Tuesday, 28 May 2019

RINGKASAN PERKHIDMATAN KESIHATAN DI MALAYSIA



RINGKASAN PERKHIDMATAN KESIHATAN DI MALAYSIA

Kesihatan adalah salah satu aspek kehidupan manusia yang sangat penting. Tanpa kesihatan yang optima, manusia tidak dapat hidup dengan selesa dan akan mengalami pelbagai masalah. Setiap individu memerlukan penjagaan ataupun pemeliharaan kesihatan yang berbeza. Sebahagian mereka memerlukan penjagaan asas yang biasa dan ada juga yang memerlukan penjagaan yang lebih istimewa serta kompleks. Berdasarkan kepada keperluan ini, sistem perkhidmatan kesihatan kita telah dibahagikan kepada beberapa kategori seperti berikut.

A.   PENJAGAAN KESIHATAN PRIMER (“PRIMARY HEALTHCARE”)

Penjagaan kesihatan primer (PKP) adalah mengenai pemeliharaan kesihatan secara keseluruhan bukan hanya tertumpu kepada rawatan penyakit.  PKP meliputi 3 aspek iaitu (1) Memberikan kuasa kepada orang awam dan masyarakat, (2) Menyediakan polisi yang melibatkan banyak sector & perlaksanaan dan (3) Integrasi perkhidmatan kesihatan. PKP adalah penjagaan kesihatan yang melibatkan promosi kesihatan, pencegahan penyakit (contoh: imunisasi, perancang keluarga) dan menyediakan juga perkhidmatan pengesanan penyakit, penyembuhan, rehabilitasi, sokongan dan paliatif yang bersifat “patient-centred” dan “home-based”. PKP menyediakan perkhidmatan yang diperlukan oleh seseorang sepanjang hidupnya yang memerlukan penyertaan ahli masyarakat. PKP dapat mengurangkan jurang asesabiliti perkhidmatan kesihatan di antara golongan yang miskin di kampung dan yang kaya di bandar. Kajian telah menunjukkan bahawa PKP yang kukuh adalah factor yang paling penting di dalam menyumbang kepada mutu kesihatan yang lebih berkesan dan lebih baik. Fasiliti-fasiliti kesihatan yang wujud di bawah PKP adalah Pejabat Kesihatan Daerah, Klinik Komuniti, Klinik Kesihatan UTC, Klinik Kesihatan dan Klinik Desa. Daripada segi pentadbiran, PKP adalah di bawah Pegawai Kesihatan Daerah, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam) dan Pengarah Kesihatan Negeri.

B.   PENJAGAAN KESIHATAN SEKUNDER (“SECONDARY HEALTHCARE”)

Apabila seseorang menghidap penyakit maka mereka perlu bertemu dengan doktor dan perkhidmatan rawatan penyakit ini disediakan di semua fasiliti perubatan di mana ada yang dikendalikan oleh pegawai perubatan dan ada yang dikendalikan oleh pakar. Penjagaan kesihatan sekunder (PKS) adalah penjagaan kesihatan yang diberikan oleh Pakar dan Pegawai Perubatan yang bertugas di hospital daerah. Mereka mempunyai kepakaran asas untuk merawat masalah kesihatan biasa dan berupaya untuk melakukan saringan untuk merujuk pesakit ke penjagaan kesihatan tertiari. Di antara pengamal perubatan yang terlibat di dalam PKS adalah Pegawai Perubatan, Pakar Umum dan Pakar Perubatan Keluarga. Daripada segi pentadbiran, PKS ini adalah di bawah Pengarah Hospital Daerah, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Perubatan) dan Pengarah Kesihatan Negeri.

C.   PENJAGAAN KESIHATAN TERTIARI (“TERTIARY HEALTHCARE”)

Penjagaan kesihatan tertiary (PKT) menyediakan perkhidmatan kepakaran yang lebih khusus di mana Pakar di perkhidmatan kesihatan sekunder tidak dapat melakukannya samada tidak memiliki kemahiran ataupun kelengkapan yang mencukupi. Lazimnya PKT ini disediakan di hospital-hospital utama setiap negeri contohnya Hospital Sultanah Bahiyah di Kedah dan Hospital Raja Permaisuri Bainun di Perak. . Di antara perkhidmatan yang tergolong di dalam PKT adalah rawatan subkepakaran seperti pembedahan jantung, rawatan kanser, pembedahan otak, pembedahan plastic dan lain-lain. Pusat-pusat yang menyediakan PKT ini juga menjadi pusat rujukan daripada negeri-negeri lain jika perkhidmatan ini tidak dimiliki oleh negeri berkenaan. Pesakit-pesakit yang telah dirawat boleh dikembali ke masyarakat dan diambil aleh oleh PKS ataupun PKP. PKS dan PKP mempunyai struktur pentadbiran yang sama yakni di bawah Pengarah Hospital, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Perubatan) dan Pengarah Kesihatan Negeri.

Kesimpulannya, perkhidmatan kesihatan di negara kita disumbangkan oleh dua perkhidmatan utama iaitu Perkhidmatan Kesihatan dan Perkhidmatan Perubatan. Kedua-dua perkhidmatan ini saling perlu memerlukan dan saling lengkap melengkapi. Terdapat bidang kuasa dan tugas yang bertindihan di antara keduanya. Apabila digabungkan kedua-duanya maka wujudlah satu sistem perkhidmatan kesihatan dan perubatan yang menyeluruh dan holistik.


Dato'Dr.Mohd Rushdan Md Noor

PERUBATAN MODEN, PERUBATAN KOMPLEMENTARI, PERUBATAN ALTERNATIF DAN PERUBATAN INTEGRATIF

Dato' Dr. Mohd Rushdan Md Noor
Pakar Perunding Kanan O&G


PENDAHULUAN

Salah satu krisis besar yang dihadapi oleh manusia di seluruh dunia daripada dahulu hingga sekarang adalah penyakit. Penyakit boleh dikategorikan kepada dua kumpulan besar iaitu penyakit mental dan penyakit fizikal. Penyakit fizikal pula terbahagi kepada dua kumpulan besar iaitu Penyakit Berjangkit ("Communicable disease") dan Penyakit Bukan Berjangkit ("Non-communicable disease"). Saya akan menggunakan definasi penyakit daripada perspektif perubatan moden kerana pengamal perubatan alternatif mempunyai definasi yang berbeza.

Penyakit adalah keadaan di mana berlaku kelainan terhadap struktur ataupun fungsi bahagian tertentu tubuh ataupun keseluruhan tubuh badan manusia sehingga menyebabkan mereka mengalami gejala dan tanda. Kecederaan luar tidak dianggap penyakit. Definasi yang lebih luas adalah sama seperti di atas tetapi ditambah dengan sebarang keadaan yang menyebabkan kesakitan, kelainan fungsi ("dysfunction"), tertekan (masalah emosi), masalah sosial dan kematian. Di dalam perubatan moden, kefahaman tentang punca dan proses kejadian penyakit (patologi) adalah berasaskan fakta serta kefahaman tentang fungsi badan manusia (pathophysiology). Ia bukan ditakrif berdasarkan kepada falsafah, pendapat ataupun sesuatu yang tidak dapat dilihat/dibuktikan wujud secara objektif.

KEDAH MERAWAT PENYAKIT

Terdapat 3 kaedah merawat penyakit yang sering ditemui di dalam penulisan dan amalan masyarakat dunia. Untuk memudahkah kefahaman orang awam, saya bahagikan kaedah rawatan kepada tiga kategori berikut:

  1. RAWATAN PERUBATAN MODEN ATAUPUN KONVENSIONAL
  2. RAWATAN KOMPLIMENTARI
  3. RAWATAN ALTERNATIF

RAWATAN PERUBATAN MODEN ATAUPUN KONVENSIONAL

Saya lebih suka menggunakan istilah Rawatan Perubatan Moden kerana inilah hakikat yang tidak boleh kita nafikan di mana teknologi yang digunakan di dalam rawatan perubatan moden sememangnya canggih, moden dan melalui fasa perkembangan yang sangat pesat. Mungkin ada yang berkata rawatan alternatif dan komplimentari pun ada juga yang moden tetapi jika dibandingkan dengan kecanggihan dan kemodenan kaedah rawatan perubatan moden, wujud jurang perbezaan yang agak jauh. Bandingkan infrastruktur, peralatan dan ubat-ubat yang digunakan di dalam amalan perubatan moden. 

Setengah penulis menggunakan istilah Allopathy bagi mewakili kaedah rawatan perubatan moden tetapi saya kurang bersetuju di atas sebab-sebab yang akan saya terangkan. Perkataan Allopathy dicipta oleh Pengasas Homeopathy iaitu Samuel Hahnemann pada tahun 1810 yang menggambarkan kaedah rawatan yang  agresif. Perkataan Allos bermaksud bertentangan, manakala pathos pula bermaksud menderita (“suffering”) yakni melegakan penyakit melalui kaedah melawan arus. Hahnemann ingin mengaitkan perkataan Allopathy dengan prinsip amalan pengubatan masyarakat kuno Greek yang berpendapat penyakit adalah akibat daripada ketidakimbangan 4 jenis cecair (iaitu darah, kahak, air pundi hempedu kuning dan hitam) dengan 4 keadaan badan (panas, sejuk, basah dan kering). Maka jika seseorang itu demam, mereka percaya ia adalah akibat daripada darah yang berlebihan, jadi untuk mengurangkan demam mereka mengeluarkan darah pesakit. Jadi walaupun terdapat penafsiran semula maksud Allopathy pada hari ini, saya tetap tidak dapat menerimanya kerana merujuk kepada asal usul perkataan itu dicipta. Malahan Dr. William T. Jarvis, bekas Professor di Preventive Medicine Department, Loma Linda University dan Penasihat kepada American Counsil Of Science and Health mempunyai pendapat yang sama. National Council Against Heatlh Fraud di Amerika Syarikat juga mencadangkan supaya tidak digunakan perkataan Allopathy  untuk merujuk kepada perubatan moden.

