Friday, 13 March 2020

MENGAPA MEMBASUH TANGAN DENGAN SABUN PILIHAN UTAMA UNTUK MENGHAPUSKAN COVID-19 DARI TANGAN ANDA




Mengikut Professor Kimia, Palli Thordason dari Universiti NSW, sabun berkesan menghapuskan virus termasuk Covid-19 dan membasuh tangan dengan betul menggunakan sabun lebih berkesan dari hand sanitizer yang mengandungi alkohol. Untuk memahami bagaimana sabun boleh menghapuskan Covid-19, anda kena tahu tentang struktur virus ini. Ringkasnya Covid-19 dibina oleh 3 komponen utama iaitu molekul RNA (molekul yang membawa gene virus) di tengah dan dilindungi oleh selaput luar yang terdiri dari molekul protein dan molekul lemak (lihat rajah). Ikatan di antara molekul protein dan lemak ini tidak kuat dan boleh dileraikan.
Sabun pula terdiri dari molekul yang dikenali sebagai "Amphiphiles" di mana di satu hujung ia menarik air (hidrofilik) dan di hujung yang satu lagi menolak air (hidrofobik) tetapi menarik lemak. Apabila kita masukkan minyak (mewakili lemak) ke dalam air, minyak akan timbul di permukaan kerana tidak boleh bercampur dengan air. Tetapi apabila dimasukkan sabun, bahagian molekul sabun yang suka lemak akan menarik molekul lemak di dalam minyak dan hujung satu lagi akan tertarik ke arah air. Akibatnya minyak akan tertarik dan terkumpul di dalam air. Inilah juga kaedah bagaimana sabun mencuci/menarik minyak dari pinggan dan kemudian laluan air dari paip akan membersihkannya. Jika kita umpamakan Virus Covid-19 dengan satu unit titisan minyak tadi maka molekul sabun akan mengelilinginya dan menarik molekul lemak pada dinding virus dan ia boleh menarik keluar virus dari permukaan kulit ataupun meleraikan selaput virus.

Aliran air yang dikenakan ke atas kulit tangan semasa membasuh juga akan mengeluarkan virus yang sudah dileraikan dari permukaan kulit untuk dinyahkan dari badan. Memandangkan Covid-19 adalah virus bersaiz nano yang tersangat kecil ataupun nanopartikel maka ia boleh masuk ke celah alur kulit yang sangat halus dan liang2 roma. Aliran air yang biasa tidak mampu untuk mengeluarkan virus ini dari kulit dan inilah sebabnya kita perlu membasuh tangan dengan sempurna seperti yang disyorkan oleh WHO melalui teknik yang betul seperti di dalam gambar rajah di bawah (sekurang2nya 20 saat). Tisu sanitizer tidak dapat menggantikan keberkesanan membasuh tangan kerana alasan yang sama.

Alkohol membunuh virus dengan merosakkan protein di selaput luar melalui proses yang dikenali sebagai denaturasi. Alkohol hanya berkesan jika kepekatannya melebihi 60-70%. Tetapi jika tangan anda basah dan berpeluh ia akan mencairkan alkohol dan menyebabkan ia kurang berkesan. Jika tangan anda berminyak, virus mungkin terperangkap di dalam minyak dan sanitizer alkohol tidak berkesan untuk memusnahkannya. Tangan yang kotor juga mengurangkan keberkesanan alkohol. Alkohol tidak berkesan ke atas spora, beberapa jenis bakteria (cth: Clostridium sp) dan virus yang tidak berselaput (non-anvelope). Kelebihan mencuci tangan dengan alkohol adalah ia mudah digunakan di mana-mana dan tidak memerlukan air. Alkohol sanitizer adalah selamat dan tidak masuk ke dalam aliran darah tetapi ia adalah bahan mudah terbakar dan perlu disimpan di tempat yang sesuai. Jadi kaedah paling berkesan menghapuskan virus termasuk Covid-19 dari permukaan kulit tangan adalah membasuh tangan dengan betul menggunakan sabun. Kata kuncinya adalah membasuh dengan kaedah yang betul.

Dato' Dr Rushdan Noor
14hb March 2020




https://mobile.twitter.com/PalliThordarson/status/1236549305189597189

https://www.cdc.gov/coronavirus/2019-ncov/community/home/cleaning-disinfection.html

https://www.drcheputeh.com/post/siri-50-hand-sanitizer-beralkohol-dan-tanpa-alkohol

https://www.google.com/amp/s/www.livescience.com/amp/57044-science-of-soap.html

TEKNOLOGI NANO (NANOTECHNOLOGY): POTENSI MASA DEPAN DAN KONTROVERSI

Dato' Dr.Mohd Rushdan Md Noor
Pakar Perunding Ginekologi Onkologi
Hospital Sultanah Bahiyah




PENDAHULUAN

Konsep dan idea nanosains dan teknologinano mula diperkenalkan apabila ahli fizik Amerika bernama Richard Feynman membentangkan ceramah bertajuk “There’s Plenty of Room at the Bottom” semasa konferen American Physical Society dalam tahun 1959. Beliau bercakap bahawa satu hari nanti ahli sains akan mampu untuk mengawal dan memanipulasi atom dan molekul. Perkataan “nanotechnology” hanya mula dipakai apabila istilah ini diperkenalkan oleh Professor Norio Taniguchi dari Tokyo University of Science pada tahun 1974 dan pada tahun 1981 terciptalah mikroskop yang dinamakan “scanning tunneling microscope” yang mampu melihat individu atom.

Teknologinano (“Nanotechnology”) adalah sains dan teknologi mengenai benda halus yang bersaiz kurang daripada 100 nanometer. Satu nanometer adalah lebih kurang panjang 3 atom yang disusun selari. Sehelai rambut manusia mempunyai garispusat 80,000 nanometer, jadi 1 nanometer adalah satu bahagian daripada sehelai rambut yang dibelah kepada 80,000 bahagian. Jadi 100 nanometer adalah satu bahagian rambut yang dibelah kepada 800 bahagian. Begitulah gambaran saiz 100 nanometer.

Pada masa yang lampau kita tidak mempunyai teknologi melihat benda-benda halus bersaiz nano, jadi kita tidak mempunyai banyak mamlumat bagaimana ia berfungsi. Hari ini dengan perkembangan teknologi sains, alat-alam mikroskop yang sangat canggih telah dicipta dan mampu untuk melihat objek-objek yang sangat kecil.

