Friday, 16 August 2019

PANTANG DARIPADA PERSPEKTIF PERUBATAN MODEN

KLIK DI SINI UNTUK KE LAMAN UTAMA


PANTANG DARIPADA PERSPEKTIF PERUBATAN MODEN

Berpantang mempunyai sejarah yang sangat panjang dan sehingga hari ini ianya dianggap seperti amalan tradisi yang tertanam di dalam kehidupan masyarakat kita. Berpantang secara tradisional yang dibawa turun menurun oleh nenek moyang mempunyai banyak kaitan dengan pengalaman, budaya dan kepercayaan. Berpantang tidak terhad kepada makanan tetapi juga gayahidup dan tingkahlaku. Ianya tidak mempunyai asas saintifik yang kukuh tetapi ada di antaranya yang tidak memudaratkan kesihatan. Ada juga pantang yang mempunyai tujuan tersirat bagi mengelak musibah lain, pantang sebegini lebih tertumpu kepada gayahidup dan tingkahlaku.

Kebanyakan pantang yang diamalkan berasal daripada pengalaman orang zaman dahulu. Pada pandangan pengamal perubatan moden, pengalaman seseorang tidak boleh dijadikan bukti yang kukuh untuk mengaitkan sesatu punca dan akibat. Banyak keadaan di mana masyarakat kita salah mengaitkan sesuatu punca dengan akibat, tambahan pula setiap orang mempunyai keunikan masing-masing. Tidak hairanlah mengapa ujudnya begitu banyak jenis pantang dan senarai makanan yang tidak boleh dimakan, kerana ianya dikumpulkan zaman berzaman. Sains mempunyai kaedah tersendiri untuk menentukan kekuatan hubungan di antara punca dan akibat ("causal relationship"). Hubungan ini juga perlu selari dengan kefahaman yang betul mengenai bagaimana badan manusia berfungsi (fisiologi). Mempelajari ilmu anatomi, fisiologi dan patologi adalah keperluan asas untuk menjadi seorang doktor kerana asas ilmu inilah yang akan menjadi seseorang doktor faham bagaimana organ badan mereka berfungsi dan bagaimana penyakit boleh berlaku serta diubati. Tidak mendalami ilmu ini adalah umpama seorang yang cuba belajar membaca tetapi tidak mengenal huruf.

Amalan berpantang atau tidak mengambil sesuatu jenis makanan sebenarnya juga wujud di dalam perubatan moden tetapi dengan ALASAN YANG BERBEZA. Berikut adalah 5 keadaan di mana Pengamal Perubatan moden mengiktiraf amalan berpantang:

1. Berpantang terhadap makanan yang boleh menyebabkan ketidakselesaan contohnya seperti makanan yang boleh menghasilkan gas yang banyak sehingga perut menjadi kembung dan tidak selesa, jenis2 makanan ini hanya diketahui oleh individu berkenaan kerana kandungan flora (bakteria usus) yang berbeza di dalam setiap individu menyebabkan kuantiti gas yang dihasilkan selepas menguraian makanan juga berbeza. Ada juga individu yang mengalami gejala lain apabila mengambil makanan tertentu, ini berdasarkan pengalaman masing-masing.Anda tidak perlu mendapatkan maklumat ini daripada orang lain, kerana anda lebih tahu tentang tubuh badan anda sendiri, pengalaman orang lain berbeza.

2. Berpantang terhadap makanan yang menyebabkan alahan. Ada individu yang alah (alergik) kepada makanan dan minuman tertentu sehingga apabila mengambilnya mengakibatkan gatal, bengkak, dan ada juga mengalami muntah atau cirit birit. Setiap individu akan mengalami alahan kepada makanan yang berbeza, ada juga individu bernasib baik kerana tidak mengalami alahan kepada mana-mana jenis makanan/minuman.

3. Berpantang terhadap makanan tertentu yang boleh mengganggu ubat yang diambil untuk merawat penyakit ("food-drug interaction"). Ada makanan ataupun minuman tertentu yang boleh menganggu penyerapan ubat, berinteraksi dengan ubat, mengganggu metabolisma ubat dan ada juga yang mengubah kadar pengeluaran ubat daripada badan. Contohnya:
~ Makanan tinggi vitamin K seperti bayam, brakoli dan asparagus perlu dikurangkan jika pesakit mengambil ubat Warfarin
~ Produk susu yang tinggi kalsium dan magnesium boleh mengganggu penyerapan beberapa antibiotik
Banyak lagi contoh-contoh "food-drug interaction" yang tidak dinyatakan.
Ikuti arahan pengambilan ubat yang disediakan oleh pihak Farmasi dan nasihat doktor

4. Berpantang terhadap makanan tertentu yang boleh menjejaskan lagi penyakit. Contohnya pesakit buah pinggang perlu menghadkan makanan yang tinggi kandungan sodium dan potasium seperti avocados(tinggi potasium) dan makanan dalam tin (tinggi sodium). Pesakit buah pinggang juga tidak digalakkan mengambil minuman dan makanan yang mengandungi kandungan fosforus yang tinggi.Pesakit gastritis disyorkan supaya tidak mengambil (ataupun kurangkan) alkohol, kopi, tomato, jus buah, makanan pedas dan minuman bergas. Jika anda seorang pesakit, maka dapatkan nasihat doktor tentang makanan yang perlu dielakkan ataupun dikurangkan.

5. Berpantang mengambil makanan tertentu sebagai persediaan untuk menjalani ujian perubatan. Amalan ini dilakukan hanya ketika ujian dilakukan. Contoh:
~ Ujian mengukur 5-HIAA untuk mengesan serotonin ke atas pesakit yang disyaki menghidap kanser carcinoid. Pesakit dilarang mengambil makanan yang mengandungi tinggi serotonin seperti nenas, pisang dan kiwi.
~ Menjalani ujian PET scan, tidak boleh mengambil bijirin, susu, roti dan gula dalam masa 12 jam sebelum ujian dijalankan.