Prinsip perubatan moden adalah menggunakan kaedah yang terbukti berkesan untuk menyembuhkan penyakit berdasarkan kepada definasi penyakit mengikut kamus perubatan moden.  Kaedah yang terbukti berkesan itu adalah hasil daripada penilaian oleh pakar ke atas bukti kajian saintifik yang terkini. Prinsip ini juga dikenali sebagai amalan berasaskan bukti ataupun “Evidence bases practice”. Terdapat 3 komponen utama Evidence based practice ini iaitu tahap ataupun kewibawaan bukti, kemahiran pengamal perubatan dan penyertaan pesakit di dalam membuat keputusan. Jadi konsep penyakit dan kaedah rawatan di dalam perubatan moden adalah objektif dan saintifik. Ia bukan semata-mata pendapat ataupun falsafah yang tidak disokong oleh bukti yang nyata. Perubatan moden menerima sesuatu fakta perubatan hanya apabila ianya terbukti benar dan selagi ianya tidak dibuktikan benar, perkara itu dianggap hanya andaian ataupun persepsi sahaja. Merawat penyakit berdasarkan falsafah ataupun persepsi ini dianggap tidak beretika oleh perubatan moden. Contohnya jika seorang pesakit demam, kita perlu mencari punca demam itu dengan mengambil sejarah, melakukan pemeriksaan dan ujian. Rawatan akan diberikan untuk menyembuhkan penyakit dengan kaedah merawat punca demam tersebut yang mungkin diakibatkan oleh jangkitan bakteria. Pesakit tidak sepatutnya dirawat hanya berasaskan kepada kepercayaan yang bersifat umum sedangkan penyakit tersebut boleh disebabkan oleh banyak faktor yang dapat dikesan dan bersifat spesifik.  

Rawatan-rawatan yang digunakan oleh pengamal perubatan moden adalah seperti ubat antibiotik, ubat sitotoksik, radioterapi, pembedahan dan lain-lain lagi.Semua kaedah-kaedah ini sudah menjalani kajian klinikal dan terbukti berkesan. Keberkesanan rawatan moden disokong oleh pencapaian tahap kesihatan manusia hari ini berbanding dengan masa lalu. Kadar kematian sakit jantung telah menurun sebanyak 60% dan kadar kematian akibat angin ahmar menurun sebanyak 70% semenjak tahun 1970, kematian akibat HIV/AIDs juga telah menurun lebih daripada 75% semenjak tahun 1995. Kadar kematian akibat kanser juga menurun sebanyak 16% semenjak tahun 1990. Banyak penyakit berjangkit telah dapat dihapuskan oleh vaksin. Purata jangkahayat manusia hari ini juga jauh lebih panjang berbanding dengan 40-50 tahun yang lalu. Apabila rawatan lebih berkesan, walaupun kos rawatan itu lebih tinggi namun kesan akhir daripada rawatan yang berkesan ini adalah kurangnya komplikasi penyakit, memanjangkan hayat dan mengembalikan produktiviti pesakit. Kesan akhir daripada ini adalah penjimatan kos ataupun “health gain” yang diperolehi oleh negara. Contohnya untuk setiap 1 USD wang yang digunakan untuk ubat statin ke atas pesakit jantung, sebanyak 9.44 USD dihasilkan melalui “health gain”. Setiap 1 USD dibelanjakan untuk kawalan gula ke atas pesakit diabetes jenis II, sebanyak 3.77 USD dihasilkan sebagai “health gain”ini. Penggunaan inhaler corticosteroid ke atas pesakit asma selama 1 tahun mengurangkan risiko kemasukan ke hospital sebanyak 50%, bilangan kedatangan pesakit luar menurun sebanyak 26% dan kos kesihatan dalam sebulan dapat dikurangkan sebanyak 24% untuk setiap pesakit.

KAEDAH RAWATAN KOMPLEMENTARI DAN ALTERNATIF

Saya menggabungkan kedua-dua  rawatan komplementari dan alternatif di bawah satu tajuk kerana banyak di antaranya digunakan untuk tujuan yang sama walaupun definasinya berbeza. Singkatan untuk mewakili perubatan komplementari dan alternative ini adalah CAM (“Complementary and Alternative Medicine). Berdasarkan tinjauan kebangsaan pengguna Perubatan Tradisional dan Komplementari yang dijalankan di seluruh negara, pada tahun 2004, 69.4%(67.6% -71.2%) rakyat Malaysia pernah menggunakan perubatan traditional dan komplementari (PTK) semasa hayat. 

Perubatan komplementari adalah sekumpulan kaedah pengesanan dan rawatan yang digunakan bersama dengan perubatan moden. Pendek kata perubatan komplementari yang terpilih digabungkan dengan perubatan moden untuk merawat penyakit. Tidak semua kaedah rawatan komplementari ini diterima oleh perubatan moden sebaliknya hanya yang mempunyai bukti keselamatan sahaja yang akan dipilih. Apabila menggabungkan kaedah rawatan moden dengan komplementari maka ianya dikenali sebagai Perubatan Integratif (“Integrative Medicine”).Contoh Perubatan Intergrasi adalah pesakit yang telah melahirkan anak dan selepas pantang dirujuk untuk menjalani rawatan urutan bagi mengurangkan tekanan dan kesakitan. Kaedah-kaedah lain yang dibenarkan adalah akupuntur, shirodhara, terapi basti luaran, terapi varman dan lain-lain. Walaupun perubatan komplementari digabungkan, namun kaedah perubatan moden masih kekal sebagai kaedah rawatan yang utama.

Perubatan Alternatif pula adalah kaedah pengesanan dan rawatan yang dijadikan pilihan utama dan bukan perubatan moden. Jadi pesakit perlu memilih samada untuk dirawat dengan kaedah perubatan moden ataupun kaedah perubatan alternatif, kedua-duanya tidak boleh bergabung. Senarai-senarai kaedah rawatan alternative ini juga panjang dan terdapat juga yang bertindihan dengan perubatan komplementari. Perbezaan di antara perubatan komplementari dan alternative terletak kepada tujuan ianya digunakan. Jika tujuannya sebagai kaedah sampingan dengan perubatan moden, maka ia dikenali sebagai perubatan komplementari. Jika pesakit memilih rawatan tersebut dan bukan rawatan moden, maka ia dikenali sebagai perubatan alternatif. Contoh rawatan alternative adalah menggunakan kaedah diet ketogenic, vitamin dan suplemen untuk merawat kanser dan bukan kemoterapi, radioterapi ataupun pembedahan. Rata-rata pengamal perubatan moden tidak menerima kaedah lain sebagai rawatan utama untuk merawat penyakit. Dengan perkataan lain, tidak ada istilah perubatan alternative untuk merawat penyakit-penyakit kerana hanya kaedah rawatan moden sahaja yang disokong oleh bukti kajian saintifik yang kukuh. Kesemua kaedah rawatan alternative belum pernah dibuktikan berkesan berdasarkan kepada prinsip “Evidence based Medicine”.

Teknik rawatan yang digunakan oleh pengamal perubatan komplementari dan alternative adalah berasaskan kepada salah satu ataupun kombinasi daripada 5 konsep iaitu
  1. Produk kesihatan yang kelihatan serupa dengan ubat moden seperti ubat homeopati tetapi menggunakan konsep yang berbeza
  2. Intervensi tubuh dan minda (“mind-body intervention”) seperti meditasi, music, seni,yoga dan lain-lain
  3. Terapi berasaskan biologi yakni menggunakan bahan yang bersumberkan alam sekitar seperti herba, makanan dan vitamin.
  4. Kaedah berasaskan struktur dan manipulasi anggota badan seperti membetulkan tulang belakang dan sendi di dalam rawatan urutan, chiropractic ataupun osteopathic. Pengamal chiropractic mendakwa penyakit berasal daripada masalah kedudukan tulang belakang yang tidak betul.
  5. Kaedah terapi tenaga di mana pengamal mendakwa mereka boleh menggunakan medan tenaga untuk merawat penyakit. Terdapat 2 kaedah di bawah kategori terapi tenaga iaitu Biofield therapies (mengubahsuai tenaga yang masuk ke dalam badan manusia) dan Bioelectromagnetic therapies yang menggunakan medan magnet. Contoh Biofield therapies adalah qi gong dan Reiki. Walaupun pengamalnya mendakwa mampu untuk menggunakan kaedah tenaga ini, kewujudannya tidak pernah dibuktikan.
Di antara kaedah-kaedah rawatan yang tergolong di dalam perubatan komplementari dan alternative adalah akupuntur, aromaterapi, Ayurveda, biofeedback, chiropractic, terapi diet, herba, homeopati, hypnosis, urutan, meditasi, naturopati, terapi nutrisi, osteopathic manipulative therapy, Qi gong, refleksologi, reiki, spiritual healing, tai chi, perubatan traditional Cina, perubatan traditional melayu, yoga dan lain-lain lagi.