Ahli sains percaya bahawa bahan2 ataupun objek yang sangat halus mempunyai ciri-ciri yang berbeza dengan bahan-bahan yang lebih besar walaupun merupakan elemen yang sama. Objek yang lebih kecil mempunyai nisbah keluasan permukaan kepada isipadu yang lebih besar. Objek-objek yang sangat halus bersaiz nanometer ini juga dikenali sebagai partikelnano (“nanoparticle”). Dengan kefahaman mengenai objek-objek yang sangat halus ini dan bagaimana mengawal serta menyusun mereka,  penyelidik percaya kita akan dapat memperbaiki alat, struktur dan apa sahaja bahan yang ada pada hari ini. Pendek kata apa sahaja teknologi dan peralatan yang ada pada hari ini boleh dicipta berasaskan kepada objek2 bersaiz nano ini.

Terdapat beberapa percanggahan pendapat ahli sains mengenai criteria untuk memenuhi syarat sebagai teknologinano tetapi umumnya majoriti bersetuju dengan 3 kriteria berikut:
  1. Saiz bahan yang bersamaan ataupun kurang daripada 100 nanometer
  2. Bahan yang mempunyai ciri-ciri yang unik disebabkan oleh saiz yang kecil
  3. Mengawal struktur dan komposisi pada skala nanometer

Partikel-partikel ataupun objek-objek yang kecil berskala nanometer bukanlah baru dan ahli sains telah lama mengetahui tentang keujudannya cumanya pengetahuan bagaimana partikel dan objek ini berfungsi masih terhad. Hari ini ahli sains cuba menggunakan objek2 halus ini untuk menghasilkan alat dan peranti yang boleh berfungsi. Alat dan peranti yang dihasilkan ini tentulah juga sangat halus. Potensi kegunaan teknologinano sangat luas dan tidak terbatas, ianya boleh melibatkan banyak disiplin termasuk fizik, kimia, kejuruteraan elektrik, kejuruteraan kimia, biokimia, biofizik,sains material dan perubatan. Terdapat universiti yang mengujudkan jabatan teknologinano. Pakar di dalam bidang teknologinano dikenali sebagai Nanotechnologist.

Peralatan yang digunakan untuk menghasilkan peranti ataupun alat bersaiz nano memerlukan kanta pembesar aaupun mikroskop yang sangat tinggi  kemampuannya iaitu ”atomic force microscope” dan ”scanning tunneling microscope”. Di samping itu untuk memanipulasi partikelnano, alatan seperti ”electron beam lithography” diperlukan. Alat-alatan ini tentu sekali harganya mahal. Bahan ataupun partikel asas yang digunakan melalui dua proses iaitu samada pendekatan atas-bawah (”top-down approach”) di mana partikel asas yang besar dikecilkan saiz sehingga bersaiz nano ataupun pendekatan bawah-atas (”down-up approach”) di mana struktur yang besar dihasilkan melalui penyusunan daripada atom ke atom ataupun molekul ke molekul.

Menggunakan mikroskop berkuasa tinggi, ahli sains mampu untuk melihat partikelnano dan memanipulasi mereka untuk menghasilkan sesuatu bahan,  kesan ataupun alat/peranti yang boleh digunakan di dalam pelbagai bidang.

Di antara kegunaan teknologinano adalah seperti berikut:

  1. Mengujudkan kaedah pemberian ubat yang lebih tepat dan berkesan. Contohnya ubat antikanser yang boleh di bawa terus ke sel kanser dan mematikan sel kanser tanpa menjejaskan sel-sel yang normal. Penyelidik sedang mencuba untuk memasukkan ubat antikanser ke dalam partikelnano dan partikelnano ini dilekatkan pada molekul RNA bersaiz 10 nanometer. Sel kanser akan tertarik kepada RNA ini dan mengambilnya, apabila partikelnano ini sampai kepada sel kanser, ia akan mengeluarkan ubat antikanser ke dalam sel kanser dan mematikannya. Dengan kaedah ini keberkesanan rawatan kanser boleh ditingkatkan di samping kesan sampingan ke atas sel-sel normal dapat dikurangkan.
  2. Menghasilkan bahan yang lebih kuat. Contohnya menghasilkan sesuatu bahan dengan karbon partikel bersaiz nano seperti tiub nano yang diketahui mempunyai kekuatan yang sangat tinggi. Salah satu bahan yang boleh dihasilkan dengan menggunakan tiub nano ini adalah baju kalis peluru. Di samping lebih kuat ianya juga lebih nipis. Lapisan luar cat kereta yang menggunakan teknologi nano bagi menghasilkan selaput pelindung ataupun coating yang boleh melindungi cat dan calar.
  3. Meningkatkan kesan tindakbalas kimia sesuatu bahan ataupun partikel. Ciri-ciri sesuatu bahan boleh berubah apabila ianya dihasilkan di dalam bentuk partikelnano. Ini disebabkan oleh objek bersaiz kecil mempunyai nisbah luas permukaan kepada isipadu yang lebih besar jadi ianya lebih reaktif ataupun lebih cekap bertindakbalas. Contohnya partikelnano besi boleh bertindak sebagai pembersih bahan kimia (karbon tetraklorida) di dalam air bawah tanah kerana partikel besi yang lebih kecil bertindakbalas dengan lebih cekap daripada yang bersaiz besar. Partikelnano besi ini boleh disuntik masuk ke dalam saluran yang bersambungan dengan air bawah tanah.
  4.  Nano Electromechanical adalah salah satu lagi bidang di mana teknologinano ini boleh digunakan untuk menghasilkan gear, sensor, cermin dan juga wayar litar elektrik. Sensor yang menggunakan teknologinano ini boleh digunakan untuk mengaktifkan beg udara di dalam kereta. Disebabkan oleh teknologinano, sensor yang dihasilkan adalah lebih sensitif, tepat dan berkesan. Apa yang boleh dilakukan dengan teknologinano ke atas alat elektronik adalah tidak terbatas termasuk swis nano, transistor nano, wayar nano, bahan optoelektronik, nanophotonics dan lain-lain.
  5. Pembuatan molekular (”Molecular Manufacturing”). Bidang ini masih lagi pada peringkat teori di mana satu hari nanti manusia mampu untuk mencipta replikator yang mampu menghasilkan apa sahaja yang diinginkan oleh pengguna. Perkara ini dapat disaksikan di dalam filem star trek di mana replikator ini dapat menghasilkan segala-galanya daripada gelas minuman kepada makanan. Apa yang dilakukan oleh replikator ini adalah menggunakan manipulator yang sangat kecil untuk memanipulasi kedudukan atom dan molekul (daripada bahan mentah mudah) sehingga boleh menghasilkan objek yang kompleks.
  6. Makanan. Teknologinano boleh membantu menghasilkan makanan yang lebh sedap, berkhasiat dan lebih selamat dimakan. Penyimpanan makanan dengan teknologinano lebih baik dan tahan lama contohnya menghasilkan plastik penyimpan makanan yang dimasukkan ”silver nanoparticle” yang dapat membunuh bakteria. Zinc oxide nanoparticles boleh dicantumkan ke dalam plastik dan dapat menghalang sinar ultraunggu dan bertindak sebagai antibakteria. Ia juga dapat menguatkan lagi plastik tersebut. Nanosensor dapat diujudkan untuk mengesan kehadiran bakteria seperti salmonella di dalam bahan makanan. Penyelidikan juga dijalankan untuk menghasilkan kapsulnano (”nanocapsule”) mengandungi nutrin  yang boleh dilepaskan apabila kekurangan nutrin tersebut dapat dikesan oleh nanosensor.
  7. Fabrik yang diperbuat daripada serat bersaiz nano mempunyai kelebihan kerana luas permukaan yang sangat besar dan ini membuatkan fabrik menyerap lebih air dan peluang yang lebih baik untuk mengesan bahan pencemar terutamanya bakteria. Nanofiber/nanoserat yang dihasilkan ini akan digabungkan dengan pengesan bahan pencemar (biohazard) ataupun ”biohazard detector” . Fabrik yang dihasilkan ini mungkin di dalam bentuk kain pengelap yang dapat memerangkap bakteria dan kemudian diuji kehadirannya dengan kaedah pengesanan. Setakat ini kain seperti ini dapat dihasilkan tetapi perlu melalui dua proses iaitu memerangkap dan kemudian mengesan. Mungkin satu hari nanti bakteria ini dapat dikesan serentak dengan melihat perubahan warna pada kain yang dihasilkan melalui teknologinano ini. Satu gabungan di antara sains fiber dan sains biologi.
  8. Lain-lain potensi kegunaan teknologinano adalah penghasilan chemical sensors yang boleh mengesan kehadiran wap bahan kimia, alat sukan yang lebih tahan lasak dapat dihasilkan dengan teknologinano, penghasilan bateri yang lebih tahan lama, penghasilan sel solar yang lebih baik pada kos yang lebih rendah