Kesimpulannya pantang mengikut pengamal perubatan moden hanya tertumpu kepada golongan tertentu dan tidak dikenakan ke atas semua orang. Berbeza dengan pantang tradisi yang dikenakan ke atas semua orang tanpa pengecualian apabila mereka berada dalam fasa-fasa tertentu kehidupan (haid, selepas bedah, selepas melahirkan anak dan lain-lain). Sedangkan pantang mengikut perubatan moden hanya diamalkan apabila ujud 5 keadaan di atas. Perubatan moden menggunakan pengetahuan yang mendalam bagaimana organ tubuh manusia berfungsi untuk mengesyorkan sesuatu bentuk pantang, ianya bukan atas dasar pengalaman, testimoni ataupun amalan turun menurun yang tidak diketahui asal usulnya.

Pada pandangan pengamal perubatan moden, makanan serta minuman adalah penting untuk membekalkan tenaga, air, nutrien dan serat. Tenaga dan nutrien amat penting untuk tumbesaran, mengekalkan kesihatan, menguatkan sistem pertahanan, metabolisma dan mempercepatkan pemulihan/penyembuhan. Pemulihan dan penyembuhan ini juga merujuk kepada semua organ dan sistem termasuk organ peranakan. Maka prinsip pemakanan ini hendaklah diamalkan oleh semua orang lebih-lebih lagi oleh seseorang yang sedang di dalam proses penyembuhan serta pemulihan samada akibat luka, jangkitan, sakit, pembedahan dan juga selepas melahirkan anak. Inilah perbezaan yang sangat ketara dengan pantang cara tradisional.

Akibat daripada prinsip berpantang cara tradisional yang menghadkan pengambilan makanan dan minuman, maka amalan ini boleh memudaratkan kesihatan. Jika berpantang menyebabkan seseorang mengalami kekurangan zat,kekurangan air dan pergerakan fizikal dihadkan, maka ianya dianggap pantang yang bertentangan dengan amalan perubatan moden. Walau bagaimana pun ada pantang tradisional yang tidak memudaratkan jika orang yang berpantang itu diberikan pilihan lain. Contohnya seseorang ibu yang melahirkan anak berpantang daripada memakan laksa, tetapi mereka boleh mengambil makanan lain sebagai ganti. Walaupun alasan tidak mengambil laksa itu tidak diterima oleh sains, wanita ini boleh mengambil makanan lain yang berzat. Di dalam keadaan ini, tidak makan laksa tidak mendatangkan mudarat selagi wanita itu mengambil makanan lain yang berzat. Kayu ukur kepada keselamatan berpantang bergantung kepada apakah nilai nutrisi yang diperolehi oleh individu berkenaan hasil daripada amalan itu. Jika mereka menerima nutrien yang cukup, sesuai dengan keperluan mereka seperti yang disyorkan oleh pakar pemakanan, maka amalan berpantang itu tidak ditolak. Di samping itu orang ramai perlu sedar kewujudan golongan tertentu yang mengambil kesempatan mengaut keuntungan melalui kepercayaan berpantang cara traditional sehingga masyarakat kita perlu berhabisan wang ringgit untuk mendapatkan sesuatu yang tidak mereka perlukan ataupun mungkin boleh memudaratkan.

KESIMPULAN

Berpantang daripada perspektif perubatan moden adalah berdasarkan kepada 5 alasan iaitu makanan yang boleh menyebabkan ketidakselesaan, makanan yang menyebabkan alahan, makanan atau minuman yang boleh berinteraksi dengan ubat, makanan yang boleh memberi kesan negatif terhadap penyakit yang dihidapi dan persediaan sebelum ujian perubatan. Tidak ada bukti sains yang kukuh menyokong kaedah berpantang yang diamalkan oleh nenek moyang kita turun menurun. Tambahan pula ada di antara amalan ini boleh memudaratkan kesihatan. Individu-individu yang tidak berpenyakit TIDAK perlu untuk berpantang terhadap makanan ataupun minuman tertentu selagi ianya bersih, halal dan tidak berlebihan, tidak kira di dalam fasa apakah kehidupan mereka (akhil baligh, datang haid,selepas melahirkan anak, lepas bedah dll). Jika anda berpegang dengan prinsip pantang yang difahami oleh pengamal perubatan moden, anda tidak tertekan dengan sekatan melampau sehingga kempunan, anda bebas mengambil makanan kegemaran anda dan paling penting masa depan kesihatan anda lebih terjamin. Anda juga boleh kembali aktif seperti sediakala dalam jangkamasa yang singkat. Pilihan di tangan anda.

Dato' Dr.Mohd Rushdan Md Noor
Pakar Perunding Kanan Obstetriks & Ginekologi
Kementerian Kesihatan Malaysia
Ahli Medical Mythbuster Malaysia
5hb Okt 2018

Jika anda berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang buku KANSER: FAKTA DAN MITOS ini sila klik pada imej di atas.

Monday, 12 August 2019

BENARKAH SATAY PUNCA PENYAKIT KANSER ?


Kebelakangan ini banyak tulisan dan dakwaan yang mengaitkan alat, minuman dan makanan sebagai punca penyakit kanser. Berita terbaru adalah satay boleh menyebabkan kanser walaupun berita ini dikitar semula. Seperti yang pernah saya nyatakan dalam tulisan yang terdahulu memang terdapat banyak bahan penyebab kanser ataupun karsinogen di sekeliling kita, di dalam udara, tanah, makanan, air dan angkasa.