Pengamal perubatan komplementari dan alternatif tidak perlu mempunyai latarbelakang sains kerana mereka lebih banyak menggunakan konsep ataupun pendapat yang diajar turun menurun yang lebih mudah untuk difahami. Mereka mempunyai institusi pengajian yang menyediakan tempat untuk belajar dan memperolehi sijil ataupun ijazah. Ada diantaranya mempunyai silibus asas yang hampir sama dengan pelajar perubatan walaupun tidak mendalam.  Konsep rawatan penyakit yang mereka percayai itu tidak dapat dibuktikan secara objektif. Kaedah rawatan yang mereka amalkan juga selari dengan kefahaman mereka tentang penyakit. Dengan konsep dan kefahaman yang berbeza tentang penyakit mereka cuba mengaplikasinya ke atas penyakit yang dikesan oleh perubatan moden. Tidak hairanlah mengapa kaedah rawatan mereka berbeza dan dalam banyak keadaan satu kaedah rawatan boleh digunakan untuk merawat banyak jenis penyakit. Walau bagaimana pun amalan perubatan mereka tidak mempunyai cukup bukti keberkesanan kerana kekurangan kajian klinikal yang besar ataupun kajian hanya di peringkat praklinikal. Mereka juga seringkali menggunakan hujah2 lemah untuk meyakinkan orang ramai seperti testimoni dan kajian2 kecil ke atas haiwan.

AKTA 775 TRADITIONAL & COMPLEMENTARY MEDICINE (TCM)

Perubatan moden yang diamalkan oleh petugas perubatan dipantau oleh MMC ataupun Malaysian Medical Council (Majlis Perubatan Malaysia). Ianya ditubuhkan bagi menguatkuasa Akta Perubatan 1971 (pindaan 2012). MMC akan memastikan bahawa pegawai perubatan yang bertugas merawat pesakit mempunyai kelayakan dan amalan perubatan yang dilakukan mengikut peraturan serta etika yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Pegawai Perubatan yang ingin berkhidmat perlu terlebih dahulu mendaftarkan diri mereka dengan MMC dan untuk tujuan pendaftaran tersebut, mereka perlu mengisi borang serta menunjukkan bukti bahawa mereka layak. Doktor yang tidak mendaftar dengan MMC dan tidak memiliki Sijil Amalan Tahunan (Annual Practising Certificate) tidak boleh merawat pesakit. Sijil ini perlu diperbaharui setiap tahun. Ini bagi memastikan bahawa tidak wujud doktor bogus ataupun doktor yang tidak  layak memberi rawatan kepada pesakit. Peraturan-peraturan ini dibuat bagi menjaga kebajikan rakyat khususnya pesakit-pesakit di negara kita.

Bagaimanakah pula dengan amalan perubatan alternatif seperti rawatan tradisional dan komplementari. Hari ini kita dapati amalan ini sangat meluas diamalkan di negara kita sehingga ada ahli masyarakat yang lebih mempercayai TCM melebihi daripada perubatan moden. Sedangkan banyak kaedah rawatan alternatif dan komplementari ini tidak berasaskan kepada bukti kajian saintifik dan terlalu banyak dakwaan palsu yang dibuat oleh pengamal rawatan alternatif. Terdapat ramai pengamal TCM ini yang sebenarnya tidak berkelayakan tetapi mengaku pakar dengan pelbagai gelaran. Menyedari keadaan ini kerajaan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia telah meluluskan Akta 775 yang fungsinya sama seperti Akta Perubatan 1971 di atas.

Terdapat beberapa maklumat penting tentang Akta 775:

1. Traditional & Complementary Medicine (TCM) meliputi Perubatan tradisional Melayu, perubatan tradisional Cina, perubatan tradisional India, amalan perubatan Islam, homeopati dan terapi komplementari yang digunakan untuk tujuan kesihatan meliputi mencegah, merawat, mengendalikan masalah kesihatan ataupun memelihara kesihatan mental dan fizikal seseorang (tidak termasuk perubatan konvensional moden dan pergigian).

2. Akta 775 diwartakan pada 10hb Mei 2016 dan dikuatkuasakan pada 1hb Ogos 2016.

3. Badan yang meregulasikan Akta 775 adalah dikenali sebagai Traditional & Complementary Medicine Council (TCMC*) sama seperti Malaysian Medical Council (MMC)

4. TCMC diletakkan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia, dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia dan terdiri daripada 10 ahli, 3 orang wakil KKM, 2 daripada Universiti dan 5 daripada Industri. Mesyuarat pertama telah dijalankan dan ahlinya telah dilantik.

5. Dengan adanya TCMC dan Akta 775 ini maka semua Pengamal TCM perlu mendaftarkan diri dengan TCMC dan mematuhi Akta 775 seperti mana doktor perubatan dan dentistry berdaftar dengan MMC sebelum boleh beramal dan mematuhi Akta yang ditetapkan oleh MMC.

6. Di bawah Akta 775, seseorang yang tidak berdaftar dengan TCMC, TIDAK BOLEH mengamalkan TCM dan jika melanggar akta ini boleh didenda tidak melebihi RM30,000 ataupun dipenjarakan tidak melebihi 2 tahun atau kedua-dua sekali untuk kesalahan pertama. Bagi kesalahan seterusnya, boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau tidak lebih daripada 3 tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

7. Pengamal TCM yang memiliki sijil amalan TCMC hanya boleh mengamalkan TCM yang diluluskan dan tidak boleh mengamal TCM yang lain. Sijil amalan hanya untuk tempoh 12 bulan dan perlu diperbaharui setelah tamat tempoh.

8. Dengan adanya TCMC dan Akta 775 ini bermaksud hanya amalan TCM yang diperakui oleh KKM sahaja yang akan dibenarkan dan dilakukan oleh pengamal yang benar-benar terlatih dan memiliki sijil amalan.

PENDIRIAN PENGAMAL PERUBATAN MODEN TERHADAP PERUBATAN KOMPLEMENTARI DAN ALTERNATIF

Semua pengamal perubatan moden yang berprinsip akan beramal berdasarkan kepada kaedah Perubatan Berasaskan Bukti ataupun Evidence based Medicine (EBM). Tajuk EBM ini dibincangkan dengan panjang lebar di dalam rencana yang lain, sila rujuk blog saya di www.faktasains.com dalam seksyen rencana. Maka jika amalan dilakukan atas prinsip EMB maka kaedah rawatan penyakit yang terbaik setakat ini adalah kaedah perubatan moden. Jadi kami berpendirian bahawa pesakit sepatutnya bertemu dengan doktor perubatan yang berpegang kepada prinsip EBM ini untuk menjalani pemeriksaan, ujian dan rawatan. Jika penyakit yang dihidapi itu memerlukan rawatan sampingan ataupun rawatan komplementari, maka pengamal perubatan moden akan menilai dan memilih kaedah-kaedah yang terbukti selamat digunakan dan mempunyai keberkesanan yang munasabah. Di dalam memilih kaedah rawatan komplementari, isu keselamatan (“safety”) adalah factor yang paling utama. Rawatan komplementari yang terpilih itu pula hanya menjadi kaedah sampingan dan bukan rawatan utama di mana doktor perubatan yang merawat akan menjadi perawat utama yang mempunyai autoriti rawatan ke atas pesakit. Kaedah rawatan komplementari yang digabungkan adalah bertujuan untuk mengurangkan sakit (melalui power of suggestion), mengurangkan stress dan meningkatkan motivasi pesakit. Ia bukan bertindak untuk merawat punca penyakit.

Setakat rencana ini ditulis, belum ada lagi kaedah rawatan yang tergolong di dalam amalan perubatan alternatif yang diterima oleh pengamal perubatan moden sebagai kaedah rawatan utama. Ini disebabkan kaedah-kaedah rawatan perubatan moden yang sedia ada sudah menjalani kajian klinikal dan terbukti berkesan serta selamat digunakan. Berbeza dengan kaedah rawatan alternatif yang rata-rata tidak menjalani proses pembuktian yang sama. Pendek kata pengamal perubatan alternatif beramal dahulu, bukti kemudian berbeza dengan pengamal perubatan moden yang beramal dengan sesuatu yang sudah terbukti berkesan dan selamat. Di samping itu FDA dan pihak berkuasa ubatan tidak memantau produk-produk di bawah perubatan alternatif sebagaimana pemantauan yang dilakukan ke atas produk perubatan moden. Salah satu sebabnya adalah kerana produk perubatan alternatif bukan di bawah kategori ubat ataupun produk terkawal. Banyak di antaranya diletakkan di bawah kategori makanan tambahan dan rawatan tradisional yang lebih mudah menerima kelulusan untuk dipasarkan. Malangnya ramai yang memilih perubatan alternatif sebagai kaedah utama rawatan penyakit sehingga mereka lambat mendapatkan rawatan yang lebih berkesan dengan perubatan moden. Di Amerika, 40% daripada rakyatnya pernah mencuba kaedah rawatan alternative di dalam hidup mereka dan sebanyak 30 bilion USD dibelanjakan oleh mereka untuk kaedah rawatan alternative. Sebab itu kaedah ini terus berkembang kerana ia memberi pulangan yang sangat besar kepada industri. Pesakit yang merasa lega menjalani rawatan alternatif adalah kerana mereka menganggap gejala seperti sakit, letih, sesak nafas dan lain-lain itu adalah petunjuk kepada punca penyakit. Maksudnya jika gejala itu kurang, punca penyakit juga sedang disembuhkan. Sebenarnya perasaan lega itu hanya bersifat sementara dan mainan minda semata-mata. Punca penyakit masih tidak dirawat dan pesakit ini perlu terus bertemu dengan pengamal rawatan alternatif apabila gejalanya datang kembali. Rawatan alternatif nampak berkesan hasil daripada kesan komunikasi di antara pengamal dengan pesakit, kesan kelegaan seumpama ini dikenali sebagai kesan plasebo.

Apabila seseorang mengalami gejala seperti sakit dan lenguh, mereka akan bertemu dengan pengamal perubatan alternatif. Melalui konsep rawatan yang disebutkan di atas, pesakit berkemungkinan akan merasa lega. Sakit dan lenguh badan mereka mungkin berkurangan tetapi adakah ini petunjuk yang penyakit mereka sudah sembuh? Sebenarnya perasaan lega itu hanya bersifat sementara dan mainan minda semata-mata. Punca penyakit masih tidak dirawat dan pesakit ini perlu terus bertemu dengan pengamal rawatan alternatif apabila gejalanya datang kembali. Rawatan alternatif nampak berkesan hasil daripada kesan komunikasi di antara pengamal dengan pesakit, kesan kelegaan seumpama ini dikenali sebagai kesan plasebo. Sakit dan lenguh adalah gejala utama seseorang yang stres dan kemurungan, mereka tidak mempunyai penyakit fizikal. Pengamal perubatan moden tidak memandang rendah ke atas kesan plasebo dan inilah yang menyebabkan sebahagian kaedah rawatan alternatif dan komplementari ini tidak ditolak sebaliknya boleh diintegrasikan bersama untuk meningkatkan kepuasan pesakit. Kaedah rawatan alternatif menjadi mudarat jika ianya belum terbukti selamat diamalkan dan akibat daripada memilih rawatan ini pesakit lewat mendapatkan rawatan utama daripada hospital.

ADAKAH PERUBATAN MODEN MENGAMALKAN KAEDAH HOLISTIK

Perkataan holistik seringkali digunakan oleh pengamal perubatan komplementari dan alternatif untuk mewakili mereka. Jika perkataan itu digunakan bagi mewakili kaedah rawatan mereka maka seolah-olah perubatan moden ini bukan holistik. Apakah definasi rawatan holistik yang sebenarnya.

Perkataan perubatan holistik merujuk kepada kaedah rawatan yang melibatkan rawatan ke atas semua komponen yang membentuk tubuh manusia yakni fizikal, emosi, mental, sosial dan juga spiritual. Jadi pendekatan yang digunakan hendaklah menangani kesemua komponen ini. Adalah tidak benar jika ada dakwaan yang mengatakan perubatan moden bukan pendekatan yang holistik sedangkan di dalam bidang perubatan moden terdapat banyak bidang kepakaran dan subkepakaran samada untuk tujuan merawat penyakit fizikal, psikologikal dan mental. Konsep menganggap pesakit itu adalah seorang manusia dan bukan penyakit (“the patient is a person, not a disease”) sememangnya menjadi salah satu prinsip yang dipegang oleh doctor perubatan, persoalannya cuma samada ianya dilaksanakan ataupun tidak.

Di dalam merawat pesakit kami tidak mengenepikan isu yang berkaitan dengan sosial pesakit sebab itu kami sangat menekankan pentingnya kemahiran berkomunikasi, merawat pesakit dengan perasaan empati dan perihatin tentang latarbelakang sosial serta ekonomi mereka.  Di setiap hospital juga mempunyai unit pekerja sosial yang dijadikan tempat rujukan jika pesakit mengalami masalah kewangan dan sosial. Begitu juga daripada aspek spiritual, di setiap hospital terdapat petugas agama memberi sumbangan daripada segi spiritual. Bagi penganut agama Islam, terdapat petugas agama di setiap hospital dan pesakit diberikan panduan bagaimana untuk bersembahyang ketika sakit dan sebagainya. Di setiap pagi, bacaan doa beramai-ramai dilakukan untuk memohon kelegaan daripada Tuhan. Kesemua langkah-langkah ini tidak lain adalah untuk memberi rawatan yang holistik kepada pesakit.

Sekarang ini kerajaan dan Kementerian Kesihatan Malaysia sedang mempromosikan kaedah rawatan perubatan integratif (“Intergrative Medicine”) menggabungkan perubatan moden dengan perubatan komplementari. Banyak hospital telah dilengkapi dengan kemudahan ini melalui Unit Perubatan Tradisional dan Komplementari (PTK). Kaedah perubatan komplementari yang digabungkan ini adalah untuk tujuan mengurangkan kesakitan, mengurangkan stress dan meningkatkan semangat pesakit. Kesimpulannya kaedah perubatan moden yang diamalkan oleh pengamal perubatan moden pada hari ini sememangnya sudah boleh dikira sebagai perubatan yang holistik mengambilkira keseluruhan komponen tubuh badan pesakit.

Menggunakan kaedah rawatan perubatan moden tidak semestinya akan melibatkan suntikan, pembedahan dan lain-lain bentuk rawatan yang invasif. Pengamal perubatan moden percaya akan pentingnya penjagaan pemakanan, senaman dan gaya hidup sihat di dalam menguatkan tubuh badan untuk melawan penyakit. Terdapat keadaan tertentu di mana pesakit tidak diberikan rawatan khusus sebaliknya hanya dipantau kerana perawat berpendapat jika rawatan diberikan, pesakit akan mengalami lebih mudarat daripada manfaat. Di samping itu masalah kesihatan tersebut boleh hilang dengan sendirinya. Jadi perubatan moden tidak menolak kepentingan sistem pertahanan badan untuk melawan penyakit secara semulajadi. Walau bagaimanapun berbeza dengan perubatan alternatif, kami percaya ada ketikanya sistem pertahanan ataupun tenaga semulajadi yang ada pada manusia tidak mampu untuk menyembuhkan penyakit tanpa bantuan tambahan. Pada ketika ini satu bentuk intervensi ataupun bantuan tambahan perlu dilakukan ke atas pesakit. Jika intervensi itu tidak diberikan, pesakit boleh mendapat komplikasi yang serius ataupun mati. Merawat penyakit seperti ini adalah umpama memberi senjata tambahan kepada pejuang-pejuang yang hampir tewas di dalam peperangan. Dengan senjata tambahan tersebut, peperangan tersebut dapat mereka kuasai dan ini dapat mencegah kecederaan dan kematian yang lebih ramai.

Dakwaan pengamal perubatan alternatif bahawa kaedah rawatan mereka lebih holistik, lebih semulajadi dan tidak memerlukan suntikan serta pembedahan merupakan helah untuk merendah-rendahkan perubatan moden. Mereka ingin menutup kelemahan kaedah rawatan alternatif yang kekurangan daripada segi bukti keberkesanan kerana kurang kajian yang berwibawa. Malahan ada yang telah didapati memudaratkan pesakit, contohnya produk-produk herba dan jamu yang dikesan boleh menyebabkan kerosakan hati dan buah pinggang. Itu belum lagi mengambil kira produk-produk yang dimasukkan ubat-ubat terlarang seperti steroid, antihistamin dan lain-lain lagi. Perkataan semulajadi dan bebas kimia juga seringkali digunakan untuk menarik penyokong sedangkan apa sahaja yang ada di dunia ini adalah berasaskan kepada sebatian kimia. Tambahan pula 25-50% ubat-ubat moden yang ada pada hari ini adalah sebenarnya bersumberkan bahan semulajadi daripada tumbuhan.

KESIMPULAN

Terdapat berbezaan ketara di antara perubatan moden, komplementari dan alternative. Jika masyarakat memahami ketiga-tiga jenis rawatan perubatan ini secara terperinci maka tidak ada sebab mengapa mereka  tidak memilih perubatan moden sebagai kaedah utama untuk merawat penyakit. Kaedah perubatan komplementari boleh digabungkan dengan perubatan moden di dalam apa yang dikatakan Perubatan Integratif. Walaupun kaedah perubatan komplementari ini digabungkan namun ianya bukan kaedah utama sebaliknya berperanan untuk menjadi kaedah sampingan bari meningkatkan mutu perkhidmatan dan mencapai apa yang dikatakan rawatan holistik. Tidak semua kaedah perubatan komplementari ini diluluskan untuk berintegrasi dengan perubatan moden, ianya hanya terhad kepada beberapa kaedah yang didapati selamat digunakan. Satu lagi kaedah rawatan adalah perubatan alternatif. Setakat rencana ini ditulis, belum ada kaedah alternatif yang boleh menggantikan perubatan moden sebagai kaedah utama rawatan penyakit. Kedua-dua kaedah perubatan komplementari dan alternative walaupun digunakan dengan meluas namun keberkesanan kaedah-kaedah ini masih belum disahkan kerana kekurangan kajian klinikal ke atas manusia. Banyak daripada kaedah-kaedah ini menggunakan prinsip yang berbeza daripada perubatan moden. Hampir semua prinsip tersebut berdasarkan kepada kepercayaan yang melibatkan tenaga, medan magnet dan factor minda yang tidak dapat dibuktikan secara objektif.