POTENSI PENGGUNAAN TEKNOLOGINANO DI DALAM PERUBATAN

Penggunaan teknologinano di dalam bidang perubatan adalah sangat menarik. Aplikasi teknologi ini masih lagi di peringkat kajian walaupun ada yang sudah dapat diaplikasikan. Aplikasi teknologinano di dalam perubatan sebenarnya tidak terbatas dan tidak dapat dibayangkan luasnya prospek masa depan teknologi ini di masa hadapan. Ia berpotensi untuk digunakan bagi tujuan mencegah penyakit, mengesan penyakit pada peringkat awal dan merawat penyakit dengan lebih berkesan serta memantau perkembangan penyakit.Teknologinano juga mungkin boleh menjadi jawapan kepada masalah penyakit berjangkit yang kebal antibiotik dan penyakit kronik yang sukar diubati.

Saya sudah nyatakan mengenai penggunaan teknologinano di dalam pemberian ubat antikanser di mana ubat antikanser dapat disampaikan terus kepada sel-sel kanser tanpa menjejaskan sel-sel normal. Partikelnano yang dapat membawa ubat antikanser ini sedang di dalam pembuatan dan mungkin satu hari nanti akan dapat digunakan ke atas pesakit kanser.Penggunaan silicon partikelnano yang mengandungi ubat antikanser juga di dalam kajian,  dimana kanser sel akan mengambil silikon partikelnano ini dan apabila masuk ke dalam sel kanser ianya akan melerai dan ubat antikanser dilepaskan ke dalam sel kanser. Kajian ini masih di dalam peringkat kajian makmal.

Teknologinano juga dapat digunakan untuk mengesan kanser pada peringkat awal. Seringkali kanser dikesan lewat yakni apabila sudah ada tanda-tanda fizikal. Bagaimanakah teknologinano dapat digunakan untuk mengesan kanser pada peringkat paling awal di mana ia belum lagi memberi kesan kepada badan pesakit. Ahli sains mendapati terdapat satu biomarker yang menjadi petanda kehadiran sel kanser. Biomarker itu dikenali sebagai exosome yang sangat kecil, dikatakan berjuta-juta exosome boleh dimasukkan ke dalam satu sel darah merah. Exosome adalah vesical (kantung) yang terletak di luar sel tetapi dihasilkan oleh sel, ianya boleh didapati di dalam darah, cecair badan dan juga air kencing. Exosome dipercayai bertindak sebagai perantara komunikasi di antara satu sel dengan sel yang lain dengan memindahkan molekul aktif seperti asid nucleic, protin dan lemak kepada sel penerima. Sel-sel kanser juga boleh melepaskan exosome dan molekul-molekul aktif yang terkandung di dalamnya akan menggambarkan jenis sel yang terlibat. Teknologinano dapat digunakan untuk menapis dan mengumpulkan exosome daripada sampel air kencing, darah ataupun cecair badan bagi tujuan mengesan kehadiran sel-sel kanser pada peringkat awal. Penyelidikan ke arah ini masih dijalankan dan masa masih panjang untuk melihat ianya dapat digunakan di dalam amalan perubatan.

Partikelnano juga dapat digunakan untuk melindungi vaksin. Vaksin yang dilindungi ini akan mempunyai masa yang lebih panjang untuk meransang sistem imun dan hasilnya adalah sistem imun yang lebih kuat serta tahan lama.

Penghasilan kaedah melepaskan insulin kepada sel-sel yang lebih berkesan menggunakan nanocapsule untuk pesakit diabetes. Ianya masih lagi di peringkat kajian.