Terdapat karsinogen yang terbentuk melalui tindakbalas kimia apabila sesuatu jenis makanan dimasak dengan kaedah tertentu. Contohnya adalah memasak makanan dengan kaedah pemanasan tinggi, memanggang, membakar dan menggoreng. Umumnya makanan yang direbus tidak terlibat dengan menghasilkan bahan2 tersebut. Jenis makanan yang terlibat adalah makanan berkanji/karbohidrat dan mengandungi protein termasuk kentang, roti, daging dan lain2. Jenis daging pula tidak terhad kepada hanya daging merah, malahan daging putih jika melalui kaedah memasak yang sama juga boleh menghasilkan bahan2 karsinogen tersebut.

Terdapat tiga kategori sebatian kimia yang dihasilkan melalui kaedah pembakaran suhu tinggi, memanggang, membakar dan menggoreng. Ianya bergantung kepada jenis makanan. Makanan yang mengandungi karbohidrat/kanji dan protein boleh menghasilkan Acrylamide melalui tindakbalas gula dengan asid amino Asparagine (Maillard reaction). Acrylamide sebenarnya lebih banyak dihasilkan melalui pembakaran suhu tinggi makanan berkanji seperti kentang, bijirin dan roti berbanding dengan daging. Manakala pembakaran daging pula lebih dikaitkan dengan penghasikan polycyclic aromatic hydrocarbons (PAH) dan heterocyclic amines (HCA). PAH terhasil dari pemanasan lemak dan jus daging yg terkena api yang panas. Manakala HSA terhasil melalui tindakbalas gula, creatine (sumber dari daging) dan asid amino. Asap pembakaran makanan yang mengandungi bahan2 ini akan mendap ke permukaan daging.

Dari penjelasan di atas, jelas menunjukkan bahawa penghasilan Acrylamide, PAH dan HCA diperolehi melalui kaedah memasak dan TIDAK terhad kepada satay. Tidak tepat mengatakan satay lebih dikaitkan dengan Acrylamide sebaliknya satay dan lain2 jenis daging termasuk ayam serta ikan jika dibakar pada suhu tinggi boleh menghasilkan PAH dan HCA. Jadi penghasilan ketiga2 kumpulan karsinogen ini dikaitkan dengan banyak jenis makanan yang menjadi kegemaran masyarakat kita BUKAN hanya satay. Satay dan lain2 jenis makanan tidak menyebabkan kanser sebaliknya sebatian kimia yang dihasilkan akibat kaedah memasak itulah yang dikaitkan dengan kanser. Sebenarnya bahan2 ini lebih banyak ditemui di dalam alam sekitar dan di kilang2 pembuatan (cth: Acrylamide di kilang membuat sealer, polymer dan bahan merawat air (coagulant), PAH pula lebih banyak dihasilkan di kilang arang batu dan apa2 proses pengeluaran nenggunakan arang batu). Acrylamide dan PAH juga terdapat dalam asap rokok. Malahan PAH juga ditemui dalam asap kenderaan, air, tanah dan udara.

Persoalan kedua adalah sejauh manakah bahayanya sebatian2 kimia yang tersebut di atas terhadap manusia khususnya sebagai penyebab kanser. Kajian yang menemukan kaitan antara PAH dan HCA dengan kanser diperolehi dalam kajian terhadap tikus, itupun setelah tikus diberikan dos yang sangat tinggi iaitu 1000 kali lebih tinggi dari yang terkandung di dalam makanan harian manusia. Keadaannya sama dengan Acrylamide. Ketiga2 bahan ini dijategorikan dalam kategori 2A karsinogen. Walau pun ada kajian populasi dan epidemiologi ke atas manusia, hasilnya tidak muktamat kerana kelemahan kajian tersebut serta keputusan yang tidak konsistent. Kajian ini pula menumpukan perhatian kepada tabiat makan daging dan tidak mengukur jumlah pendedahan bahan2 ini secara spesifik. Pertubuhan2 kesihatan dan kanser antarabangsa juga sepakat yang setakat ini tidak ada garispanduan yang menentukan had kandungan bahan2 ini yang boleh diambil, sebaliknya mereka hanya mencadangkan pengurangan pengambilan daging serta mengamalkan kaedah memasak yang lebih sesuai seperti menggunakan ketuhar gelombang mikro terlebih dahulu, sering menukar permukaan daging yang dibakar, merebus daging, tidak mengitar semula minyak masak dan mengeluarkan bahagian daging yang hitam sebelum dimakan.

Tubuh badan manusia diberikan keupayaan yang menakjubkan untuk mencegah kanser, jika bukan kerana keupayaan semulajadi itu tentu majoriti umat manusia akan menghidap kanser. Keupayaan ini boleh ditingkatkan dengan mengamalkan gaya hidup sihat termasuk mengambil makanan yang sihat, lebihkan sayuran & buah2an, senaman dan mencegah obesiti seperti yang disyorkan oleh pertubuhan kesihatan sedunia. Di samping itu untuk mengurangkan pendedahan kepada karsinogen, kita digalakkan untuk bersederhana di dalam mengambil makanan seperti menghadkan daging merah, tidak mengambil daging yang diproses, tidak membudayakan pengambilan makanan segera, kaedah memasak yang lebih baik, tidak merokok, tidak minum alkohol, mengurangkan pendedahan kepada cahaya matahari dan melakukan saringan kesihatan secara berkala. Maka bolehlah kita katakan bahawa mengamalkan gaya hidup yang TIDAK SIHAT akan menyumbang kepada risiko yang lebih tinggi untuk menghidap kanser.