Dato'Dr.Mohd Rushdan Md Noor
Pakar Perunding Kanan O&G
Hospital Sultanah Bahiyah
Alor Setar, Kedah


RUJUKAN

  1. Mandel I.S. Understanding Differences Between Holistic, Alternative and Complementary Medicine. 2009, Inquiries Journal/Student Pulse, 1(10)
  2. Sullivan T. Modern Medicine versus Alternative Medicine: Different Levels of Evidence. Media, May 6, 2018.
  3. What Is Holistic Medicine? WebMD, https://www.webmd.com
  4. Holistic health care? Br J GenPract, 2007, Feb 1;57(535):162-163
  5. Ostermeyer K. Pros and Cons of Alternative Medicine, Modern Medicine and Traditional Medicine,July 2018
  6. http://tcm.moh.gov.my/en/index.php/policy/national

Saturday, 25 May 2019

SUPLEMEN YANG MENGANDUNGI ANTIOKSIDAN POLYPHENOLS UMPAMA SERAMPANG DUA MATA

Dato'Dr.Mohd Rushdan Md Noor

Saya percaya perkataan Polyphenol tidak asing kepada penjual dan pengamal suplemen kerana ini adalah salah satu nama "ajaib" yang menjadi penarik kepada banyak jenis produk suplemen. Dengan adanya nama ini, maka seribu satu macam khasiat akan dikaitkan dengan pengambilannya. Di dalam rencana ini saya akan cuba terangkan apakah risiko mengambil produk suplemen yang tidak diketahui status keberkesanan dan keselamatannya dengan mengambil contoh suplemen yang mengandungi POLYPHENOLS.

Polyphenols adalah sekumpulan sebatian kimia yang ditemui di dalam tumbuh-tumbuhan termasuk sayuran, buah-buahan, kekacang dan bijirin. Sebenarnya terdapat beribu-ribu jenis sebatian kimia yang tergolong di dalam kumpulan polyphenols. Tiga di antaranya adalah FLAVONOIDS, ASID FENOLIK DAN RESVERATROL yang sering digunakan dalam produk suplemen. Ringkasnya polyphenols adalah fitonutrien (nutrien dari tumbuhan) yang memiliki ciri-ciri ANTIOKSIDAN. Apabila mempunyai ciri antioksidan, maka keluarlah pelbagai dakwaan kemujarabannya seperti antipenuaan, mencegah kanser, merawat keradangan, memelihara kulit, sakit jantung, diabetes, penyakit Alzeimers dan lain-lain lagi. (1,2,3)

Malangnya, dakwaan kemujaraban polyphenol dalam bentuk suplemen tidak pernah dibuktikan berkesan ke atas manusia. Tidak ada kajian klinikal yang kukuh dijalankan ke atas manusia untuk menyokong dakwaan ini. Walaupun ada kajian tetapi ianya hanya kajian praklinikal yang dilakukan di dalam makmal ke atas ekstrak polyphenol. Pendek kata, tidak ada bukti kukuh produk suplemen yang mengandungi polyphenol ini bermanfaat kepada manusia.

Persoalan kedua, adakah ianya selamat diambil ? Soalan ini juga sukar dijawab atas alasan yang sama kerana jika tidak ada kajian klinikal yang berwibawa untuk menguji keberkesanan, maka begitulah juga keselamatan. Ia mungkin selamat semasa kajian praklinikal ke atas haiwan di dalam makmal tetapi itu bukan jaminan selamat ke atas manusia.

Apabila kita tidak dapat menjawab dengan yakin persoalan keselamatan, maka ini juga bermaksud ada kemungkinan produk yang mengandungi polyphenol ini boleh memudaratkan. Cuba kita tengok apakah potensi kemudaratan yang boleh diakibatkan oleh polyphenols ini jika diambil dalam kuantiti yang tinggi:

1. Pengambilan suplemen antioksidan seperti polyphenol boleh menyebabkan gangguan kepada keseimbangan antioksidan dan radikal bebas di dalam badan. Badan memerlukan kedua2 antioksidan dan radikal bebas pada tahap yang optima. Keseimbangan ini berlaku secara semulajadi. Berlebihan salah satu daripadanya boleh memudaratkan kesihatan. Kajian ke atas haiwan yang menghidap kanser menunjukkan kanser itu lebih cepat merebak apabila disuntik dengan antioksidan kerana walaupun radikal bebas boleh merosakkan sel, ciri2 ini juga bermanfaat untuk memusnahkan sel kanser. (4)

2. Ahli Sains mendapati polyphenols boleh memberi kesan mengurangkan kandungan nutrien tertentu di mana ia boleh mengikat beberapa jenis mineral seperti zat besi. Jadi dalam kuantiti tertentu ia boleh menjadi anti-nutrisi (1).

3. Kandungan polyphenols yang tinggi juga boleh meningkatkan risiko penyakit jantung (melalui gangguan ke atas pemprosesan homocysteine) dan risiko meransang kanser ke atas individu yang berisiko. (5)

4. Kajian juga mendapati ada polyphenol (contoh: navingenin) mampu merencat enzim yang bertanggungjawab memetabolismakan ubat dan ini menyebabkan boleh berlaku "overdose". Pendek kata ia mempunyai kesan interaksi dengan ubat-ubat lain (6). Polyphenols boleh berinteraksi dengan ubat seperti ubat tahan sakit (NSAIDs) dan warfarin (ubat pencair darah).

5. Terdapat lapuran kes kerosakan hati akibat pengambilan suplemen yang berasaskan teh yang mengandungi polyphenol yang tinggi. Kajian ke atas haiwan juga mendapati pengambilan diet yang mengandungi polyphenol yang tinggi boleh menyebabkan kematian, kerosakan buah pinggang dan hati. (7,8)

Walaupun banyak kajian yang melapurkan kemudaratan ini dilakukan di dalam makmal dan apabila kuantiti polyphenol itu diambil dengan banyak, namun ianya sudah cukup membuat kita merasa bimbang memandangkan suplemen mengandungi ekstrak polyphenol dan selalunya diambil oleh semua orang tidak kira yang sihat ataupun yang sakit. Produk suplemen juga tidak dipantau dengan ketat oleh FDA disebabkan oleh statusnya sebagai makanan tambahan. Jika anda seorang yang sihat, anda berpotensi untuk menjadi sakit. Lebih-lebih lagi polyphenol terdapat di dalam banyak sumber makanan seperti sayuran, buah2an, bijirin (nasi, gandung), teh, bawang dan lain-lain yang menjadi makanan ruji ramai penduduk dunia. Tidakkah anda bimbang kemungkinan mengambil polyphenol ini secara berlebihan apabila di samping mengambilnya daripada sumber makanan, anda menambah kuantitinya lagi di dalam bentuk suplemen. Kebetulan masalah utama masyarakat hari ini adalah obesiti dan makan berlebihan.

Kesimpulannya, walaupun suplemen yang mengandungi polyphenol ini mungkin dikeluarkan oleh kilang yang besar dengan pasukan R&D yang hebat, banyak persoalan yang belum terjawab. SETAKAT INI, SUMBER TERBAIK POLYPHENOL ADALAH MELALUI MAKANAN. Cerita tentang polyphenol ini sebenarnya sama sahaja dengan suplemen2 yang lain yang ada di dalam pasaran.Saya boleh katakan bahawa mengambil suplemen yang mempunyai status seperti ini samalah seperti menyeluk tangan anda ke dalam bakul yang anda tidak tahu apakah yang ada di dalamnya, mungkin duit, barang kemas ataupun mungkin binatang berbisa. Ada juga kemungkinan bakul tersebut kosong dan tidak memberi apa2 manfaat kepada anda. Mengapa sanggup memperjudikan keselamatan diri dan menghabiskan wang yang banyak demi untuk sesuatu yang belum pasti.

DDr Rushdan Noor
26hb Mei 2019
21 Ramadan

RUJUKAN

1. Martin KR, Christy LA. Polyphenols as dietary supplement. A double-edged sword. Nutrition and Dietary Supplement, 2010;2:1-12
2.Bravo L. Polyphenols: Chemistry, dietary sources, metabolism, and nutritional significance. Nutr Rev, 1998;56:317-333
3.Nijveldt RJ, van Nood E, van Hoorn DEC, et al. Flavonoids: A review of probable mechanisms of action and potential applications. Am J Clin Nutr, 2001;74:418-425
4.Halliwell B. Dietary polyphenols: Good, bad, or indifferent for your health? Cardiovasc Res. 2007;73:341-347
5. Olthof MR, Hollman PC, Zock PL, Katan MB. Consumption of high doses of chlorogenic acid, present in coffee, or of black tea increases plasma total homocysteine concentration in human. Am J Clin Nutr, 2001;73:532-538
6. Kiani J, Imam S, Medicinal importance of grapefruit juice and its interaction with various drugs. Nutr J. 2007;6:33
7. Bonkovsky HL. Hepatotoxicity associated with supplements containing Chinese green tea (Camellia sinensis). Ann Intern Med. 2006;144:68-71
8.Isbrucker RA, Edwards JA, Wolz E, et al. Safety studies on epigallocatechin gallate preparations. Part 2: Dermal, acute and short-term toxicity studies. Food Chem Toxicol, 2005;44:636-650
9. Hodgson JM, Burke V, Beilin LJ, Croft KD. Can b

Wednesday, 22 May 2019

ANTARA KHILAF DAN SESAT DALAM DISIPLIN PERUBATAN MODEN

Dato' Dr.Mohd Rushdan Md Noor

Tidak kira bagaimana pesatnya perkembangan ilmu perubatan yang berlaku pada hari ini, pengamal perubatan yang BERETIKA akan kekal berpegang dengan prinsip amalan berdasarkan bukti ataupun "evidenced based medicine" (EBM). EBM merangkumi 3 komponen utama iaitu kemahiran doktor, tahap pembuktian ("levels of evidence") dan komitmen pesakit. EBM juga menekankan betapa pentingnya sesuatu penyakit itu dirawat oleh pakar yang mahir di dalam bidang berkenaan menggunakan kaedah yang mempunyai tahap pembuktian yang tinggi.

