sama seperti dakwaan palsu antikanser yang diberikan kepada Laetrile (Vitamin B17) dan juga minuman/makanan beralkali (18). TIDAK ada mana-mana Pakar Kanser (Oncologist) di dunia yang mengiktiraf dan menggunakan cannabinoid untuk merawat kanser di dalam amalan klinikal mereka (selain dari untuk tujuan kajian). Bukti cannabinoid sebagai agen anti-kanser hanya ditemui oleh kajian ke atas tikus dan setakat ini belum ada kajian besar ke atas manusia. Kajian ke atas manusia baru di peringkat fasa 1, itupun melibatkan beberapa orang pesakit sahaja.Is hanya dikategorikan sebagai "substance with POTENTIAL anti-cancer activity" (hanya berpotensi, itupun jika cannabinoid di ekstrak dan ditentukan kuantitinya, BUKAN dengan makan/minum/hisap rokok/daun ganja. Di sebaliknya pula terdapat lapuran hasil kajian yang menunjukkan bahawa individu yang mengambil marijuana terutama di dalam bentuk sedutan meningkatkan risiko kanser paru-paru dan kanser oropharyngeal (tekak). (19) Setakat ini hanya 2 jenis cannabinoid yang diekstrak ataupun yang dihasilkan secara sintetik DILULUSKAN untuk kegunaan sebagai ubat iaitu Dronabinol dan Nabilone tetapi hanya untuk kegunaan mengurangkan kesan samping ubat kemoterapi iaitu loya dan muntah. Dronabinol mengandungi THC juga diluluskan oleh FDA untuk tujuan menangani masalah kurang selera makan dan kehilangan berat badan yang dihadapi oleh pesakit AIDs. Sejenis lagi kanabinoid yang sedang dikaji adalah Nabiximols yang diambil melalui semburan ke dalam mulut mengandungi kedua-dua THC dan CBD (nisbah 1:1). Ianya boleh diperolehi di Kanada dan beberapa negara Eropah untuk merawat kesakitan akibat kanser, kejang otot dan sakit disebabkan oleh multiple sclerosis.Kesimpulannya belum ada bukti kukuh bahawa marijuana dapat merawat kanser yang dihidapi oleh manusia.
MITOS 8 : MARIJUANA TIDAK MEMPUNYAI KESAN KE ATAS PERSEKOLAHAN, KERJA DAN KEHIDUPAN SOSIAL
Daripada maklumat-maklumat yang dinyatakan di dalam rencana ini, jelas menunjukkan bahawa jika sekiranya penggunaan Marijuana ini tidak dikawal maka ianya akan mendatangkan banyak mudarat kepada masyarakat. Tidak seperti rokok dan alkohol, marijuana boleh diambil di dalam pelbagai bentuk sehingga boleh mengabui sesiapa sahaja. Ianya boleh dimasukkan ke dalam makanan, kek dan lain-lain, boleh dijadikan seperti coklat dengan pelbagai warna yang tentu menarik perhatian kanak-kanak. Kajian telah menunjukkan bahawa kesan negatif marijuana ke atas tumpuan, ingatan dan proses belajar boleh berpanjangan selama beberapa hari hingga beberapa minggu selepas berhenti. Jadi sesorang yang mengambil marijuana setiap hari boleh menjadi seseorang yang fungsi intelektual sentiasa rendah sepanjang masa. Pelajar yang menghisap marijuana didapati mempunyai pencapaian akademik yang lebih rendah. Kajian menunjukkan bahawa pelajar yang mengambil marijuana berkemungkinan lebih tinggi untuk tidak dapat melengkapkan pengajian, kurang kemungkinan untuk mendapat ijazah, lebih tinggi kemungkinan untuk ketagihan dadah jenis lain, lebih tinggi kemungkinan untuk berpendapatan rendah, menganggur, terlibat dengan jenayah dan kadar kepuasan hidup yang lebih rendah. (20,21,22). Kajian soal selidik ke atas pengamal marijuana juga mendapati bahawa mereka mendakwa  tabiat mereka itu mempunyai kesan negatif ke atas kebolehan kognitif, pencapaian kerjaya, kehidupan sosial dan kesihatan fizikal serta mental.(23). Terdapat kajian yang mendapati bahawa terdapat hubungan di antara pengambilan marijuana dengan kemalangan tempat kerja di mana pekerja yang didapati positif kepada marijuana ketika ujian kencing dilakukan mempunyai 55% lebih tinggi risiko untuk mengalami kemalangan industri, 85% lebih tinggi risiko kecederaan dan 75% lebih tinggi tidak datang kerja berbanding dengan pekerja yang didapati negatif kepada marijuana.(24)
Dato' Dr.Mohd Rushdan Md Noor
MD,MOG(M”sia),FGO(S’pore),AM
Pakar Perunding Kanser Ginekologi
Unit Ginekologi Onkologi
Jabatan O&G
Hospital Sultanah Bahiyah
Alor Setar, Kedah
RUJUKAN
  1. Morgan CJA, Schafer G, Freeman TP, Curran. Impact of cannabidiol on the acute memory and psychotomimetic effects of smoked cannabis: naturalistic study. The British Journal of Psychiatry, 2010;197(4); 285-290