Dato' Dr Mohd Rushdan Md Noor
Pakar Perunding Ginekologi Onkologi
12 hb Ogos 2019

RUJUKAN
https://www.birmingham.ac.uk/…/does-burnt-food-give-you-can…
https://ohioline.osu.edu/factsheet/hyg-5587
https://www.food.gov.uk/safety-hygiene/acrylamide
https://www.cancer.gov/…/ca…/risk/diet/acrylamide-fact-sheet
https://wayback.archive-it.org/…/ChemicalCont…/ucm194482.htm
https://www.fda.gov/food/chemicals/acrylamide
https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC5835509/

TIDAK DIBENARKAN SESIAPA MENGAMBIL SEBAHAGIAN ATAUPUN KESELURUHAN RENCANA INI TANPA KEBENARAN PENULIS

Friday, 9 August 2019

PANDUAN MENGENAL JENIS PRODUK KESIHATAN DAN MENGESAN PRODUK "OVERCLAIM"


Bila beli produk kesihatan, cari dua perkara berikut yang tertera pada kotak atau botol produk:

1. Nombor pendaftaran KKM
2. Pelekat Hologram

Jika ada 2 perkara ini maksudnya produk ini telah berdaftar dan diluluskan oleh KKM untuk digunakan bagi tujuan kesihatan (walaupun penipuan masih boleh berlaku).
Kemudian perhatikan nombor pendaftatan itu betul2, contoh di bawah (dalam kotak garisan kuning), setiap huruf dan nombor yang tertera mempunyai makna tersendiri.

MAL16075040NCR

MAL : Berdaftar di Malaysia
1607 : Tarikh pendaftaran pada bulan Julai tahun 2016
5040 : Nombor siri produk tersebut
N : Jenis ubat (N: Health Suplement)
(Jenis2 lain adalah A: Ubat/racun berjadual,X:Ubat/racun tidak berjadual,T:Produk Natural/Tradisional, H: Produk Veterinary)
C : Contract manufactured
R : Packed and/or Repacked

Paling penting adalah Jenis Ubat, iaitu huruf selepas nombor siri.

A : Ubat terkawal/racun terkawal (di bawah kawalan Akta Racun 1952).Ubat2 ini sudah terbukti berkesan melalui kajian saintifik digunakan untuk merawat penyakit. Kajian saintifik merangkumi kajian keberkesanan dan keselamatan ke atas manusia. Contoh: Metformin utk rawat Diabetes, Metoprolol utk merawat darah tinggi, ubat antikanser, antibiotik dan lain2. Kategori ubat ini hanya boleh dipreskripsi oleh doktor. Rujuk kotak ubat metformin di bawah. Produk di bawah kategori A telah terbukti selamat, berkualiti dan berkesan.

X : Ubat bukan racun terkawal (tidak dikawal di bawah Akta racun 1952) yang boleh didapati di kaunter kedai ubat ("over the counter/OTC") seperti panadol, ubat antacid, ubat batuk yang tidak mengandungi ubat terkawal, ubat julap dan lain2. Kategori ubat ini tidak perlu preskripsi doktor, selalunya untuk mengurangkan gejala (sakit, demam, batuk dll).

N : Ubat/produk suplemen (makanan tambahan) seperti vitamin, multivitamin, mineral dan lain2. Untuk menampung kekurangan, bukan untuk merawat penyakit.

T : Ubat Natural, herba dan Tradisional. Inilah kategori ubat yang paling banyak di pasaran dan dihasilkan oleh pengilang atau individu. Ia termasuk produk herba, campuran herba yang dihasilkan dari ekstrak tumbuhan dan haiwan. Ubat Homeopati juga termasuk dalam kategori ini. Produk ini diluluskan hanya di atas dasar selamat dan berkualiti. Tidak perlu bukti keberkesanan.

PENTING:

1. Dalam kalangan semua jenis produk yang tersebut di atas, umumnya hanya kategori T ataupun produk natural dan tradisional sahaja yang perlu memberi sampel kepada KKM untuk dianalisa. Lain2 kategori hanya perlu hantar sampel jika diarahkan. Analisa sampel ini hanya tertumpu kepada KESELAMATAN/KUALITI dan BUKAN KEBERKESANAN. Penilaian keselamatan merangkumi aspek steriliti, stabiliti, bebas dari bakteria, pencemaran dan toksin. Keselamatan produk dinilai dengan mengukur kewujudan racun, logam berat dan bakteria/mikrob. Jika produk tersebut ada membuat tuntutan kesihatan lelaki, pihak penguasa perubatan akan  juga mengesan kehadiran sildenafil. Kualiti produk pula diukur mengikut piawaian yang ditetapkan yakni kajian kestabilan, sijil analisa, pengilang mempunyai lesen bertaraf GMP dan lulus ujian kualiti BPFK contoh ujian keseragaman berat dll.

2. Jika produk yang dijual tidak mempunyai nombor pendaftaran KKM dan Hologram, maka produk itu tidak berdaftar ataupun jatuh dalam kategori MAKANAN atau KOSMETIK yang diselia/pantau di bawah unit yang berbeza.

3.Selain daripada produk kategori A, produk2 lain TIDAK boleh dengan yakin mendakwa yang ianya berkesan MERAWAT penyakit kerana kelulusan yang KKM berikan itu hanya daripada aspek KEBERSIHAN dan KUALITI. Itupun tidak ada jaminan yang produk2 itu bebas daripada bahan2 toksik lain yang tidak dianalisa oleh KKM, apatah lagi kesan jangkapanjang.

4. Jika ubat yang berdaftar pun (selain dari A) tidak boleh mendakwa dengan yakin bahawa ianya BERKESAN MERAWAT penyakit, apatah lagi ubat2 yg tidak didaftarkan ataupun dalam kategori makanan.

Saya yakin, jika semua ahli masyarakat faham tentang jenis2 produk ini, mereka tidak akan mudah tertipu dengan "overclaim" yang dilakukan oleh penjual produk kesihatan. Sekarang tentu anda faham bahawa KELULUSAN KKM bukan semestinya ubat tersebut sudah terbukti berkesan.

DDr Rushdan Noor
9hb Ogos 2019

MAKLUMAT TAMBAHAN:

1.Terdapat produk yang diklasifikasikan sebagai Food-Drug Interface yakni mengandungi komponen makanan dan bahan aktif/ubat. Jika komponen makanan melebihi 80% dan komponen ubat (vitamin, mineral, herba, dll) kurang daripada 20%, maka ianya dianggap makanan dan akan dikawal di bawah BKKM (Biro Keselamatan dan Kualiti Makanan). Jika produk tersebut mengandungi komponen makanan kurang daripada 80% dan bahan aktif lebih daripada 20%, maka ianya dianggap ubat yang perlu berdaftar di bawah BPFK (Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan).

2. Undang2 berkaitan pendaftaran ubat
Akta Dadah Merbahaya 1952
Akta Ubat (Iklan dan Jualan) 1956, Semakan 1983
Akta Racun 1952 (Semakan 1989)
Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972
Akta Paten 1983
CDCR 1984

3. Skop kawalan pendaftaran
a. Pendaftaran Produk
b. Analisis Ubat
c. Perlesenan bagi pengilang, pengimport dan pengedar
d. Permonitoran Kesan Advers
e. Pengawasan produk di pasaran

4. Tempoh Pendaftaran Produk : 5 tahun. Kemudian pengeluar perlu memperbaharui pendaftaran dengan mengemukakan  permohonan untuk mengekalkan pendaftaran 6 bulan sebelum tempoh luput.

5. Semua produk yang didaftarkan TIDAK boleh mengiklankan produk mereka sebagai pencegah ataupun merawat 20 jenis penyakit yang ditetapkan oleh KKM kecuali sudah mendapat kebenaran Lembaga Iklan Ubat dengan nombor KKLIU (contoh KKLIU1234/2005/ABC).

6. UJIAN KESELAMATAN PRODUK (UBAT SEMULAJADI DAN TRADISIONAL)
Kriteria Keselamatan
a. Ujian Kontaminasi logam berat (merkuri (<0.5 ppm), arsenik(< 5 ppm), plumbum (< 10 ppm), kadmium (<0.3 ppm))
b. Ujian kontaminasi mikrobial ((i) Paras bakteria dan kulat, (ii) pengesanan bakteria spesifik (E.coli, Pseudomonas aeruginosa, Staph aureus, Salmonella) dan (iii) Enterobacteriaceae dan lain2 organisma gram negatif )
c. Tidak mengandungi steroid ataupun bahan2 campur palsu mengikut indikasi
d. Tuntutan dan Indikasi
e. Tidak mengandungi bahan terlarang/tiada aduan/laporan kesan advers
f. Keperluan pelabelan

7. INDIKASI YANG DIBENARKAN DALAM PERSEDIAAN UBAT TRADISIONAL
A. General Health Maintenance/Kesihatan Am
"Digunakan secara tradisional.........
a. Sebagai makanan kesihatan
b. Untuk kesihatan umum
c. For general wellbeing
d. Untuk kesihatan dan menguatkan badan
e. Untuk melegakan panas badan
f. General debility, weakness after illness or childbirth
g. Untuk kurangkan selera makan
h. Untuk melegakan kesukaran untuk tidur

B. Darah dan Cecair Badan
"Digunakan secara tradisional......
a. Untuk melancarkan perjalanan darah
b. Untuk melawaskan kencing
c. Untuk melawaskan buang air besar
d. Untuk melegakan muntah ringan
e. Untuk melegakan bengkak2

C. Tulang, otot dan sendi
"Digunakan secara tradisional........
a. Untuk menguatkan otot dan tulang
b. Untuk melegakan sakit otot
c. Untuk melegakan sakit pinggang dan belakang
d. Untuk melegakan sakit sendi dan otot
e. Untuk melegakan terseliuh

D. Laman web untuk rujukan lanjut
www.bpfk.gov.my (Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan)
www.pharmacy.gov.my (Bahagian Perkhidmatan Farmasi)
www.madrac.gov.my/madrac (Malaysia Adverse Drug Advisory)






Thursday, 8 August 2019

BAIK BURUK MAKAN PEDAS

KLIK DI SINI UNTUK KE LAMAN UTAMA


Pedas adalah perasaan panas atau pedih di bahagian bibir, mulut dan lidah apabila seseorang mengambil makanan yang mengandungi cili atau lada. Cili adalah tergolong dalam kumpulan sayuran, maka mengambil sayuran adalah sesuatu amalan yang baik. Tetapi jika cili menyebabkan kepedasan, adakah kebaikannya terjejas?

Sebenarnya pedas adalah persepsi otak ke atas sebatian kimia ataupun fitonutrien di dalam cili atau lada yang dikenali sebagai CAPSAICIN. Capsaicin dikatakan akan meransang reseptor panas (ada yang percaya reseptor sakit) pada lidah ("taste bud"), ini akan membawa maklumat kepada otak yang akan menghasilkan persepsi panas dan pedih ataupun pedas. Tahap kepedasan bergantung kepada kandungan capsaicin.