Ubat-ubatan yang dahulunya tidak boleh diberikan melalui makan disebabkan oleh kesan asid perut dan usus mungkin dapat memanfaatkan teknologinano dengan menghasilkan ”nanoparticle oral drug delivery system”.

Penyelidik sedang mengkaji untuk menghasilkan partikelnano yang dapat melawan virus dengan melepaskan enzim yang dapat merencat pembiakan virus.

Rawatan membersihkan darah daripada toksin dapat mengunakan nanosponges yang merupakan polymer nanoparticles yang diselaputi dengan selaput sel darah merah supaya partikelnano ini dapat berada di dalam darah dengan selamat. Apabila terdapat toksin di dalam darah, ia akan menyerap toksin tersebut dan menghapuskannya.

Mengesan kehadiran bakteria dan organism pada makanan yang dibungkus boleh menggunakan teknologinano seperti penggunaan barcode untuk menentukan harga barang. Ahli sains cuba menghasilkan nano barcode yang mengesan kehadiran organisma dan berfungsi sama seperti barcode untuk membaca harga. Apabila bahan makanan yang dibeli itu mengandungi bakteria, nano barcode itu akan menghantar signal kepada pengesan ataupun detector dan amaran akan keluar.

Sinar laser dapat ditukarkan kepada gelombang bunyi apabila ianya melalui kanta yang diselaputi dengan nanotiub karbon. Gelombang bunyi yang kuat ini dapat mematikan sel kanser dan juga penyakit-penyakit lain dengan lebih tepat dan berkesan.

Bismuth partikelnano telah dikaji untuk meningkatkan keberkesanan radioterapi di dalam mensasarkan sel-sel kanser dengan cara memadatkan radiasi dan kekuatannya ke atas kanser.

Penyelidik menggunakan nanotiub karbon yang dilekatkan antibodi untuk mengesan sel kanser di dalam aliran darah. Kajian ini dilakukan oleh penyelidik di Worcester Polytechnic Institute. Satu hari nanti pengesahan kanser dapat dilakukan dengan lebih mudah, hanya dengan ujian darah.

Sensor yang diperbuat daripada nanotiub karbon dapat dimasukkan ke dalam gel dan kemudian disuntik di bawah kulit. Nanosensor ini dapat memantau tahap nitric oxide di dalam aliran darah. Kandungan nitric oxide ini adalah petunjuk kepada proses keradangan (inflamatori) dan ini berpotensi untuk digunakan sebagai kaedah memantau penyakit keradangan.

Penyelidik di University of Houston telah menghasilkan teknik pembersihan alat –alat perubatan dengan gold nanoparticles dan sinar infrared. Gold partikelnano dan infrared dapat membunuh kuman.

Rawatan ke atas jangkitan yang kebal antibiotik juga mungkin boleh ditangani dengan teknologinano. Pengkaji telah menghasilkan apa yang dikenali sebagai quantum dots. Iron oxide nanoparticles yang dihasilkan oleh penyelidik di Universiti of New South Wales dapat merawat jangkitan bakteria kronik.

Rawatan luka kebakaran menggunakan nanokapsul yang mengandungi antibiotik dimana apabila ada tanda-tanda awal jangkitan bakteria yang merbahaya, ia menyebabkan nanokapsul itu pecah dan melepaskan antibiotik, ini mempercepatkan rawatan dan mengurangkan penggunaan kain pembalut luka yang perlu ditukar.

KONTROVERSI TEKNOLOGI NANO

Teknologinano adalah satu teknologi yang relatifnya baru walaupun sedar ataupun tidak ianya sudah bertapak lebih 40 tahun yang lalu. Terdapat aplikasi teknologinano yang sudah lama berjalan tetapi tanpa disedari oleh manusia. Ahli kimia telah bergelumang dengan nanopartikel semulajadi sudah sekian lama. Contoh nanopartikel semulajadi adalah molekul dan virus. Tanpa disedari, pembuatan tayar sebenarnya sudah menggunakan nanopartikel iaitu karbon hitam untuk memperbaiki kecekapan tayar se awal tahun 1920 an. Kita boleh katakan bahawa atom dan molekul yang berlegar di sekeliling kita adalah nanopartikel, jadi apakah isu sebenar yang menyebabkan ada yang  mengganggap teknologinano ini sesuatu yang kontroversi dan berpotensi membawa kemudaratan kepada manusia.

KEBIMBANGAN MENGENAI TEKNOLOGI NANO

Di antara kebimbangan yang dihadapi oleh ahli sains adalah tentang kesan sampingan daripada produk teknologi nano ini. Contohnya partikel yang bersaiz nano adalah sangat kecil dan nisbah luas permukaan kepada isipadunya adalah sangat besar. Ini menyebabkan nanopartikel ini sangat reaktif dan mudah bertindakbalas. Adakah ini akan memberi kesan toksik kepada sel-sel yang normal dan persekitaran.

Apabila saiz partikel mengecil sehingga bersaiz nano, sifat partikel itu akan jauh berbeza daripada saiz makro yang besar. Kesan pengecilan partikel bersaiz nano mengakibatkan berlakunya perubahan kepada ciri-ciri bahan asal contohnya tembaga yang legap cahaya (opaque substance) akan menjadi kalis cahaya (transparent), platinum yang asalnya lengai (inert) akan menjadi pemangkin (catalyst), aluminium yang stabil menjadi mudah terbakar, emas yang asalnya pepejal menjadi cecair pada suhu bilik dan silicon yang asalnya penebat bertukar menjadi pengalir elektrik. Fenomena ini juga dikenali sebagai “quantum size effect”.

Untuk memahami kesan pengecilan saiz partikel hingga kepada bersaiz nano, cuba perhatikan apa yang berlaku ke atas duit siling perak Amerika. Duit siling ini mengandungi 26.96 gram perak dengan garispusat 40 mm dan luas permukaan 27.7 cm persegi. Jika duit siling yang sama dipecah-pecahkan kepada partikel yang sangat halus, katakan sehingga setiap serpihannya bergarispusat 1 nanometer, jumlah luas permukaan kesemua serpihan ini akan menjadi 11,400 meter persegi. Kesimpulannya satu siling perak bersaiz 40 mm apabila dikecilkan menjadi serpihan bersaiz 1 nanometer, luas permukaannya meningkat sebanyak 4.115 juta kali lebih besar (daripada 27.7 cm persegi kepada 11,400 meter persegi).

