KEPENTINGAN PENJAGAAN PRA-KEHAMILAN

Dato'Dr.Mohd Rushdan Md Noor
Pakar Perunding Kanan Obstetriks & Ginekologi



Penjagaan Pra-Kehamilan adalah penjagaan kesihatan sebelum seseorang wanita itu hamil. Penjagaan pra-kehamilan merujuk kepada penjagaan kesihatan yang diberikan kepada semua wanita yang berkemampuan untuk hamil samada sedang berusaha untuk hamil dalam masa terdekat ataupun tidak. Perkhidmatan pra-kehamilan juga perlu melibatkan suami. Program penjagaan kesihatan ini akan terlebih dahulu mengenalpasti wanita yang berisiko mengalami masalah kesihatan ketika hamil samada ke atas diri mereka ataupun anak yang dikandung. Selepas mengenalpasti individu-individu ini, mereka akan disyorkan untuk menjalani kaunseling, rawatan perubatan, pendidikan dan juga panduan tingkahlaku sebelum mereka hamil. Penjagaan prakehamilan yang baik akan menjamin proses kehamilan dan kelahiran yang lebih selamat dan ini juga dapat mengurangkan kadar kematian ibu. Banyak kes-kes kematian ibu di negara kita disebabkan oleh kelemahan di peringkat penjagaan pra-kehamilan.

Penjagaan pra-kehamilan ini dipercayai mula diperkenalkan oleh Chamberlain di dalam tahun 1980 an. Pada asalnya penjagaan pra-kehamilan ini disasarkan ke atas wanita yang pernah mengalami masalah kehamilan yang lalu, walau bagaimanapun pada hari ini program ini dikembangkan kepada semua wanita-wanita di dalam lingkungan usia reproduktif yakni yang berkemampuan untuk hamil. Mensasarkan hanya kepada wanita-wanita yang mempunyai risiko-risiko kehamilan sahaja akan menyebabkan manfaat penjagaan prakehamilan ini tidak dapat dikecapi oleh hampir 50% wanita-wanita lain. Ini disebabkan proses kehamilan sukar diramal kerana ramai dalam kalangan wanita yang tidak mengalami masalah kehamilan terdahulu boleh mengalami komplikasi kehamilan di masa hadapan.

Penjagaan pra-kehamilan merangkumi saringan risiko, kaunseling,pendidikan dan juga rawatan ataupun intervensi ke atas wanita yang berhajat untuk hamil ataupun yang berkemungkinan mengalami kehamilan tidak terancang. Penjagaan antenatal iaitu ketika seseorang itu sudah hamil dikira peringkat yang lewat kerana pada ketika itu kehamilan sudah berlaku dan anak sudah wujud di dalam kandungan. Tambahan pula pada ketika awal kehamilan, bayi di dalam kandungan sangat berisiko untuk mengalami kecacatan jika kesihatan ibu tidak berada di dalam keadaan yang optima. Wanita-wanita yang sihat juga dapat manfaat daripada penjagaan pra-kehamilan kerana ada amalan-amalan tertentu yang boleh mengurangkan risiko kecacatan bayi contohnya mengambil asid folik sebelum hamil dapat mengurangkan kadar kecacatan bayi yang dikenali sebagai “neural tube defects”.

Jadual 1 di bawah menunjukkan organ-organ yang terbentuk mengikut usia kandungan, perhatikan bahawa pada 12 minggu pertama, banyak organ-organ penting di dalam badan bayi yang sedang berkembang. Pada peringkat perkembangan awal inilah, organ-organ ini lebih mudah terkesan dengan sebarang masalah kesihatan yang dialami oleh ibu ataupun apa-apa bahan yang diambil oleh ibu yang boleh berpindah kepada bayi. Umumnya selepas 11 minggu usia kandungan, hampir semua organ-organ penting seorang bayi akan terbentuk dengan lengkap dan selepas tempoh ini, bayi ini dianggap lebih selamat jika terdedah kepada bahan-bahan ataupun factor-faktor yang boleh merosakkan organ-organ.