Rasa kepedasan bukan disebabkan oleh kecederaan pada lapisan lidah ataupun pada mana2 bahagian yang terkena cili, tetapi adalah persepsi otak. Walau bagaimanapun akibat daripada persepsi otak ini, ia boleh mempengaruhi fungsi organ lain terutama perut, usus, sistem pernafasan, kelenjar dan beberapa anggota badan yang lain. Otak akan menafsirkan maklumat sakit dan panas itu sebagai satu ancaman dan akan meransang sistem badan untuk menyahkan ancaman tersebut contohnya meransang pengeluaran haba seperti berpeluh, pengeluaran mukus, air mata dan air liur. Tindakbalas badan ini berupa rasa loya, muntah, hidung berair, pengeluaran air mata dan berpeluh. Kadar metabolik meningkat dan selera makan boleh tertekan.Walau bagaimana pun ada ahli sains percaya pengambilan capsaicin yang berlebihan mempunyai kesan pro-keradangan ke atas permukaan saluran makan yang terlibat.

Kebanyakan gejala yang dihadapi oleh seseorang yang memakan makanan pedas adalah kesan tidakbalas badan secara tidak langsung akibat persepsi otak yang menganggap itu satu ancaman. Kepada individu normal yang tidak mengalami masalah perut dan usus, tidak ada perkara serius yang akan berlaku dan gejala2 itu bersifat sementara. Tetapi kepada individu yang sudah mengalami masalah kesihatan seperti penyakit gastritis, irritable bowel syndrome, penyakit chron dan lain-lain, tindakbalas badan ini boleh meningkatkan gejala sakit yang mereka hadapi.

Cili paling pedas di dunia adalah Carolina Reaper dengan ukuran 2.2 juta scoville heat units (SHU). Kepedasan cili ditentukan oleh kuantiti kandungan satu sebatian kimia dikenali sebagai Capsaicin. Pada asalnya nilai SHU ini ditentukan dengan kaedah pencairan cili dengan air gula. SHU adalah berapa kali pencairan yang perlu dilakukan sehingga larutan tersebut tidak terasa pedas. Hari ini kita mempunyai kaedah yang lebih canggih mengukur kandungan Capsaicin.

MANFAAT MAKANAN PEDAS

Pengambilan makanan pedas pada kadar yang sederhana mempunyai kesan positif terhadap badan manusia. Kajian yang dilakukan oleh ahli sains menemui beberapa manfaat kesihatan yang dibawa oleh capsaicin dan makanan pedas. Di antaranya adalah seperti berikut:

1. Satu kajian prospektif kohort yang besar dijalankan di negara China dan disiarkan di dalam British Journal of Medicine pada tahun 2015. Ia melibatkan lebih 400,000 peserta. Kajian pemerhatian ini mendapati individu yang mengambil makanan pedas 6 atau 7 hari seminggu mempunyai kadar kematian yang lebih rendah (14%) dalam tempoh kajian berbanding dengan individu yang mengambil kurang daripada 1 hari seminggu. (1). Kajian seumpama ini tidak membuktikan kaitan langsung ("direct causal relationship") tetapi hanya menyatakan ada hubungan yang mungkin secara tidak langsung.

2. Capsaicin boleh mengurangkan penghasilan asid perut dan meransang penghasilan mukus perut. Ini boleh membantu melindungi perut daripada penyakit gastrititis dan ulcer. Hasil kajian ini menyanggah banyak tanggapan orang tentang makanan pedas dan penyakit perut.(2)

3. Makanan pedas mengurangkan selera makan dan meningkatkan pembakaran tenaga. Ini membantu mengurangkan berat badan dan pengumpulan lemak. (3)

4. Cili dalam bentuk mentah mengandungi nutrient, serat dan antioksidan. Di antara nutrient yang terkandung di dalamnya adalah vitamin A,C, B6, kalsium, magnesium dan zat besi.

5. Kesan-kesan positif makanan pedas yang lain seperti antibakteria, antikeradangan, merencat pembiakan sel tidak normal dan lain-lain belum terbukti ke atas manusia kerana kajian itu dilakukan di makmal.

MUDARAT MAKANAN PEDAS

Makanan pedas juga tidak terlepas dari membawa kemudaratan kepada kesihatan badan jika diambil terlalu berlebihan. Di antara kesan negatif makanan pedas telah diterangkan di atas terutama kepada individu yang sememangnya mengalami masalah usus. Mulut dan lidah yang sudah mempunyai ulcer dan bahagian anus yang mengalami "anal fissure" akan lebih menyakitkan. Rasangan ke atas perut boleh menyebabkan muntah dan kadangkala jus perut yang berasid boleh naik ke bahagian atas dan menyebabkan keradangan esofagus dan sakit dada.

Kesan pengambilan makanan yang terlalu pedas dapat disaksikan ketika pertandingan memakan cili terpedas di mana ada peserta yang muntah dan pengsan. Tindakakbalas badan yang keterlaluan melalui ransangan saraf simpatetik, peningkatan kadar metabolik dan termogenesis boleh memudaratkan kesihatan jika seseorang mengambil cili yang sangat pedas dalam kuantiti yang banyak pada satu masa. Malahan kajian ke atas haiwan mendapati cili serbuk yang tersangat pedas seperti Bhut Jolokia jika diambil lebih dari 3 pound (1.4kg) dalam satu masa boleh membunuh manusia.(4)

KESIMPULAN

Pengambilan makanan pedas secara sederhana oleh individu yang tidak mengalami masalah pergerakan usus mempunyai manfaat kesihatan. Makanan pedas perlu dikurangkan oleh individu yang mengalami masalah usus seperti irritable bowel syndrome, penyakit crohn, ulcer mulut dan anal fissure. Pengambilan makanan pedas yang terlalu pedas dalam kuantiti yang tinggi pada satu masa membawa lebih kemudaratan.