Semua kaedah2 rawatan ke atas penyakit yang dikesan oleh perubatan moden samada penyakit berjangkit ataupun penyakit bukan berjangkit (NCD) seperti diabetes, darah tinggi, kanser dan lain-lain adalah JELAS dan mempunyai garispanduan rawatan yang standard dihasilkan oleh pakar2 berdasarkan prinsip EBM. Garispanduan ini dinamakan protokol rawatan dan CPG (Clinical Practise Guideline) yang menjadi rujukan pengamal perubatan. Contohnya penyakit kanser, kaedah rawatan yang berdasarkan kepada EBM adalah kemoterapi, radioterapi, pembedahan, terapi hormon ataupun terapi sasaran. Tidak ada perbezaan yang ketara di antara CPG yang dihasilkan oleh pertubuhan luar negara dan negara kerana semua menggunakan prinsip yang sama.

Memang terdapat perkara2 yang kabur ataupun "grey area" di dalam amalan perubatan. Dalam ilmu agama, kita panggil KHILAFIAH yakni sesuatu pendapat yang tidak ada kata putus yang jelas di mana hujah kedua2 pihak yang berbeza ini mempunyai kekuatan hujah/dalil yang seimbang. Di dalam konteks perubatan, apakah perkara-perkara yang dianggap khilaf dan apa pula yang dianggap menyimpang/sesat.

Sebenarnya khilaf dalam kalangan pengamal perubatan adalah LUMRAH, contohnya pesakit kanser A telah dibedah dan selepas pembedahan, pakar B berpendapat pesakit tidak perlu rawatan kemoterapi tetapi pakar C berpendapat perlu kemoterapi. Kedua2 pakar B dan C memberi hujah yang sama kuat. Ini kita katakan khilaf dalam amalan perubatan. Begitu juga jika berlaku perbezaan pendapat tentang jenis ubat kemoterapi yang hendak digunakan. Manakala apa yang dikatakan SESAT adalah apabila seorang pengamal mengesyorkan makan jamu, herba ataupun suplemen untuk MERAWAT atau MENCEGAH kanser, kerana dalilnya sangat lemah, tidak selari dengan prinsip EBM. Jadi mengamalkan sesuatu yang belum terbukti bermanfaat adalah sesat, lebih2 lagi jika ia melibatkan keselamatan dan kos. Apatah lagi jika terdapat bukti yang ianya boleh memudaratkan. Kita menentang kesesatan bukan menentang perkara yang khilaf.

Selagi orang awam berpegang kepada pandangan pengamal perubatan yang mempertahankan prinsip EBM ini, mereka akan terselamat daripada mudarat akibat rawatan yang tidak betul, mengamalkan sesuatu yang tidak diperlukan dan pembaziran wang ringgit. KKM adalah autoriti kesihatan yang jelas berpegang kepada prinsip EBM dan menyokong mana-mana kumpulan yang memperjuangkannya.

Tidak kira samada dalam bidang perubatan ataupun agama, tentu ada golongan yang menggunakan kedudukan mereka untuk tujuan peribadi khususnya untuk imbuhan wang. Dalam konteks perubatan, salah satu ciri2 golongan ini adalah mempromosikan sesuatu aliran fikiran dan kefahaman yang akhirnya membawa kepada tawaran membeli produk kesihatan yang TIDAK berasaskan kepada prinsip EBM. Ada di antara mereka mempengaruhi orang ramai supaya menganggap yang sesat itu adalah khilaf dan mencampur-adukkan sains dan pseudosains. Pendek kata mereka sanggup mengenepikan prinsip, demi untuk habuan peribadi. Ada di antara mereka sengaja memandang sinis prinsip EBM sedangkan inilah yang mereka belajar semasa menuntut di dalam bidang perubatan. Inilah yang diajar oleh guru2 mereka yang mahir dan berpengalaman.

Dato'Dr.Mohd Rushdan Md Noor
Medical Mythbusters Malaysia
23 hb Mei 2019
18 Ramadan

Untuk memahami dengan lebih mendalam mengenai EBM, klik pautan di bawah:
https://www.faktasains.com/single-post/2019/05/22/PERUBATAN-BERASASKAN-BUKTI-%E2%80%9CEVIDENCE-BASED-MEDICINE%E2%80%9D

PERUBATAN BERASASKAN BUKTI ("EVIDENCE-BASED MEDICINE"

Perubatan berasaskan bukti (dalil) ataupun Evidence-based medicine (EBM) adalah kebijaksanaan menggunakan hasil penyelidikan saintifik yang terkini di dalam membuat keputusan berkaitan dengan penjagaan pesakit. EBM melibatkan integrasi kepakaran klinikal dengan bukti kajian saintifik dan penglibatan pesakit di dalam membuat keputusan terbaik. Jadi EBM melibatkan integrasi 3 komponen utama iaitu bukti paling kukuh, kepakaran klinikal (kemahiran doktor) dan kehendak pesakit (Best evidence, Clinical expertise dan Patient values & preferences). Dengan mempraktikkan prinsip EBM ini, doktor akan dapat mencapai 3 matlamat utama iaitu mutu rawatan yang lebih baik, kepuasan pesakit yang lebih baik dengan kos yang lebih rendah. Setiap keputusan yang dibuat oleh doktor samada yang melibatkan penyiasatan dan kaedah rawatan, hendaklah mengambil kira komponen-komponen ini supaya hasil yang diperolehi adalah terbaik.

EBM tidak hanya menggunakan bukti untuk merangka kaedah rawatan, ia juga menggalakkan dialog di antara pesakit dan doktor untuk membuat keputusan Bersama. EBM tidak semestinya dilaksanakan dengan melakukan intervensi tetapi dengan EBM juga memberi panduan kepada doktor bila tidak perlu melakukan sebarang intervensi ("when not to intervene).

EBM menjadi sempurna jika ianya diamalkan oleh pakar yang berkemahiran tinggi menggunakan bukti kajian saintifik yang berwibawa. EBM tidak akan mencapai matlamatnya jika doktor yang merawat tidak mahir walaupun bukti kaedah rawatan tersebut sudah kukuh. Maka factor kepakaran adalah sangat penting, contohnya penyakit kanser payudara tentu paling baik dirawat oleh pakar bedah payudara berbanding dengan pakar bedah am. Begitu juga bukti yang digunakan sebagai rujukan hendaklah mempunyai tahap kewibawaan yang tinggi. Tidak ada gunanya kepakaran seseorang doktor jika ia tidak beramal berdasarkan kepada bukti yang berwibawa. Pendek kata kepakaran doktor dan kewibawaan bukti saling lengkap melengkapi. Untuk menjadikan EBM ini lengkap adalah keterlibatan pesakit di dalam proses menentukan kaedah rawatan yang terbaik.

TAHAP PEMBUKTIAN DAN BUKTI KAJIAN SAINTIFIK

Terdapat beberapa jenis bukti yang digunakan untuk menentukan tahap kewibawaan sesuatu dakwaan perubatan (“level of evidences”), di antaranya adalah kajian klinikal (“clinical trial” ), kajian case control, lapuran kes ataupun “case series” dan pendapat pakar (“expert opinion”). Setiap jenis bukti ini mempunyai kewibawaan yang berbeza dan berdasarkan kepada kewibawaan yang berbeza inilah penyelidik dapat mengkategorikan jenis-jenis bukti ini kepada 8 tahap ataupun “ levels of evidence”. Jenis bukti yang paling kukuh/tinggi adalah “systematic review of randomized controlled trial” ataupun dikenali sebagai tahap 1a (Level 1a), manakala jenis bukti yang paling lemah adalah pendapat pakar. Case series ataupun case report adalah juga jenis bukti yang lemah iaitu kategori 4. Testimoni yang dilakukan oleh individu2 yang tidak diketahui kewibawaanya tentu terletak lebih ke bawah ataupun mungkin tidak langsung termasuk di dalam mana2 kategori. Setiap jenis bukti ini pula akan dikelaskan mengikut gred cadangan (grade of recommendation) daripada gred A, B, C dan D. Contohnya bukti pada tahap 1a dan 1b diletakkan di bawah gred cadangan A. Ini bermaksud sesuatu fakta yang dibuat berdasarkan kepada tahap bukti 1a dan 1b akan dianggap fakta yang paling kukuh dan gred paling tinggi iaitu A. Dengan menentukan tahap bukti dan gred cadangan ini maka doktor akan mengetahui sejauh mana berwibawanya sesuatu dakwaan perubatan. Contohnya ubat A terbukti berkesan merawat penyakit B, bukti keberkesanan ubat A adalah berdasarkan kepada tahap bukti 1b yakni melalui “individual randomized control trial”. Maka apabila kita ditanya apakah kewibawaan maklumat yang mengatakan ubat A berkesan merawat penyakit B, kita akan menjawab tahap bukti 1b (level 1b evidence) dan gred cadangan A (Gred A recommendation). Lihat jadual 1 untuk mengetahui jenis-jenis gred cadangan (grade of recommendation) dan tahap pembuktian (level of evidence).

Kajian klinikal adalah salah satu daripada jenis-jenis bukti yang digunakan oleh doktor untuk menentukan tahap pembuktian dan gred cadangan. Jika kita merujuk kepada jadual 1, kajian klinikal merangkumi tahap pembuktian 1a dan 1b. Kajian klinikal adalah kajian yang dilakukan untuk menguji keberkesanan sesuatu kaedah rawatan ataupun ubat-ubatan yang dilakukan ke atas manusia. Contoh kajian klinikal adalah untuk menguji keberkesanan ubat baru, menguji kegunaan lain sejenis ubat, kaedah baru pemberian ubat, dan kaedah lain rawatan penyakit. Semua pengamal perubatan moden wajib mengetahui bagaimanakah untuk menentukan kewibawaan sesuatu kajian klinikal. Ia mempunyai 5 fasa kajian klinikal, iaitu fasa praklinikal, fasa klinikal 1, fasa klinikal 2, fasa klinikal 3 dan fasa klinikal 4. Tidak semua kajian mempunyai kualiti yang sama, doktor yang mahir mampu untuk menilai tahap kewibawaan sesuatu fasa kajian klinikal.

Jadual 1 : 8 tahap pembuktian dan 4 gred cadangan

MANFAAT AMALAN BERASASKAN EBM

EBM adalah prinsip yang diiktiraf oleh semua pengamal perubatan moden di seluruh dunia. Individu ataupun kelompok yang tidak menerima prinsip ini dianggap bukan dalam kalangan pengamal perubatan moden yang beretika.

Terdapat sekurang-kurangnya 5 cara bagaimana EBM menambah nilai system kesihatan kita:
  1. Membantu doktor untuk sentiasa terkini (updated) dengan protocol rawatan yang standard. Melalui EMB inilah pakar-pakar menghasilkan protokol ataupun garispanduan rawatan yang berasaskan kepada bukti kajian saintifik terkini. Memandangkan tidak semua doktor mampu untuk sentiasa mengemaskini pengetahuan, protokol yang dihasilkan ini dapat dijadikan rujukan berguna.

  2. Kakitangan perubatan kini mempunyai akses yang lebih baik kepada pengetahuan kerana teknologi yang lebih baik seperti electronic medical records (EMRs), protokol, data warehouse dan analitik yang canggih. Malaysia sedang menuju ke arah ini dan dengan kaedah mengakses data yang lebih mudah ini kakitangan dapat menggunakan EBM untuk menyediakan perkhidmatan pesakit berdasarkan kepada data yang hampir real-time. Perkembangan ini dapat mengurangkan masa untuk mengisi jurang di dalam evidence base dan mengurangkan ketidakpastian proses menentukan keputusan (decision making process). Evidence-based decision making, global evidence, local decision.

  3. Memperbaiki ketelusan, akauntabiliti dan nilai. Mengamalkan EBM dapat membantu mendesak pihak berkenaan supaya lebih telus, akauntable dan nilai sehingga menghasilkan kaedah rawatan yang bukan sahaja berkesan, selamat tetapi juga dengan kos yang lebih rendah. Ini disebabkan semua keputusan yang telah dibuat adalah terbukti yang terbaik.

  4. Meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan. Amalan yang berasaskan kepada EBM tentu akan meningkatkan mutu perkhidmatan dan mengurangkan kos rawatan kerana ia menentukan pemilihan kaedah rawatan yang lebih sempurna dan kepuasan pesakit mengambilkira 3 komponen yang dinyatakan di atas (pakar,bukti dan penglibatan pesakit).

  5. Meningkatkan hasil (“improves outcome”). Alasan yang paling penting mengapa EBM ini diperlukan adalah kerana ianya sudah terbukti bermanfaat dan berkesan. Ini dibuktikan oleh sekurang2nya 5 kajian kes yang disiarkan di dalam Evidence based medicine matters di mana penggunaan EBM meningkatkan hasil seperti contoh tempoh pemulihan yang lebih cepat selepas pembedahan, kaedah yang terbaik melahirkan anak songsang dan lain-lain lagi.
Dato' Dr.Mohd Rushdan Md Noor
Pakar Perunding Ginekologi Onkologi
Medical Mythbusters Malaysia

Sunday, 19 May 2019

GMF (GENETICALLY MODIFIED FOODS) – MAKANAN TERUBAH SUAI GENETIK

Dato'Dr.Mohd Rushdan Md Noor


APAKAH GMO DAN GMF

GMF adalah makanan yang dihasilkan daripada tumbuhan dan haiwan yang telah melalui proses mengubahsuaian DNA. Perkataan GMO ataupun  “genetically modified organism”pula mewakili organisma (tumbuhan, haiwan ataupun mikroorganisma) yang melalui proses pengubahsuaian DNA. Jadi daripada GMO, kita akan memperolehi GMF. Proses pengubahsuaian DNA ini dilakukan melalui teknologi kejuruteraan genetic. DNA adalah molekul yang terdapat di dalam sel yang bertanggungjawab membawa gene/baka di mana ianya bertanggungjawab menentukan sifat sesuatu organisma. Jadi tujuan pengubahsuaian DNA ini adalah untuk mengubah sifat sesuatu organisma. Pengubahsuaian DNA ini melibatkan pertukaran ataupun pemindahan gene/baka supaya DNA lebih baik dan ini akan menyebabkan organisma yang dihasilkan itu juga bertambah baik. 

Proses pengubahsuaian DNA ini sebenarnya berlaku secara semulajadi tetapi pada kadar yang sangat perlahan, jadi ahli sains telah menemui kaedah bagaimana proses ini dapat dipercepatkan melalui teknologi GMO. Dengan perkataan lain, walaupun tidak dilakukan proses GMO ini oleh manusia, alam semulajadi akan tetap melakukannya. Matlamat utama menghasilkan GMO adalah untuk kebaikan pengeluar dan juga pengguna. Hasil daripada teknologi GMO ini adalah tumbuhan dan haiwan yang bermutu lebih tinggi. Contohnya tumbuhan yang lebih sihat, lebih subur, mempunyai ketahanan terhadap serangan makhluk perosak dan cuaca yang lebih tinggi. Organisma GMO ini juga mempunyai pertahanan yang lebih baik terhadap serangan penyakit akibat jangkitan. Ini tentu akan menguntungkan pengeluar dan juga pengguna. Walaupun terdapat proses pengubahsuaian DNA yang melibatkan pemindahan gene/baka daripada organisma lain untuk menghasilkan toksin tetapi toksin yang dihasilkan itu tidak memudaratkan manusia, sebaliknya ini dapat mengurangkan penggunaan racun serangga ke atas tumbuh-tumbuhan GMO kerana kemampuan GMO ini untuk melawan serangan perosak.

KESELAMATAN GMO DAN GMF

Memandangkan proses menghasilkan GMO ini melibatkan proses pengubahsuaian gene dan penggunaan gene organisma lain, maka terdapat beberapa perkara yang menjadi tumpuan WHO iaitu kesan produk GMO ini keatas kesihatan, potensi untuk menyebabkan alahan, kesan ke atas nilai nutrisi, kesan ke atas persekitaran dan lain-lain kesan akibat pengubahsuaian gene. Semua aspek yang saya sebutkan tadi telah menjadi asas penilaian produk GMO yang diterajui oleh WHO bagi memastikan ianya tidak berlaku. WHO juga mengenakan syarat2 tertentu ke atas proses penghasilan GMO supaya perkara tersebut di atas tidak berlaku. Pendek kata produk GMO menjalani proses penilaian keselamatan yang lebih ketat berbanding dengan produk konvensional yang tidak GMO. Ini sebenarnya memberi kelebihan kepada GMO kerana produk bukan GMO pun sebenarnya berpotensi memberi masalah yang sama. Makanan yang terhasil daripada GMO dan hendak dipasarkan ke pasaran antarabangsa perlu melalui proses penilaian keselamatan dan ia hanya dibenarkan untuk memasuki pasaran jika telah lulus penilaian ini. Badan yang bertanggungjawab memantau keselelamatan produk GMO dan mengeluarkan garispanduan adalah Codex Alimentarius Commission (Codex) yang merupakan gabungan dua pertubuhan besar iaitu FAO dan WHO. FAO ataupun Food and Algriculture Organization adalah badan di bawah Pertubuhan Bangsa2 Bersatu. Semua produk GMO yang dipasarkan di pasaran antarabangsa telah mendapat kelulusan daripada badan yang saya sebutkan di atas. Di samping itu terdapat juga kaedah mengesan produk GMO menggunakan teknik molecular seperti PCR untuk mengesan kehadiran marker tertentu contohnya p35S, tNos dan lain-lain yang dapat mengesahkan bahawa ia adalah produk GMO.