Tidak semua jenis nanopartikel ini memberi kesan negatif kerana terdapat dua jenis nanopartikel yang akan dihasilkan iaitu yang digabungkan dengan bahan-bahan lain dan satu lagi nanopartikel yang bebas. Nanopartikel yang digabungkan dengan bahan-bahan lain mungkin tidak membimbangkan kerana saiznya sudah menjadi besar akibat gabungan tersebut. Tetapi jika nanopartikel itu ujud secara bebas, kebimbangan yang disebutkan di atas mungkin munasabah.

Jika nanopartikel yang dihasilkan adalah di dalam bentuk cecair ataupun serbuk, isu yang perlu dipertimbangkan adalah saiz nano partikel di dalam bentuk tersebut tentu berbeza-beza, ada yang lebih kecil dan ada yang lebih besar. Manakala boleh juga berlaku pengkelompokan (aggregate) di antara partikel-partikel tersebut. Di sebabkan oleh saiz yang berbeza, tentu sifat-sifatnya juga berbeza, partikel yang berkelompok mempunyai ciri-ciri berbeza dengan partikel yang bersendirian.

Nanopartikel boleh masuk ke dalam badan manusia. Terdapat 4 kemungkinan bagaimana nano partikel ini boleh masuk ke dalam tubuh badan manusia iaitu melalui sedutan, makan, meresap melalui kulit dan suntikan. Apabila ia masuk ke dalam badan manusia, disebabkan oleh saiz yang sangat kecil, mungkin ia akan menembusi selaput halangan otak (blood brain barrier) dan masuk ke dalam otak. Kesan nano partikel yang masuk ke dalam badan manusia ini masih menjadi tanda tanya. Mungkin kah jika terlalu banyak nano partikel di dalam badan, ia akan diambil/ditelan oleh sel darah putih sebagai reaksi ke atas benda asing dan berlaku lambakan partikel-partikel ini di dalam sel darah putih. Ini mungkin menyebabkan berlakunya keradangan dan stress kepada badan, dikhuatiri boleh melemahkan pertahanan badan. Salah satu lagi kebimbangan adalah kemungkinan nano partikel ini berinteraksi dengan proses fisiologi badan dan disebabkan oleh luas permukaan yang besar ia mampu menarik molekul-molekul termasuk enzim-enzim sehingga mengganggu fungsi mereka.

Kesan ke atas persekitaran juga tidak dapat diduga. Apabila nano partikel dihasilkan tentu sebahagian daripadanya akan terlepas di udara dan di dalam air. Jika ianya dihasilkan dan digunakan di dalam bentuk ikatan ataupun gabungan dengan bahan-bahan lain, akan ujud pula isu kitaran semula, adalah produk ini akan kekal di dalam alam sekitar dan menjadi pencemar/bahan buangan. Jika ianya menjadi bahan buangan dan pencemar, bagaimana pula agaknya untuk membuangnya kerana tidak ada penapis yang cukup kecil untuk menapis partikel yang sangat halus ini.

KESIMPULAN

Teknologinano adalah salah satu bidang sains yang menggunakan objek, partikel ataupun bahan yang halus bergarispusat kurang daripada 100 nanometer. Ahli sains mendapati bahawa partikel-partikel yang bersaiz nano ini mempunyai kelebihan daripada segi kekuatan, ketahanan dan juga lebih berkesan. Dengan teknologi mikroskop yang lebih baik, partikel-partikel bersaiz nano ini telah dapat difahami dengan lebih baik dan banyak usaha sedang dijalankan untuk memanipulasi atom dan molekul bagi menghasilkan pelbagai kemudahan untuk memudahkan kehidupan manusia. Teknologi ini masih baru tetapi mempunyai potensi masa depan yang cerah. Hampir semua alat dan kemudahan yang berkaitan dengan sains, teknologi, kejuruteraan dan perubatan berpotensi untuk memanfaatkan teknologinano. Walau bagaimanapun aplikasi teknologi ini masih lagi terhad pada hari ini disebabkan oleh pengetahuan yang terbatas dan teknologi serta kemahiran yang belum mencukupi untuk menggantikan teknologi hari ini dengan teknologinano. Teknologi ini juga memerlukan makmal yang canggih dan mahal. Disebabkan oleh aplikasi yang terhad dan pengetahuan mengenai sifat-sifat partikel-partikel nano ini masih terbatas, maka ahli sains belum pasti apakah ada kesan sampingan yang serius ke atas kehidupan manusia dan alam sekitar. Terdapat kebimbangan bahawa di sebalik kelebihan partikel-partikel bersaiz nano ini, terselindung kemungkinan kesan negatif ke atas tubuh badan manusia dan juga alam sekitar khususnya nano partikel yang ujud di dalam bentuk bebas.

RUJUKAN

https://www.nano.gov/nanotech-101/what/definition
Soung YH, Ford S, Zhang V, Chung J. Exosomes in Cancer Diagnostic. Cancers (Basel), 2017;9(1):8
http://www.understandingnano.com/nanotech-applications.html
 

BENARKAH COVID-19 TAKUT CUACA PANAS

 
 
BENARKAH COVID-19 TAKUT CUACA PANAS

Ramai yang memperkatakan tentang pengaruh cuaca terhadap penularan jangkitan virus. Untuk menjawab soalan adakah Covid-19 lebih takut kepada cuaca panas dan lebih cepat merebak ketika cuaca sejuk, kita teliti dahulu 4 kenyataan berikut:

1. Apa yang berlaku semasa wabak SARS pada tahun 2003 bukanlah bukti bahawa wabak SARS terhenti dengan sendiri oleh perubahan cuaca dari sejuk kepada panas. Kejayaan mengawal wabak SARS adalah hasil daripada usaha yang gigih negara2 yang terlibat seperti isolasi kes, kuarantin kontak, kaedah pencegahan, "social distancing" (penjarakan sosial) dan lain2 ikhtiar yang intensif. Perubahan cuaca hanya kebetulan dan kejadian semula (gelombang kedua) wabak SARS di Kanada bukan disebabkan oleh cuaca tetapi akibat dari berhentinya amalan pencegahan yang dinyatakan di atas.