Jadual 1 : Usia bayi di dalam kandungan dan proses pembentukan organ-organ penting  di dalam kandungan



Terdapat lebih daripada 10 komponen penjagaan pra-kehamilan dan setiap komponen telah menjalani penilaian tentang tahap kekuatan bukti dan kesahihan yang dilakukan oleh badan berkuasa yang berautoriti contohnya oleh panel jawatankuasa yang dicadangkan oleh Centers for Disease  Control (CDC). Berikut adalah 4 matlamat yang hendak dicapai melalui penjagaan pra-kehamilan:


Matlamat 1: Meningkatkan pengetahuan, memperbaiki sikat dan tingkahlaku wanita dan lelaki berkaitan dengan kesihatan pra-kehamilan.

Matlamat 2: Memastikan semua wanita yang berada pada usia reproduktif (15-50 tahun) menerima penjagaan pra-kehamilan sehingga mereka dapat membuat keputusan samada untuk hamil ataupun tidak dan jika mereka hamil, kehamilan mereka adalah selamat.

Matlamat 3: Mengurangkan risiko kesihatan berdasarkan kepada sejarah komplikasi kehamilan yang lalu melalui intervensi ataupun penjagaan sebelum kehamilan akan datang. Dengan intervensi awal ini, risiko untuk mengalami komplikasi yang sama ketika kehamilan akan datang dapat dicegah ataupun diminimakan.
Matlamat 4 : Mengoptimakan kesihatan ibu sebelum hamil bagi memastikan ibu dan anak yang bakal dilahirkan adalah sihat dan selamat. Ini juga dapat mengurangkan kadar kematian ibu dan bayi.
Banyak kajian telah dilakukan dan menunjukkan bahawa penjagaan pra-kehamilan memainkan peranan penting di dalam mengurangkan komplikasi kehamilan dan memperbaiki mutu kesihatan ibu dan anak yang akan dilahirkan. Contoh yang paling baik adalah kesan penjagaan pra-kehamilan ke atas wanita yang menghidap diabetes. Kajian telah menunjukkan bahawa insiden kecacatan major dan keguguran seseorang ibu yang menghidap diabetes dapat dikurangkan apabila penyakit diabetes dikawal dengan sempurna sebelum hamil. Jadual di bawah menunjukkan dua keadaan di mana penyakit diabetes dikawal dengan baik dan satu lagi tidak dikawal dengan baik. Perhatikan bahawa komplikasi kehamilan jauh lebih tinggi jika diabetes tidak dikawal dengan baik sebelum seseorang wanita itu hamil.

Jadual 2: Perbandingan di antara pesakit diabetes yang mendapatkan penjagaan prakehamilan yang sempurna berbanding dengan wanita yang tidak mengawal penyakit diabetesnya dengan baik sebelum hamil.


Diabetes dikawal dengan baik
Diabetes yang tidak dikawal dengan baik
Tahap HBA1c (%)
7.3
8.4
Komplikasi kehamilan (%)
24%
47%
Sakit tidak cukup bulan (%)
16%
37%
Kecacatan bayi (%)
1.5%
8.5%
Kematian bayi (%)
1%
6.4%

Di negara kita memang terdapat program saringan pra-kehamilan dan perkhidmatan klinik pra-kehamilan samada di peringkat Klinik Kesihatan ataupun Hospital. Petugas akan melakukan saringan dan akan merujuk kes-kes tertentu yang memerlukan penjagaan khusus. Petugas-petugas ini akan menggunakan borang soal selidik untuk menyaring wanita-wanita yang layak dan jika wanita ini dikesan mempunyai risiko maka mereka akan dirujuk untuk menghadiri Klinik Prakehamilan. Terdapat juga perkhidmatan saringan dan Klinik Pra-kehamilan yang dijalankan serentak supaya wanita-wanita ini tidak berlu berulang alik. Tidak kira apakah kaedah yang diamalkan, setiap wanita yang telah disaring dan telah dirujuk hendaklah hadir ke Klinik Pra-kehamilan jika mereka ingin mendapat manfaat daripada perkhidmatan ini. Walaupun wanita tersebut belum merancang untuk hamil, kehadiran mereka ke klinik pra-kehamilan akan membuka mata mereka betapa pentingnya penjagaan prakehamilan jika satu hari nanti mereka merancang untuk hamil.

KOMPONEN PENJAGAAN PRA KEHAMILAN

Semua wanita dan juga pasangan mereka akan digalakkan supaya membuat perancangan tentang masa depan mereka daripada aspek kehamilan dan bilangan anak. Mereka juga perlu merancang jarak masa di antara kehamilan dan juga jenis merancang keluarga yang akan diamalkan.