Jika anda membaca pendapat masyarakat dunia tentang produk GMO ini anda pasti akan menemui pendapat yang menyokong dan pendapat yang tidak menyokong. Terdapat badan dan gerakan yang anti kepada produk GMO dan menjalankan aktiviti memberi gambaran buruk terhadap GMO, diantaranya adalah Center for Food Safety, The Better Health Store, Institute for Responsible Technology dan lain-lain. Jadi jika anda menerima berita yang negative terhadap GMO, maka berkemungkinan besar ianya datang dari individu ataupun wakil pertubuhan2 yang anti GMO. Keadaan ini sama sahaja dengan kebimbangan vaksin terhadap kehidupan manusia. Persoalannya adakah pendapat mereka ini mempunyai asas yang kukuh. Malangnya kebimbangan yang disiarkan tersebut lebih kepada persepsi dan kemungkinan semata-mata tanpa berasaskan kepada bukti yang kukuh. Sebagai orang awam, anda hendaklah mendapatkan pandangan daripada badan dan pertubuhan yang berwibawa sebelum membuat kesimpulan. Banyak badan saintifik yang berwibawa di dunia termasuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia, American Association for the Advancement of Science, American Medical Association, United Nations Food & Algriculture Organization, US National Academy of Sciences, British Royal Society dan banyak lagi pertubuhan telah menilai keselamatan GMO dan GMF dan membuat kesimpulan bahawa mengambil makanan daripada produk GMO ini tidak lebih mudarat daripada produk yang bukan GMO. Badan-badan ini telah menganalisa beribu2 kajian saintifik dan membuat kesimpulan bahawa makanan daripada GMO tidak membawa mudarat yang lebih besar terhadap manusia, haiwan dan juga alam sekitar berbanding dengan makanan2 yang lain. Tidak ada bukti DNA ataupun genetik tumbuhan ataupun haiwan yang dimakan boleh berinteraksi dengan DNA ataupun genetik manusia. Satu kajian meta-analisis telah mendapati teknologi GMO menghasilkan tumbuhan yang lebih kebal kepada serangan penyakit dan serangga perosak sehingga penggunaan racun serangga berkurangan hampir 40%. Setakat rencana ini ditulis, belum ada lagi kenyataan tegas dan pertubuhan-pertubuhan kesihatan antarabangsa mencegah masyarakat menjauhi produk GMO dan GMF. Produk GMO ini sudah berada di pasaran Amerika selama 30 tahun dan belum ada lapuran kesan negative produk ini sehingga perlu menghentikan penghasilan produk GMO.  Satu lapuran komprehensif telah dikeluarkan oleh National Academy of Sciences Amerika tentang keselamatan GMO di mana melalui penilaian terperinci, mereka membuat kesimpulan bahawa setakat ini GMF tidak lebih memudaratkan jika dibandingkan dengan makanan yang bukan GMF, tidak ada impak negatif kepada alam sekitar (kajian ke atas kualiti madu lebah yang dihasilkan dan lain-lain) dan ia telah mengurangkan penggunaan racun serangga. Walau bagaimanapun setakat ini teknologi GMO ini belum dapat meningkatkan penghasilan produk seperti yang diharapkan. Lapuran juga menyebut bahawa jawatankuasa mendapati tidak ada bukti bahawa pengambilan GMF meningkatkan alahan makanan, meningkatkan kesan sampingan saluran makanan ataupun sebarang risiko akibat pemindahan gene. Kadar penyakit autism, obesity, kanser dan penyakit buah pinggang juga tidak menunjukkan peningkatan semasa era makanan GMO. Walau bagaimana pun jawatankuasa menekankan bahawa masih terdapat keterbatasan daripada segi apa yang kita tahu terutama daipada segi kesan jangka-panjang. Kajian dan pemantauan perlu diperluaskan untuk memperbaiki teknologi dan mencegah berlakunya kesan negatif.  



POTENSI MASA DEPAN GMO DAN GMF

Potensi masa depan teknologi GMO adalah tidak terbatas dan sangat besar. Contohnya gene daripada labah-labah yang bertanggungjawab menghasilkan protein untuk membuat sutera boleh dimasukkan ke dalam DNA kambing yang kemudian protein yang sama dapat diekstrak keluar daripada susu kambing untuk menghasilkan sutera. Pakar genetic juga telah berjaya menghasilkan khinzir yang kelihatan bercahaya di dalam gelap dengan kaedah memasukkan gene yang bertanggungjawab menyebabkan ubur-ubur kelihatan bercahaya ke dalam khinzir. Buah tomato yang tahan beku telah dihasilkan dengan memindahkan gene antibeku daripada ikan air sejuk (cold water fish) ke dalamnya. Baru-baru ini FDA telah meluluskan penghasilan kentang yang tidak rosak/lebam dan apel yang tidak bertukar perang/lebam dengan menghasilkan kentang dan apel yang kurang mengeluarkan enzim bertanggungjawab menyebabkan lebam. Melalui teknologi kejuruteraan genetic ini juga dapat menghasilkan makanan yang rasanya lebih sedap, lebih berkhasiat, kurang menyebabkan alahan, kurang karbohidrat serta kolesterol  dan kualiti protein yang lebih tinggi. Saintis sudah berjaya menghasilkan nasi yang mengandungi lebih zat besi dan vitamin, buah pisang yang dapat menghasilkan vaksin melawan hepatitis B, ikan yang membesar dengan lebih cepat dan lain-lain lagi.

Setakat ini belum ada lagi peraturan yang mensyaratkan logo GMO ataupun GMF diletakkan pada produk yang dipasarkan sebaliknya FDA mengenakan peraturan supaya pihak pengeluar menyatakan perbezaan bahan yang terdapat di dalam produk tersebut. Contohnya GMF minyak kanola mengandungi lebih asid laurik ("lauric acid") berbanding dengan bukan GMF, jadi pengeluar akan melabelkan "Laurate Canola Oil", GMF minyak kacang soya mengandungi lebih tinggi asid oleic jadi ia akan menggunakan label "High Oleic Soybean Oil". Bermula pada Januari 2020, satu peraturan baru akan dikenakan mengikut National Bioengineered Food Disclosure Standard di mana produk GMO perlu meletakkan label "Derived from Bioengineering" atau "Bioengineered".

GMF DAN STATUS HALAL DI MALAYSIA

Di Malaysia, berdasarkan Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985, makanan atau minuman yang diperoleh melalui kaedah bioteknologi moden ini perlu dinyatakan sumber genetiknya pada pelabelan pembungkusan. Selain daripada itu, pernyataan seperti “(nama ramuan) diubah suai secara genetik” perlu dinyatakan dengan jelas pada label bagi memberikan maklumat kepada pengguna. Peraturan ini mula dikuat kuasakan pada 9 Julai 2014.  
Dalam memahami GMF daripada perspektif Islam, Majlis Fatwa Kebangsaan telah mengeluarkan beberapa fatwa yang berkaitan. Fatwa tersebut adalah seperti berikut :
1.   Bioteknologi dalam makanan dan minuman (Muzakarah Khas, Julai 1991)
2.Hukum memakan makanan terubah suai genetik (Muzakarah Fatwa Kebangsaan kali ke 95, 17 Jun 2011)
3.Penghasilan monosodium glutamate (MSG) menggunakan mikroorganisma terubah suai (Muzakarah Fatwa Kebangsaan kali ke-105, Februari 2014)
Intipati utama daripada keputusan yang telah dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan berkenaan dengan makanan terubah suai genetik adalah :

1. Apa-apa sahaja sumber genetik yang diperoleh daripada sumber babi adalah HARAM.
2.   Penggunaan sumber genetic yang haram dan boleh memudaratkan manusia serta memberi kesan negative kepada alam sekitar adalah tidak dibenarkan.
3.   Sumber yang diperoleh daripada haiwan yang halal dimakan dan disembelih dengan mengikut syarak adalah dibenarkan.
4.   Sumber bakteria terubah suai genetik yang digunakan dalam penghasilan MSG diperoleh daripada usus orang dewasa dibenarkan kerana ia telah melalui proses pengasingan dan penyucian serta tidak menyalahi hukum syarak.

KESIMPULAN

Teknologi penghasilan GMO dan GMF adalah satu petunjuk kepada kemajuan teknologi untuk tujuan yang baik demi kepentingan pengeluar dan juga pengguna. Ia menggunakan teknologi kejuruteraan genetiK dengan memindahkan gene daripada satu organisma kepada organisma yang lain bertujuan untuk memperbaiki ciri organisma tersebut ataupun menambah ciri-ciri istimewanya. Semakin banyak negara menghasilkan GMO dan GMF dan memandangkan ianya membawa banyak manfaat seperti tumbuhan dan haiwan yang lebih produktif, kebal kepada jangkitan, kebal kepada racun, mempunyai khasiat yang lebih baik dan lain-lain manfaat kepada pengguna. Walau bagaimanapun disebabkan oleh kaedah mengubahsuai gene dan penggunaan mikroorganisma lain, wujud kebimbangan dalam kalangan masyarakat terhadap kesan negative yang mungkin boleh dibawa oleh teknologi ini khususnya kepada kesihatan dan juga kesan ke atas alam sekitar. Setakat ini hampir semua pertubuhan kesihatan antarabangsa dan badan-badan dunia yang berwibawa telah membuat kenyataan bahawa produk GMO dan GMF ini tidak membawa kemudaratan yang lebih besar daripada produk bukan GMO samada ke atas kesihatan manusia ataupun kesan buruk alam sekitar. Masyarakat perlu merujuk kepada badan-badan antarabangsa ini untuk mengambil pendirian kerana terdapat banyak badan-badan lain yang mempunyai pendirian anti produk GMO dan seringkali memberi imej yang negative kepadanya. Kebanyakan imej-imej negative yang diberikan ini adalah hanya berdasarkan kepada persepsi dan tidak mempunyai bukti yang kukuh. Sedangkan hakikatnya, produk GMO yang dipasarkan telah menjalani ujian keselamatan di semua peringkat berbanding dengan produk bukan GMO. Walau bagaimanapun, kajian dan pemantauan patut terus dijalankan oleh badan-badan berautoriti bagi memperbaiki teknologi GMO dan juga mengesan sebarang kesan negatif yang tidak diduga.






RUJUKAN

3.Kl├╝mper W, Qaim M (2014) A Meta-Analysis of the Impacts of Genetically Modified Crops. PLoS ONE 9(11): e111629. https://doi.org/10.1371/journal.pone.0111629
4. Genetically Engineered Crops, Consensus Study Report 2016. National Academy of Science.
7. Akta Makanan 1983 & Peraturan-peraturan Keselamatan Makanan 1985
8. Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal-Ehwal Ugama Islam Malaysia, JAKIM