Dato' Dr. Mohd Rushdan Noor
9 hb Ogos 2019
RUJUKAN

1. Lv J, K Lu, Yu C et al. Consumption of spicy foods and total and cause specific mortality: population based cohort study.BMJ 2015;351:h3942
2. Satyanarayana MN. Capsaicin and gastric ulcers.Crit Rev Food Sci Nutr. 2006;46(4):275-328.
3. Whiting S1, Derbyshire E, Tiwari BK.Capsaicinoids and capsinoids. A potential role for weight management? A systematic review of the evidence.Appetite. 2012 Oct;59(2):341-8
4. Glinsukon T, Stitmunaitum V, Tostulkao C et al. Acute toxicity of Capsaicin in several animal species.Toxicon,1980;18(2):215-20.

https://www.uchicagomedicine.org/forefront/health-and-wellness-articles/2018/september/spicy-foods-healthy-or-dangerous
https://www.journals.elsevier.com/food-research-international/news/three-reasons-why-you-should-eat-spicy-foods
https://www.nhs.uk/news/food-and-diet/could-eating-spicy-food-help-you-live-longer/
https://www.livescience.com/16556-spicy-food-fatal-chili-peppers.html



Wednesday, 7 August 2019

KETUM : PERTIMBANGAN MANFAAT/MUDARAT

        
Ketum diambil dalam pelbagai cara dan yang paling disukai oleh masyarakat kita adalah di dalam bentuk air minuman. Apabila ketum disediakan sendiri oleh pengguna, maka sukar untuk ditentukan apakah dos bahan aktif (mitragynine) yang diambil. Apabila tidak diketahui berapa banyak bahan aktif ini diambil, maka boleh berlaku pengambilan dos yang berlebihan. Walaupun ketum mempunyai manfaat jika diambil dalam dos yang rendah, namun bagaimana masyarakat tahu bahawa dos yang diambil itu rendah? Di dalam keadaan ini kita sepatutnya lebih bimbang akan kesan pengambilan yang berlebihan atau disalahgunakan. Benarkah manfaat ketum lebih besar daripada mudarat?

Satu semakan literature yang besar telah dilakukan oleh penyelidik daripada Universiti Columbia dan Universiti Imory, Amerika Syarikat mengenai kesan positif dan negatif pengambilan ketum. Semakan ini dilakukan berikutan peningkatan yang sangat tinggi kes-kes aduan kesan sampingan yang dikaitkan dengan ketum di negara Barat. Dalam masa 5 tahun sahaja Pusat Racun Amerika telah mengesan peningkatan aduan sebanyak 10 kali ganda kesan sampingan ketum di negara mereka (rujuk graf).

Penyelidik2 ini telah menganalisa kajian2 yang disiarkan daripada tahun 2007 hingga 2017. Walaupun penyelidik mengkaji kesan positif pengambilan ketum, saya akan lebih memfokuskan kepada kesan negatif. Mereka menemui 120 kajian dan hasil daripada analisis tersebut berikut adalah kesan negatif yang dikaitkan oleh amalan pengambilan ketum.

1. Kajian dos yang boleh menyebabkan kematian ("lethal dose") ke atas manusia tidak dapat dijalankan tetapi kajian ke atas haiwan menunjukkan haiwan itu boleh mati jika mengambil lebih daripada 200mg/kg ekstrak ketum.

2. Ketum mempunyai kesan seperti opioid dan kokain pada dos tertentu, jadi kesan ke atas psikologi dan emosi boleh berlaku walaupun kesannya lebih ringan daripada dadah merbahaya. Walaupun pengamal boleh mendapat manfaat seperti berasa seronok, bertenaga dan kurang letih, kesan sampingan jangkapanjang boleh memudaratkan. Terdapat lapuran pengamal ketum mengalami gejala gian ("withdrawal") seperti agresif, ganas, tidak dapat bekerja, menggeletar dan sakit pada otot serta tulang. Terdapat juga lapuran kes halusinasi dan delusi.

3. Terdapat pengamal ketum jangkapanjang dikesan menjadi kurus, kulit kehitaman terutama pada bahagian muka, mulut kering, kencing kerap, hilang selera makan dan sembelit.

4. Kajian ke atas haiwan menunjukkan ketum boleh menyebabkan kerosakan hati dan terdapat lapuran kes kerosakan hati manusia hingga mangsa mengalami jaundice dan peningkatan enzim hati. Jenis kerosakan hati yang dialami adalah "drug-induced cholestatic injury, a canalicular cholestasis".

5. Lapuran kes kecederaan saraf telah ditemui di mana mangsa mengalami sawan dan koma selepas mengambil ketum.

6. Kes kerosakan paru-paru dan buah pinggang telah ditemui ke atas pengamal ketum yang juga penagih dadah. Kerosakan ini berlaku apabila pengamal ketum mencampurkan pelbagai bahan termasuk alkohol dan ubat batuk. Lapuran postmortem mengesan kehadiran ketum di dalam darah dan paru-paru dipenuhi air.

7. Ketum boleh menekan penghasilan hormon tiroksin dan menyebabkan hipotiroidisma (kekurangan hormon tiroksin).

8. Gangguan ingatan dan fungsi kognitif boleh berlaku walaupun kajian ini dilakukan ke atas haiwan.

KESIMPULAN

Memang terdapat bukti bahawa ketum pada dos tertentu boleh dimanfaatkan oleh manusia seperti mengurangkan kesakitan, kesan sedatif, peransang (stimulant) dan potensi merawat masalah ketagihan dadah ("drug withdrawal"). Belum terdapat bukti kukuh keberkesanan ketum untuk merawat penyakit2 lain ke atas manusia. Walau bagaimanapun kesan manfaat tersebut perlu ditimbang tara dengan kesan mudarat yang boleh diakibatkan oleh pengambilan ketum tanpa kawalan dan pemantauan. Kesan negatif ketum dijangka akan mendominasi pertimbangan ini (mudarat lebih besar dari manfaat) jika tidak ada kawalan dan undang2 untuk mengawal pengambilan ketum kerana potensi disalahgunakan. Di samping itu, penyediaan sendiri tanpa ada pemantauan dari aspek steriliti, dos, kuantiti pengambilan dan kemungkinan mencampur-adukkan ketum dengan bahan2 lain boleh memudaratkan kesihatan. Ianya juga boleh diambil dengan mudah oleh kanak2 dan ini dikhuatiri akan menjadi langkah permulaan (gateway) kepada ketagihan dadah yang lebih merbahaya. Kesan negatif ketum dijangka lebih besar jika ianya dihasilkan dalam bentuk suplemen kerana kandungan bahan aktif yang lebih tinggi serta kemungkinan dicampurkan dengan ubat2 lain. Setakat ini belum ada maklumat tepat tentang dos terapeutik dan dos toksisiti kerana kekurangan kajian saintifik. Kajian lanjut yang lebih besar perlu dijalankan untuk mendapat lebih maklumat mengenai ketum. Ahli sains perlu mencari apakah kegunaan, dos terapeutik, kaedah pemberian dan formulasi yang sesuai untuk diambil oleh manusia. Ini baru perbincangan daripada aspek kesihatan, kita belum lagi menyentuh kesan sosial dan kewangan ke atas masyarakat dan negara akibat pengambilan ketum yg berleluasa.

DDr Rushdan Noor
6hb Ogos 2019



RUJUKAN

Fluyau D, Rivadigar N. Biochemical Benefits, Diagnosis, and Clinical Risks Evaluation of Kratom. Front Psychiatry. 2017; 8: 62

Prozialeck WC1, Avery BA2, Boyer EW.Kratom policy: The challenge of balancing therapeutic potential with public safety.Int J Drug Policy. 2019 Aug;70:70-77

https://nypost.com/2019/07/11/herbal-supplement-kratom-linked-to-serious-side-effects-deaths

Friday, 2 August 2019

MENGAPA PERLU MEMILIH PERUBATAN MODEN UNTUK MERAWAT PENYAKIT

MENGAPA PERLU MEMILIH PERUBATAN MODEN UNTUK MERAWAT PENYAKIT
Kata mereka ubat moden ni bukan berkesan merawat penyakit, boleh rosakkan hati dan buah pinggang. Ubat2 moden ini hanya konspirasi syarikat2 farma besar yang ingin mengaut keuntungan. Ubat2 moden ni bukan semulajadi. Tetapi mereka tidak pula berkata kereta yang mereka guna itu hasil konspirasi syarikat otomobil. Bukankah injin itu bukan kuasa semulajadi. Lebih baik berjalan kaki atau naik kereta lembu sebab kaki dan lembu lebih semulajadi. Mengapa sasaran mereka hanya kepada perubatan moden sedangkan dalam aspek kehidupan yang lain, prinsip yang sama tidak terpakai.
Kami pengamal perubatan moden bukanlah bongkak dan menolak keupayaan semulajadi badan untuk melawan penyakit. Jika penyakit itu ringan dan boleh sembuh dengan sendiri doktor pun selalunya tak bagi ubat, umpama nak pergi ke rumah jiran sebelah rumah, tak payahlah guna kereta, berjalan kaki tu bukankah lebih bijak, tak perlulah guna teknologi canggih. Kami juga bukan mendakwa perubatan moden ini sudah sempurna kerana ilmu Allah itu terlalu luas tetapi setakat yang Dia izinkan, inilah kaedah yang terbaik kita miliki setakat ini.
Kami juga meyakini bahawa kuasa menyembuh itu milik Allah, tapi ikhtiar berubat itu sunnah. Manusia diberikan kuasa untuk berikhtiar, jika ikhtiar itu betul dan sesuai dengan penyakitnya, maka Allah akan sembuhkan. Tentulah pakar dalam bidang perubatan lebih arif untuk tentukan ikhtiar itu betul dan sesuai kerana itu memang kepakaran mereka. Jika hendak memotong daging, gunalah pisau yang tajam, menggunakan pisau yang tajam itu ikhtiar dan dengan ikhtiar yang betul ini Allah akan izinkan daging itu dihiris dengan betul. Tapi kalau kita gunakan air jampi atau doa sahaja untuk memotong daging, memanglah tidak terpotong daging itu sampai kesudah. Allah tidak izinkan daging itu terpotong sebab Dia suruh kita berikhtiar dengan cara yang betul dahulu baru berdoa dan bertawakal. Kecualilah dengan kuasa mukjizat yang hanya dianugerahkan kepada nabi dan rasul.
Teknologi perubatan moden adalah ikhtiar yang diilhamkan Allah untuk menjadi kaedah merawat yang betul terhadap penyakit2 yang dihidapi manusia. Kepintaran manusia ini adalah anugerah Allah untuk menunjukkan kekuasaanNya dan memberi kesejahteraan kepada manusia.
'Seorang Arab Badawi bertanya Rasulullah s.a.w. (apabila beliau dihinggapi penyakit),
wahai Rasulullah s.a.w. adakah perlu kami berubat, kata Rasulullah, 'Ya', ; Wahai hamba Allah hendaklah kamu berubat; maka sesungguhnya Allah tidak menjadikan sesuatu penyakit melainkan ada penawarnya'
Hadis Riwayat At-Tirmizi (H. Hassan, Sahih)
Sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud: 'Bagi Setiap penyakit ada ubatnya, maka apabila ubat itu sesuai untuk sesuatu penyakit, akan sembuh dengan izin Allah'.
Hadis Riwayat Muslim dan Ahmad.
Dato'Dr Rushdan Noor