  2. Ehlers CL, Gizer IR, Vieten C, et al. Cannabis dependence in the San Francisco Family Study: age of onset of ue, DSM-IV symptoms, withdrawal and heritability.Addict Behav, 2010 Feb;35(2):102-110, doi 10.1016/j.addbeh.2009.09.009
  3. Vandrey RG, Budney AJ, Hughes JR, Liguori A. A within-subject comparison of withdrawal symptoms during abstinence from cannabis, tobacco and both substances. Drug Alcohol Deen, 2008; 92(1-3),48-54
  4. Aldington S, Harwood M, Cox B, et al. Cannabis use and risk of lung cancer: a case-control study. Eur Respir. J, 2008; 31(2):280-6, doi: 10.1183/09031936.00065707
  5. Aldington S, William M, Nowitz M, et al. Effects of cannabis on pulmonary structure, function and symptom. Thorax, 2007; 62:1058-1063
  6. Moir D, Rickert WS, Levasseur G, et al. A comparison of mainstream and sidestream marijuana and tobacco cigarette smoke produce under two machine smoking conditions. Chem Res Toxicol, 2008;21(2):494-502
  7. Sewell RA, Poling J, Sofuoglu M. The effect of cannabis compared with alcohol on driving. Am J Addict. 2009; 18(3):185-193
  8. Ramaekers JG, Berghaus G, Van Laar M, Drummer OH. Dose related risk of motor vehicle crashes after cannabis use. Drug and Alcohol Dependence, 2004; 73(2):109-119
  9. PharmD EJ, Leymarie F, Tubery M, Mestre ML. Cannabis-related hospitalizations: unexpected serious events identified through hospital databases. British J of Clinical Pharmacology. 2010. DOI:10.1111/j.1365-2125.2010.03897.x
  10. Linn S, Schoenbaum SC , Monson RR, et al. The Association of Marijuana Use with Outcome of pregnancy. Am J Public Health, 1983;73:1161-1164
  11. http://www.acog.org/Resources-And-Publications/Committee-Opinions/Committee-on-Obstetric-Practice/Marijuana-Use-During-Pregnancy-and-Lactation
  12. Yucel M, Solowi N, Resondek C, et al. Regional brain abnormalities associated with long-term heavy cannabis use. Arch Gen Psychiatry. 2008;65(6):694-701
  13. Zammit S, Allebeck P, Andreasson S, et al. Self reported cannabis use as a risk factor for schizophrenia in Swedish conscripts of 1969: historical cohort study. BMJ 2002;325:1199
  14. D’sauza DC, Abi Saab WM, Madonick S, et al. Delta-9-tetrahydrocannabinol effects in schizophrenia: Implications for cognition, psychosis and addiction. Biology Psychiatry, 2005;57(6):594-608
  15. Daling JR, Doody DR, Sun X, et al. Association of marijuana use and the incidence of testicular germ cell tumours. Cancer, 2009;115(6):1215-1223
  16. Mukamal KJ, Maclure M, Muller JE, Mittleman MA. An Exploratory Prospective study of marijuana use and mortality following acute myocardial infaction. Am Heart J, 2008;155(3):465-470
  17. .http://www.cancer.org/treatment/treatmentsandsideeffects/ physicalsideeffects/chemotherapyeffects/marijuana-and-cancer
  18. https://www.mskcc.org/blog/truth-behind-three-natural-cures
  19.  Mark MA, Chaturvedi AK, Kelsey K, et al. Association of marijuana smoking with oropharyngeal and oral tongue cancers: pooled analysis from the INHANCE consortium. Cancer Epidemiol Biomarkers Prev, 2014; 23(1):160-71.
  20. Macleod J, Oakes R, Copello A, et al. Psychological and social sequelae of cannabis and other illicit drug use by young people: a systematic review of longitudinal, general population studies. Lancet Lond Engl. 2004;363(9421):1579-1588. doi:10.1016/S0140-6736(04)16200-4
  21. Fergusson DM, Boden JM. Cannabis use and later life outcomes. Addict Abingdon Engl. 2008;103(6):969-976; discussion 977-978. doi:10.1111/j.1360-0443.2008.02221.x.
  22. Brook JS, Lee JY, Finch SJ, Seltzer N, Brook DW. Adult work commitment, financial stability, and social environment as related to trajectories of marijuana use beginning in adolescence. Subst Abuse. 2013;34(3):298-305. doi:10.1080/08897077.2013.775092
  23. Gruber AJ, Pope HG, Hudson JI, Yurgelun-Todd D. Attributes of long-term heavy cannabis users: a case-control study. Psychol Med. 2003;33(8):1415-1422.
  24.  Zwerling C, Ryan J, Orav EJ. The efficacy of preemployment drug screening for marijuana and cocaine in predicting employment outcome. JAMA. 1990;264(20):2639-2643.
Link risk of marijuana
RENCANA INI ADALAH PENDAPAT PERIBADI PENULIS DAN TIDAK MEWAKILI MANA-MANA PERTUBUHAN DAN INSTITUSI. SEMUA ISI KANDUNGAN RENCANA INI ADALAH HAK PENULIS DAN TIDAK DIBENARKAN SESIAPA MENGAMBILNYA UNTUK DITUKARKAN DALAM APA SAHAJA BENTUK TANPA KEBENARAN PENULIS.