Sunday, 8 September 2019

BENARKAH MAKANAN DAN MINUMAN BERALKALI ITU SIHAT DAN YANG BERASID ITU PENYAKIT ?


Tidak dapat dinafikan bahawa fungsi organ di dalam badan kita boleh dipengaruhi oleh pH yakni samada asid, neutral ataupun alkali. Nilai pH bermula daripada 0 hingga 14. Neutral adalah apabila pH bernilai 7. Asid adalah apabila pH kurang daripada 7, lagi kurang nilai pH, semakin tinggi keasidannya. Manakala alkali pula jika pH lebih daripada 7, lagi tinggi nilai pH lagi tinggi kealkaliannya.

Nilai pH anggota badan kita berbeza-beza mengikut fungsi tisu/organ yang berkenaan. Nilai pH darah adalah di antara 7.35–7.45, manakala pH cecair di dalam perut adalah 1.5-3.5. Begitu juga jika kita mengukur pH sel, terdapat perbezaan pH antara sel-sel yang berbeza. Umumnya pH di dalam sel adalah di antara 7.0-7.4, tetapi sel otot mempunyai pH yang lebih rendah iaitu di antara 6.8-7.1. Jika kita mengambil satu sel, kita dapati pH organ-organ kecil di dalam sel yang dinamakan organel juga berbeza. Salah satu organel yang terdapat di dalam sel adalah lysosomes yang lebih berasid iaitu mempunyai nilai pH 5. Begitu juga persekitaran di dalam faraj seorang wanita juga berasid mempunyai pH bernilai 4.5-6.0. Kesemua nilai pH ini berperanan di dalam mengekalkan metabolisma, fungsi organ dan kesihatan di bahagian badan yang berkenaan. Perubahan pH di mana-mana tempat yang dinyatakan di atas akan mengganggu metabolisma dan fungsi tisu2/organ2 di tempat tersebut.

Daripada maklumat mengenai nilai pH yang saya nyatakan di atas, jelas menunjukkan bahawa KEDUA-DUA PERSEKITARAN ASID DAN ALKALI DIPERLUKAN UNTUK FUNGSI TISU/ORGAN YANG NORMAL. Nilai pH ini khususnya pH darah dipertahankan supaya ianya kekal di dalam julat yang dinyatakan. Manusia tidak boleh hidup jika pH darahnya lebih rendah ataupun lebih tinggi daripada julat yang saya nyatakan di atas (7.35-7.45). Begitu jugalah nilai pH di tempat-tempat lain anggota badan anda. Apabila pH darah lebih daripada normal ia dikenali sebagai alkalosis dan jika kurang daripada normal dikenali sebagai asidosis. Kedua2 alkalosis dan asidosis akan memudaratkan kesihatan sehingga boleh membawa maut.

Jadi apakah yang mempertahankan nilai pH tersebut supaya ianya kekal di dalam julat yang normal. Di samping terdapat mekanisma setempat yang mengawal pH dikenali sebagai "buffer system", dua organ yang paling penting di dalam mengawal pH darah adalah BUAH PINGGANG dan PARU-PARU. Buah pinggang, paru2 dan "buffer system" adalah sistem semulajadi yang sangat cekap mengawal pH di dalam badan manusia.

Sistem kawalan pH ini sebenarnya sangat kompleks untuk difahami oleh orang awam jadi saya akan cuba terangkan seringkas mungkin. Untuk mengekalkan pH di dalam julat yang normal, buah pinggang dan paru-paru akan bertindak membuang asid berlebihan apabila ada faktor yang meningkatkan keasidan. Kedua-dua organ ini juga akan mengeluarkan alkali yang berlebihan jika ada factor yang meningkatkan kealkalian. Sistem keseimbangan asid-alkali ini begitu cekap sehingga nilai pH darah dan lain-lain bahagian badan sentiasa kekal pada julat yang normal. ANDA TIDAK PERLU MENGAMBIL APA2 PRODUK UNTUK MENGAMBIL ALEH TUGAS SISTEM KESEIMBANGAN ASID-ALKALI SEMULAJADI YANG SANGAT CEKAP INI.

MAKANAN BERALKALI, MAKANAN BERASID

Memang terdapat makanan yang menghasilkan asid dan ada yang menghasilkan alkali selepas menjalani metabolisma di dalam badan. Jadi anda bolehlah memanggil makanan tersebut berasid, neutral ataupun beralkali walaupun ianya kurang tepat. Faktor yang menentukan keasidan dan kealkalian sesuatu makanan bergantung kepada sebatian kimia dan nutrien yang terkandung di dalamnya. Komponen yang menyebabkan sifat keasidan adalah protein, sulfur dan fosfat. Manakala komponen makanan yang menyebabkan sifat kealkalian adalah kalsium, magnesium dan potassium. Jadi keasidan dan kealkalian sesuatu makanan bergantung kepada komponen mana yang lebih banyak.