2. Walaupun jangkitan coronavirus lain yang sudah lama wujud adalah jangkitan yang bermusim ("seasonal") namun sifat ini tidak semestinya ada pada Covid-19. Covid-19 adalah virus yang baru dan manusia belum pernah terdedah dan belum lali dengan jangkitan virus ini. Jadi kita tidak boleh membuat andaian bahawa Covid-19 mempunyai ciri2 yang sama dengan jangkitan coronavirus yang lain.

3. Benarkah kadar jangkitan pernafasan oleh virus meningkat ketika cuaca sejuk disebabkan organisma ini bertukar menjadi lebih ganas ? Jawapannya adalah tidak ada bukti kukuh bahawa virus bertukar menjadi lebih ganas apabila cuaca berubah. Banyak faktor yang mempengaruhi bagaimana virus ini merebak. Kadar jangkitan yang meningkat ketika musim sejuk dipercayai akibat daripada beberapa faktor berikut:

a. Faktor persekitaran. Kajian ke atas virus influenza menunjukkan virus ini lebih mudah merebak ketika suhu sejuk dan kering. Suhu yang sejuk sahaja tidak memadai tetapi perlu udara yang kering untuk meningkatkan jangkahayat virus di dalam droplet. Kandungan air di dalam udara juga penting. Kajian ini hanya tertumpu kepada virus influenza dan bukan coronavirus yang merupakan virus yang berbeza. Jadi pengaruh suhu ke atas Covid-19 belum diketahui. Kes Covid-19 di Singapura juga memberi gambaran yang cuaca panas dan lembap tidak menghalang penularan jangkitan.

b. Faktor manusia. Ketika musim sejuk, orang ramai lebih suka tinggal di dalam rumah yang tertutup dengan pengudaraan kurang baik. Ini menyebabkan jangkitan lebih mudah berlaku apabila ada ahli keluarga yang dijangkiti samada dari sekolah ataupun tempat kerja. Jangkitan lebih mudah berlaku kerana faktor manusia dan bukan faktor virus.

c. Faktor sistem pertahanan badan manusia. Ahli sains percaya kurang pendedahan kepada cahaya matahari ketika musim sejuk menyebabkan penghasilan pigmen kulit melatonin lebih rendah. Kurang pendedahan kepada cahaya matahari juga boleh mengurangkan vitamin D. Melatonin dan vitamin D mempunyai peranan di dalam sistem pertahanan badan. Walau bagaimanapun kesan ini mungkin kecil dan tidak cukup kuat untuk mencegah jangkitan secara bersendirian. Walaupun suhu panas, jika seseorang tidak menerima cukup cahaya matahari, maka cuaca yang panas tidak akan memberi kesan yang sama.
4. Sejarah telah menunjukkan banyak wabak2 jangkitan virus boleh berlaku di luar musim. Contohnya pandemik influenza yang berlaku pada tahun 2009 bermula pada bulan April-May yang merupakan cuaca panas di negara China. Manakala MERS pula mula merebak di Arab Saudi dalam bulan Ogos yang panas. Jadi adalah salah menganggap virus tidak boleh merebak ketika cuaca panas.

KESIMPULAN

Berdasarkan kepada fakta2 di atas, boleh diandaikan bahawa cuaca mungkin mempengaruhi kadar jangkitan Covid-19 tetapi secara tidak langsung dan pada kadar yang sederhana. Disebabkan Covid-19 adalah virus yang baru, pandangan ini hanyalah andaian dan belum disahkan. Cuaca sahaja tidak cukup untuk menghalang penularan jangkitan virus ini. Mekanisma sebenar bagaimana cuaca mempengaruhi kadar jangkitan belum diketahui sepenuhnya. Pengaruh cuaca bukan ke atas tahap keganasan virus tetapi disebabkan oleh kesan tidak langsung yang diberikan oleh faktor-faktor lain yang tidak berkait dengan sifat virus tersebut. Langkah menangani penularan jangkitan Covid-19 yang paling berkesan adalah seperti mana yang disarankan oleh WHO dan dilaksanakan oleh negara kita iaitu melalui saringan, pengesanan kes, isolasi kes, kuarantin kontak, amalan pencegahan yang disyorkan, "social distancing" dan lain-lain langkah proaktif seperti yang dilaksanakan oleh negara-negara yang telah berjaya mengekang penularan jangkitan virus ini. Setakat ini siapapun tidak dapat meramalkan apakah masa depan wabak jangkitan Covid-19 dengan perubahan cuaca dunia.

Dato' Dr Rushdan Noor
12hb Mach 2020

RUJUKAN

https://ccdd.hsph.harvard.edu/will-covid-19-go-away-on-its-own-in-warmer-weather/

https://www.scientificamerican.com/article/what-could-warming-mean-for-pathogens-like-coronavirus/

https://www.newscientist.com/article/2233249-will-the-covid-19-coronavirus-outbreak-die-out-in-the-summers-heat/

Wednesday, 11 March 2020

MENGAPA COVID-19 LEBIH MUDAH MEREBAK DARI SARS




Susunan gene di dalam virus SARS dan Covid-19 hampir sama yakni 79.5% persamaan, jadi ada beberapa ciri mereka yang agak serupa. Walau
bagaimanapun berbanding dengan abangnya SARS , Covid -19 merebak 10 kali lebih cepat walaupun kadar kematian jauh lebih rendah. Kadar kematian SARS adalah 9.6% berbanding dengan Covid-19, 1-2%.

Ahli Sains mengkaji mengapa kadar jangkitan Covid-19 lebih tinggi (lebih cepat merebak) daripada SARS. Mereka percaya ciri2 ini ditentukan oleh protein luar selaput Covid-19 yang dikenali sebagai Spike Glycoprotein dan sejenis enzim yang dihasilkan oleh sel bernama Furin. Spike glycoprotein ini berbentuk seperti mahkota dan ia juga adalah protein yang akan melekat kepada selaput sel manusia. Di bahagian luar selaput sel manusia terdapat reseptor yang dikenali sebagai ACE2. Jangkitan ke atas sel berlaku jika Spike glycoprotein pada virus bergabung dengan ACE2 dan ini akan membuka peluang kepada Covid-19 masuk ke dalam sel. 

Jadi ada dua proses utama serangan Covid-19 iaitu gabungan antara Spike glycoprotein dengan ACE2 di permukaan sel dan proses kedua adalah kemasukan Covid-19 ke dalam sel manusia. Spike glycoprotein ini bolehlah diumpamakan kunci, manakala ACE2 pula adalah mangga pintu. Kunci perlu dimasukkan ke dalam mangga dan mangga dibuka. Apabila Spike glycoprotein bergabung dengan ACE2 (kunci masuk dalam mangga), ia akan meransang pengaktifan enzim Furin dan enzim ini akan bertindak ke atas satu lagi bahagian Spike glycoprotein yang bertanggungjawab memulakan proses kemasukan virus ke dalam sel. Tindakan enzim Furin ini bolehlah dianggap umpama menolak pintu untuk membolehkan virus masuk ke dalam sel. Jadi keseluruhan proses serangan Covid-19 akan melibatkan kunci (spike glycoprotein) dimasukkan ke dalam mangga (ACE2) untuk membuka mangga dan kemudian pintu ditolak/dibuka (tindakan enzim furin), virus pun masuk. Virus SARS tidak mempunyai Spike Glycoprotein yang secekap Covid-19 jadi kadar jangkitan SARS lebih rendah daripada Covid-19. Enzim Furin ini banyak terdapat di dalam sel paru2, sel hati dan sel usus kecil. Tidak hairanlah mengapa pesakit mengalami gejala yang melibatkan 3 organ ini. Berbanding dengan SARS, ikatan antara spike glycoprotein dengan ACE2  oleh Covid-19 jauh lebih kuat dan ini adalah salah satu lagi sebab mengapa kadar jangkitan Covid-19 lebih tinggi.

Dato' Dr Rushdan Noor
12hb March 2020




Struktur 3D Spike Glycoprotein
Rujukan

https://www.nature.com/articles/d41586-020-00660-x

https://www.google.com/amp/s/www.businessinsider.com/china-wuhan-coronavirus-compared-to-sars-2020-1%3famp

http://www.virology.ws/2020/02/13/furin-cleavage-site-in-the-sars-cov-2-coronavirus-glycoprotein/

Wednesday, 4 March 2020

UBAT ORIGINAL DAN UBAT GENERIK

Apabila sesuatu syarikat mengeluarkan ubat yang pertama di pasaran, maka ubat tersebut dikatakan ubat ORIGINAL atapun ubat "INOVATOR". Ada juga yang menggunakan istilah ubat "BRANDED". Syarikat yang mencipta ubat tersebut akan mendapat hak intelektual ataupun paten selama 20 tahun. Jangka masa 20 tahun itu bermula daripada masa penemuan ubat. Memandangkan ubat ini perlu menjalani kajian praklinikal, kajian klinikal peringkat 1,2 dan 3 yang boleh mengambil masa 10-15 tahun, maka baki tempoh paten sesuatu ubat di pasaran sebenarnya hanya 5-10 tahun sahaja.

Ubat GENERIK adalah ubat yang dihasilkan oleh syarikat lain setelah ubat original tamat tempoh patennya. Ubat generik akan menamakan ubat mereka dengan nama lain tetapi bahan aktif di dalamnya adalah sama. Syarikat yang mengeluarkan ubat generik ini perlu memastikan bahawa kegunaan, dos, kaedah pemberian, kesan sampingan dan ciri farmakologinya adalah sama dengan ubat original. Jadi ubat generik sepatutnya mempunyai keberkesanan dan ciri keselamatan yang sama dengan ubat original. FDA membenarkan syarikat pengeluar ubat generik menambah bahan tidak aktif seperti pewarna, pengawet dan pemampat. Ubat generik boleh kelihatan berbeza daripada segi bentuk dan warna tetapi bahan aktif di dalamnya adalah sama.

Syarikat yang mengeluarkan ubat original mempunyai cabaran yang jauh lebih besar kerana perlu menjalankan kajian klinikal peringkat 1, 2 dan 3 yang melibatkan ramai orang serta memakan masa bertahun-tahun. Sedangkan syarikat yang mengeluarkan ubat generik hanya perlu menjalankan kajian BIOEQUIVALENT ke atas beberapa puluh orang sukarelawan. Kajian bioequivalent adalah dengan memberi sukarelawan ubat tersebut dan mengukur kandungan bahan aktif di dalam darah mereka. Kandungan bahan aktif di dalam darah ini akan dibandingkan dengan ubat original. Syarikat yang mengeluarkan ubat generik perlu membuktikan bahawa ciri farmakologi ubat generik yang mereka hasilkan adalah sama seperti ubat original. Memandangkan kandungan bahan aktif dan ciri farmakologi bahan aktif di dalam ubat generik adalah sama dengan ubat original, maka bolehlah dibuat kesimpulan bahawa keberkesanan dan kesan sampingannya juga sama.


Ubat generik lebih murah (sehingga 70% lebih murah) daripada ubat original sebab proses penghasilannya lebih mudah dan ubat ini tidak perlu menjalani kajian seperti mana ubat original yang memakan belanja berjuta-juta ringgit. Contoh ubat original untuk merawat diabetes adalah Glucophage, manakala ubat generik pula adalah metformin tablet.


Dato' Dr Rushdan Noor 
30hb Julai 2018






MENGAMBIL BUAH ATAUPUN SUPLEMEN ?

Mengambil suplemen vitamin dan mineral dalam bentuk pil/kapsul TIDAK SAMA dengan memakan buah-buahan dan sayuran. Ada LIMA sebab utama:

1. Suplemen vitamin/mineral kebanyakannya dihasilkan secara sintetik yang dipekatkan dan kemudian dihasilkan dalam pelbagai bentuk seperti pil dan kapsul. Buah2an dan sayuran pula adalah sumber makanan semulajadi yang mengandungi banyak nutrient. Selain daripada vitamin dan mineral, buah-buahan dan sayuran mengandungi serat, air dan banyak lagi fitonutrient yang tidak terkandung di dalam suplemen.

2. Buah-buahan dan sayuran juga membekalkan tenaga melalui kandungan karbohidrat di dalamnya. Karbohidrat ini adalah daripada jenis yg kompleks dan indek glisemik yg rendah, sesuai untuk pesakit diabetes dan boleh membantu menurunkan berat badan. Serat juga membantu melancarkan fungsi usus dan mengurangkan risiko kanser usus besar. Suplemen hanya mengandungi vitamin dan mineral yang tertentu.

3. Suplemen di dalam bentuk pil/kapsul mengandungi bahan kimia pengawet, pewarna dan pemampat. Dos/kuantiti vitamin dan mineral dalam setiap pil/kapsul tidak semestinya sama, ia boleh kurang ataupun lebih. Risiko pengambilan dos yang berlebihan boleh berlaku terutama pil vitamin larut lemak (A,D,E,K) dan zat besi. Disebaliknya pula pil yang diambil mungkin tidak pecah sepenuhnya dan kadar penyerapan nutrient ini mungkin jauh lebih rendah daripada sepatutnya. Selalunya vitamin dalam bentuk sirap dan kunyah ("chewable") mempunyai kadar penyerapan yg lebih baik berbanding dengan pil atau kapsul.

4. Banyak kajian epidemiologi dan pemerhatian menunjukkan bahawa amalan mengambil buah-buahan dan sayuran dikaitkan dengan kadar penyakit jantung, darah tinggi dan kanser yang lebih rendah serta jangkahayat lebih panjang.

5. Alasan paling penting adalah belum ada lagi hasil kajian yang kukuh menunjukkan amalan mengambil suplemen secara rutin meningkatkan mutu kesihatan, menurunkan kadar penyakit jantung, angin ahmar dan lain-lain penyakit kronik. Malahan semakin banyak kajian menunjukkan amalan mengambil suplemen boleh memudaratkan kesihatan termasuk kadar kematian yang lebih tinggi. Produk suplemen yang dikeluarkan oleh syarikat tidak memerlukan kawalan yang ketat daripada pihak FDA jadi keselamatannya tidak terjamin. Hanya beberapa jenis suplemen sahaja yg bermanfaat utk golongan tertentu seperti asid folik utk wanita yg ingin hamil, kalsium, vitamin D utk wanita yg putus haid dan gantian nutrient untuk pesakit2 yang kekurangan zat makanan (contoh: zat besi untuk kurang darah, vitamin D/kalsium untuk pesakit rickets dll).

Lima sebab yang dinyatakan di atas adalah bukti bahawa pengambilan buah2an dan sayuran dalam bentuk mentah adalah lebih baik daripada mengambil pil ataupun kapsul yang mengandungi vitamin, mineral dan lain-lain makanan tambahan.

Meskipun dengan bukti-bukti di atas, golongan yang pro kepada pengambilan suplemen termasuk penjual suplemen akan menggunakan hujah mereka sendiri untuk mempertahankan pendirian mereka. Terdapa 3 hujah yang selalu digunakan.

Tiga hujah tersebut adalah:

A. Manusia hari ini kekurangan vitamin dan mineral kerana tabiat makanan dan jenis makanan yang diambil
B. Buah2an dan sayuran yang ada di pasaran sudah tercemar dengan pelbagai agen pencemar.
C. Buah2an dan sayuran hari ini banyak yang dihasilkan melalui GMO ("Genetic modified Organism"). Betul ke GMO tidak baik?

MENANGKIS HUJAH PENJUAL SUPLEMEN

Ramai peniaga suplemen menggunakan hujah berikut untuk mempengaruhi orang ramai mengamalkan suplemen:

HUJAH 1: Manusia hari ini tidak mengambil cukup vitamin dan mineral di dalam makanan kerana tabiat makan dan makanan yang diproses.
JAWAPAN: Kekurangan vitamin dan mineral hanya berlaku jika seseorang tidak mengambil cukup makanan seperti yang berlaku di negara-negara mundur yang kurang bekalan makanan ataupun disebabkan oleh masalah penyakit malnutrisi. Penduduk negara kita menghadapi masalah mengambil makanan terlalu banyak sehingga menghadapi masalah kegemukan. Kekurangan vitamin dan mineral mungkin berlaku jika mereka suka mengambil makanan segera dan diproses tapi kurang mengambil buah2an dan sayuran segar. Tidakkah dengan galakan mengambil buah2an dan sayuran segar ini merupakan jalan penyelesaian kepada masalah pemakanan ini?

HUJAH 2 : Buah-buahan dan sayuran yang ada pada hari ini tidak bersih dan tercemar.
JAWAPAN: Pencemaran ini dapat diatasi dengan membasuh buah-buahan dan sayuran dengan betul. Basuhan air biasa mengeluarkan sehingga 85% pencemar (termasuk racun serangga) dan jika membasuh dengan larutan soda, boleh mengeluarkan hampir kesemuanya.Sakit baki pencemar yang sedikit ini tidak memudaratkan kesihatan kerana di dalam buah2an dan sayuran itu sendiri terkandung penawarnya. Badan manusia mempunyai kaedah detok semulajadi yang sangat berkesan melalui hati, buah pinggang dan darah. Ada buah-buahan seperti betik, pisang, nenas dan lain-lain yang perlu dikupas kulitnya dan kesan pencemar ke atas isi buah-buahan ini sangat minima. Terdapat pula pilihan produk2 yang dihasilkan secara organik jika mampu, tetapi ini bukan kemestian. Pilihan seterusnya adalah TANAM SENDIRI.

HUJAH 3: Buah-buahan dan sayuran hari ini adalah hasil GMO.
JAWAPAN: GMO adalah proses memodifikasi gene yang dilakukan ke atas biji buah dan sayur melalui kejuruteraan genetik supaya hasilnya menjadi lebih berkualiti dan tahan serangan perosak. Hampir semua ahli sains dan WHO berpendapat bahawa makanan hasil GMO tidak memudaratkan kerana modifikasi gene sememangnya sentiasa berlaku secara semulajadi. Proses GMO yang dilakukkan di makmal hanya mempercepatkan proses pembaikan gene daripada satu generasi kepada generasi selanjutnya. Tidak ada sebab mengapa gene yang telah dimodifikasikan akan memudaratkan kesihatan apabila ianya diambil oleh manusia. Tambahan pula belum ada kajian yang menunjukkan bahawa produk hasil GMO memudaratkan kesihatan. Ia dianggap satu perkembangan teknologi yang lebih maju.


DDr Rushdan Noor
Medical Mythbusters Malaysia
19hb Disember 2018