Wanita yang mengalami masalah kegemukan ataupun obesiti sangat disyorkan supaya dapat menurunkan berat badan sebelum hamil. Mereka digalakkan supaya mendapatkan berat badan yang unggul melalui langkah penjagaan pemakanan dan juga senaman. Manakala wanita-wanita yang berat badan terlalu rendah (BMI  ≤ 19.8 kg/m2  ) juga mempunyai risiko jika mereka hamil, jadi golongan ini  perlu meningkatkan berat badan mereka.

Status pemakanan dan nutrisi wanita-wanita perlu dinilai dan jika terdapat bukti yang wanita ini mengalami masalah kekurangan zat makanan, ianya perlu dipulihkan sebelum mereka hamil. Mereka mungkin perlu dirujuk kepada pakar pemakanan ataupun pakar perubatan.

Semua wanita yang berhajat untuk hamil disyorkan untuk mengambil asid Folik sebanyak 400 mikrogram setiap hari, 3 bulan sebelum hamil.

Status imunisasi mereka perlu dikemaskini contohnya imunisasi tetanus-diphtheria-pertussis, campak dan rubella perlu diambil mengikut jadual. Semua wanita yang berisiko tinggi kepada jangkitan Hepatitis B perlu mendapatkan imunisasi Hepatitis B sebelum hamil untuk mengurangkan risiko transmisi jangkitan kepada anak di dalam kandungan. Jika mereka belum lagi kebal kepada jangkitan rubella, suntikan vaksin rubella perlu diberikan. Setelah suntikan vaksin Rubella diberikan, wanita ini tidak boleh hamil sekurang-kurangnya selama 3 bulan.

Bahaya merokok dan mengambil alcohol akan ditekankan semasa sesi kaunseling dan pendidikan. Jika wanita ini mempunyai risiko dijangkiti penyakit bawaan seks, mereka perlu menjalani kaunseling, khidmat nasihat dan jika perlu akan dirujuk kepada pakar untuk rawatan.

Semua wanita dan suami mereka digalakkan untuk mengetahui status samada mereka dijangkiti oleh virus HIV ataupun tidak, terutama jika salah seorang ataupun kedua-duanya mempunyai faktor yang berisiko tinggi. Wanita yang sudah dijangkiti virus HIV tidak digalakkan untuk hamil dan perlu mengamalkan kaedah merancang keluarga yang sesuai dan selamat. Jika mereka masih ingin untuk hamil, mereka ini akan diberi kaunseling dan rawatan yang perlu bagi mengurangkan risiko jangkitan ke atas bayi di dalam kandungan. Wanita-wanita juga perlu disaring untuk penyakit-penyakit bawaan seks yang lain seperti jangkitan Clamydia dan Syphilis.

Masalah-masalah perubatan seperti diabetes, penyakit kelenjar tiroid, darah tinggi, penyakit buah pinggang, penyakit jantung dan lain-lain perlu dirawat dengan sempurna sebelum hamil. Terdapat juga penyakit-penyakit yang menyebabkan wanita ini tidak boleh hamil kerana risiko kematian yang tinggi. Setiap wanita perlu diterangkan tentang betapa pentingnya untuk mengawal gula darah sebelum hamil. Mereka perlu memastikan tahap HBA1c mereka adalah normal sekurang-kurangnya 1 bulan sebelum mencuba untuk hamil bagi mengurangkan risiko kecacatan bayi. Jika diabetes mereka tidak dikawal dengan baik, mereka patut terlebih dahulu mengamalkan perancang keluarga. Wanita yang mengalami penyakit sawan perlu memastikan penyakit mereka dikawal dengan baik sebelum hamil kerana kehamilan boleh meningkatkan serangan sawan, sawan ketika hamil boleh memudaratkan anak serta ibu dan terdapat ubat-ubat anti-sawan yang boleh memudaratkan bayi di dalam kandungan. Wanita yang menghidap penyakit darah tinggi perlu mengambil perhatian bahawa jika mereka hamil, mereka boleh mengalami masalah berganda dan terdapat ubat-ubat darah tinggi yang tidak boleh diambil ketika hamil seperti ACE inhibitors dan Angiotensin-receptor blockers. Wanita yang mengalami Rheumatoid Arthritis boleh mengalami serangan yang lebih kerap semasa hamil dan terdapat ubat-ubat yang tidak boleh diambil seperti methotrexate dan leflunomide. Wanita yang mengalami penyakit buah pinggang perlu memastikan penyakit mereka itu dikawal dengan baik kerana penyakit ini mungkin boleh menjadi lebih serius ketika hamil, ini akan memudaratkan ibu dan anak. Pesakit buah pinggang juga selalu mengalami tekanan darah tinggi, ubat untuk merawat tekanan darah tinggi perlu ditukarkan kepada ubat yang lebih selamat jika mereka hamil. Penyakit jantung adalah salah satu masalah perubatan yang utama dalam kalangan wanita yang hamil di negara kita. Pesakit jantung wajib menghadiri klinik pra-kehamilan supaya status penyakit mereka dapat dinilai dan pakar jantung dapat memberi nasihat sewajarnya sebelum mereka mengambil keputusan untuk hamil. Terdapat beberapa jenis penyakit jantung yang jika dialami ketika hamil boleh membawa risiko kematian yang tinggi ke atas ibu, di dalam keadaan ini, pakar jantung mungkin akan menasihati wanita ini supaya tidak hamil. Di antara penyakit jantung yang membawa risiko kematian yang tinggi ke atas ibu hamil adalah Primary Pulmonary Hypertension, Cardiomyopathy, Eisemenger’s syndrome dan beberapa jenis lagi. Pesakit Asma boleh mendapat serangan asma yang lebih kerap ketika hamil dan mereka perlu memastikan rawatan asma mereka sudah terkawal sebelum hamil. Jika penyakit asma mereka tidak dikawal dengan baik, wanita-wanita ini perlu mengamalkan perancang keluarga yang berkesan supaya mereka tidak hamil di dalam keadaan penyakit yang belum stabil.

Wanita yang mengalami masalah psikitri seperti kemurungan dan psikosis perlu memastikan penyakit yang mereka alami ini dikawal dengan baik sebelum hamil. Masalah kemurungan yang dialami oleh wanita diketahui boleh membawa kesan negative ke atas kehamilan termasuk meningkatnya risiko kelahiran tidak cukup bulan. Pesakit-pesakit psikosis seperti bipolar disease dan schizophrenia pula adalah penyakit psikiatri yang serius dan pesakit-pesakit ini mungkin akan mengalami gejala yang lebih kerap apabila hamil terutamanya jika mereka tidak mengambil ubat dengan tetap. Kaedah perancang keluarga yang sesuai perlu disyorkan kepada wanita-wanita ini. Wanita yang mengalami masalah psikiatri yang serius ini memerlukan sokongan pihak suami dan suami perlu terlibat di dalam proses penjagaan pra-kehamilan.

Sejarah yang lalu boleh juga menjadi petunjuk kepada kemungkinan wanita ini boleh membawa baka ataupun gene yang menyebabkan kecacatan anak. Sejarah generasi yang lalu perlu diambil dan  jika memang terdapat kecenderungan untuk menyebabkan kecacatan anak melalui keturunan, maka wanita ini perlu terlebih dahulu dirujuk kepada kaunselor genetic sebelum hamil.

Terdapat ubat-ubat yang boleh menyebabkan kecacatan bayi, jadi penjagaan pra-kehamilan dapat menyediakan peluang mendapatkan kaunseling dan nasihat mengenai ubat-ubat ini supaya ianya boleh ditukarkan kepada ubat-ubat yang lebih selamat diamalkan ketika hamil. Jika wanita ini sedang mengamalkan pengambilan suplemen ataupun herba-herba, maka mereka disyorkan untuk berhenti mengambilnya sebelum hamil kerana kebanyakan suplemen dan herba-herba ini tidak diketahui kandungannya.

Terdapat keadaan-keadaan di mana masalah kehamilan dan kelahiran boleh berulang jika wanita itu hamil semula. Wanita yang menjalani pembedahan caesarean section semasa kehamilan yang lalu perlu mendapat nasihat mengenai jarakmasa yang sesuai sebelum boleh hamil semula. Di samping itu doktor juga boleh menasihati wanita ini tentang kaedah kelahiran yang akan datang. Terdapat juga wanita yang menghadapi masalah kelahiran tidak cukup bulan dan diketahui puncanya, maka jika punca ini tidak dirawat sebelum mereka hamil, risiko kelahiran tidak cukup bulan akan dapat dikurangkan. Begitu juga wanita-wanita yang mengalami keguguran yang berulangkali sebanyak lebih daripada 2 kali, mereka perlu menjalani pemeriksaan dan penyiasatan untuk mengenalpasti punca keguguran tersebut. Jika punca keguguran ini dapat dikesan dan dirawat sebelum mereka hamil, maka mereka mempunyai peluang yang lebih cerah untuk menimang cahaya mata pada kehamilan yang akan datang.

Terdapat juga golongan-golongan tertentu yang memerlukan perhatian khusus sebelum mereka berusaha untuk hamil. Wanita yang mengalami kecacatan ataupun ketidakupayaan seperti kecacatan tulang pelvis, kehilangan anggotan badan dan lain-lain perlu mendapat kaunseling dan nasihat terlebih dahulu supaya mereka dapat menyediakan diri di peringkat yang lebih awal sebelum hamil. Mereka juga akan mendapat maklumat mengenai apakah masalah dan komplikasi yang bakal dihadapi jika mereka hamil. Terdapat juga pesakit kanser yang berhajat untuk hamil. Ini adalah pesakit kanser yang sudah sembuh daripada rawatan. Mereka perlu diberikan maklumat berkenaan dengan kesan rawatan ke atas organ peranakan dan juga benih. Ada rawatan kanser yang menyebabkan mereka sukar hamil ataupun putus haid pada usia yang lebih muda. Walau bagaimanapun, terdapat juga pesakit kanser yang mudah untuk hamil tetapi kehamilan yang berlaku terlalu awal akan mendedahkan wanita ini kepada risiko kehamilan termasuk anak yang tidak cukup bulan dan terencat tumbesaran.

Penjagaan pra-kehamilan juga merangkumi pendidikan ke atas suami kerana ada tabiat-tabiat suami boleh mempengaruhi kesihatan isteri dan anak seperti merokok, melakukan aktiviti seks rambang sehingga dijangkiti penyakit bawaan seks, suami yang menghidap penyakit AIDs dan lain-lain lagi. Begitu juga dengan status kesihatan mental suami yang boleh memberi impak ke atas keluarga keseluruhannya. Maka penjagaan pra-kehamilan dianggap tidak lengkap jika hanya menumpukan perhatian kepada kaum wanita semata-mata.

KESIMPULAN

Penjagaan pra-kehamilan adalah salah satu komponen penjagaan kesihatan yang sangat penting bagi memastikan seseorang wanita yang merancang untuk hamil berada di dalam keadaan kesihatan yang optima apabila mereka hamil kelak. Komplikasi kehamilan dan kelahiran sangat bergantung kepada status kesihatan wanita sebelum hamil. Wanita yang tidak sihat sebelum hamil bakal menghadapi masalah ketika hamil dan ketika melahirkan anak. Kajian telah membuktikan bahawa penjagaan pra-kehamilan yang optima akan mengurangkan risiko kepada ibu dan anak ketika hamil. Penjagaan pra-kehamilan merangkumi kesihatan fizikal dan juga kesihatan mental kerana kedua-duanya sangat penting serta boleh menentukan samada kehamilan berjalan dengan baik sehingga kedua-dua ibu dan anak yang dilahirkan akan berada di dalam keadaan yang sihat.

RUJUKAN

1.      Cefalo RC, Moos MK. Preconceptional health care: A practical guide. St.Louis:Mosby,1995
2.      Allaire AD, Cefalo RC. Preconceptional health care model. European J of O&G and Reprod Bio. 1998;78:163-168
3.      Jack BW, Atrash H, Bickmore T, Johnson K. The future of preconception care. A Clinical Perspective. Women’s Health Issues .2008;18S:S19-S25
4.      Jack BW, Atrash H, Coonrod DV, et al. The clinical content of preconception care: an overview and preparation of this supplement. Americal J of O&G, Dec 2008; S266-S278.
5.      Miodovnik M, Rosenn B, Combs CA, Khoury J, Siddiqi TA. Pre-conception management of insulin-dependent diabetes: improvement of pregnancy outcome. Obstet Gynecol;1991; 77:846-849.




TIDAK DIBENARKAN SESIAPA MENGAMBIL ISI KANDUNGAN RENCANA INI DAN DISIARKAN DI DALAM APA BENTUK PENYIARAN TANPA KEBENARAN PENULIS.

Comments