Umumnya makanan yang berasid adalah daging, ayam, ikan, telur, produk tenusu, madu dan bijirin. Makanan yang neutral pula adalah lemak semulajadi, kanji dan gula. Manakala makanan beralkali adalah buah2an, sayuran dan kekacang. Jangan lupa, air beralkali tentulah juga beralkali !!!

Apakah akan terjadi apabila anda mengambil makanan berasid ataupun beralkali yang berlebihan? Jawapannya adalah tentu sistem semulajadi yang mengawal pH akan bertindak untuk menstabilkan pH supaya ianya kekal normal di dalam badan anda. Contohnya jika anda mengambil banyak makanan berasid, buah pinggang akan mengeluarkan asid berlebihan dan air kencing anda jadi lebih berasid. Begitu jugalah jika anda mengambil banyak makanan beralkali, maka pH air kencing anda juga lebih tinggi kerana alkali yang berlebihan dibuang melalui air kencing. Jadi pH air kencing BUKAN petunjuk pH darah kerana pH darah sentiasa stabil, sedangkan pH air kencing boleh berubah. Di waktu yang sama paru-paru anda juga berfungsi mengekalkan pH darah dengan mengawal keluar masuk karbon dioksida yang dihempus dan disedut. Begitu juga "buffer system" yang turut berfungsi lengkap melengkapi proses keseimbangan ini. Pendek kata tubuh badan anda sangat cekap mengawal pH darah dan pH organ-organ badan yang lain TIDAK KIRA apakah jenis makanan atau minuman yang anda ambil.

UKURAN KUALITI MAKANAN

Kualiti sesuatu makanan bukan dinilai daripada pH makanan tersebut tetapi apakah nutrient yang terkandung di dalamnya. Buah-buahan dan sayuran adalah makanan yang beralkali tetapi kebaikan mengambil makanan ini bukan terletak kepada nilai pH tetapi disebabkan kandungan vitamin, mineral, antioksidan, air dan serat. Begitu juga daging yang walaupun berasid tetapi diperlukan sebagai sumber protein yang berkualiti tinggi untuk tenaga, pengangkut, membaikpulih tisu yg rosak dan lain2. Daging juga membekalkan lemak, mineral dan vitamin. Keburukan daging bukan disebabkan oleh sifat asid tetapi disebabkan oleh kandungan kolesterol, lemak tepu, kaedah memasak (minyak dan garam yg tinggi), apabila ianya diproses (daging proses) dan diambil dalam kuantiti yang berlebihan.

KESIMPULAN

Kesimpulannya apabila anda mengambil makanan, ambillah yang seimbang dalam kuantiti yang sederhana mengandungi semua makronutrien dan mikronutrien tak kira apakah tahap kealkalian ataupun keasidannya. Mengambil banyak buah2an dan sayuran adalah juga salah satu tabiat makan yang baik. Anda tidak perlu pening memikirkan samada makanan itu berasid ataupun beralkali kerana jika anda berpegang kepada prinsip makanan seimbang yang betul, anda akan sihat. Sebaliknya jika anda cuba mengambil makanan yang hanya terdiri daripada satu kumpulan sahaja, maka anda bakal mengalami masalah kesihatan akibat mengambil makanan yang tidak seimbang. Jadi mulai saat ini semasa memilih makanan, anda tidak perlu stres untuk mengetahui apakah makanan itu berasid ataupun beralkali. Jangan memandang rendah keupayaan sistem keseimbangan asid-alkali semulajadi yang sangat cekap di dalam badan anda. Paling penting anda mengambil makanan seimbang, buah2an dan sayuran, cukup air, lakukan senaman, tidak merokok, tidak minum alkohol dan kurangkan stres. Jangan menghabiskan wang kepada produk2 yang berasaskan pH kononnya untuk menyihatkan badan, mencegah ataupun kononnya boleh merawat penyakit. Allah menganugerahkan kepada anda sistem keseimbangan asid-alkali semulajadi YANG PERCUMA.

Nota peringatan: MADU yang disebut keistimewaannya di dlm Al-Quran mempunyai purata pH 3.9 (berasid).

Dato' Dr. Mohd Rushdan Md Noor
Medical Mythbusters Malaysia
11 hb Jan 2019

https://www.healthline.com/nutrition/the-alkaline-diet-myth#what-it-is
https://honeybeesuite.com/how-acid-is-honey/

3 comments: