Sunday, 1 March 2020

VAKSIN UNTUK ORANG DEWASA


Program imunisasi kebangsaan yang dijalankan oleh kerajaan sekarang ini mensasarkan bayi dan kanak-kanak. Kanak-kanak lebih mudah dijangkiti dan apabila dijangkiti penyakit, ketahanan badan mereka tidak sekuat orang dewasa. Maka program imunisasi bayi dan kanak-kanak ini mengurangakan kadar jangkitan, kecacatan dan kematian pada usia muda. Ia juga memberi manfaat jangka panjang. Negara kita mempunyai jadual program imunisasi kanak-kanak yang lengkap dan sistematik. Walau bagaimanapun amalan mengambil vaksin dalam kalangan orang dewasa/warga emas masih terhad.

Di samping program imunisasi kebangsaan di atas, vaksin juga bermanfaant ke atas orang dewasa. Di negara-negara maju, semakin ramai orang dewasa mengambil vaksin untuk mencegah jangkitan penyakit dan terdapat bukti yang vaksin dapat memanjangkan hayat mereka, terutama golongan tua/warga emas. Seperti juga kanak-kanak, orang tua juga mempunyai ketahanan badan yang lebih rendah dan mereka lebih mudah dijangkiti dan jika dijangkiti, lebih sukar untuk sembuh berbanding dengan orang yang lebih muda. Orang yang lebih tua juga seringkali menghidap penyakit kronik seperti diabetes yang meningkatkan risiko jangkitan penyakit. Orang yang lebih tua seringkali mengalami masalah kesihatan lain seperti penyakit paru-paru, sakit jantung dan lain-lain organ badan, jika mereka dijangkiti penyakit, kadar kerosakan organ dan kematian adalah lebih tinggi. Maka salah satu langkah meningkatkan ketahanan badan adalah melalui pengambilan vaksin.

Di antara golongan-golongan dewasa yang disyorkan mengambil vaksin adalah:

1. Ibu-ibu yang hamil
2. Individu-individu yang hendak mengembara ataupun melawat negara-negara yang mempunyai masalah endemik jangkitan penyakit.
3. Pekerja-pekerja yang melakukan kerja berisiko untuk dijangkiti oleh penyakit berjangkit.
4. Orang tua/warga emas
5. Pencegahan kepada penyakit-penyakit berjangkit bermusim
6. Pendatang asing
7. Pengendali makanan

Vaksin yang diambil oleh golongan dewasa dapat mengurangkan risiko jangkitan ke atas diri sendiri dan orang lain. Mereka yang menerima vaksin juga boleh menjadi lebih produktif dan mengurangkan perbelanjaan untuk tujuan merawat penyakit. Mereka juga lebih selamat apabila mengembara dan tidak membawa pulang penyakit berjangkit daripada negara luar (contohnya vaksin meningococcal, pneumococcal dan influenza untuk jemaah haji). Ibu-ibu hamil yang sudah menerima vaksin juga mempunyai risiko yang lebih rendah untuk menjangkitkan bayi di dalam kandungan, manakala vaksin tetanus yang diberikan kepada ibu dapat mencegah penyakit kancing gigi selepas melahirkan anak. Orang dewasa yang tidak mengambil vaksin semasa kanak-kanak masih berpeluang untuk mencegah jangkitan penyakit tersebut.

Pengendali makanan juga diwajibkan melakukan pemeriksaan kesihatan dan mengambil vaksin tifoid sebelum mereka dibenarkan mengendalikan makanan. Ini dapat mengurangkan risiko jangkitan penyakit berjangkit kepada orang ramai.

Ada juga vaksin-vaksin orang dewasa yang merupakan kesinambungan daripada vaksin yang diberikan ke atas bayi dan kanak-kanak, contohnya vaksin tetanus/difteria/pertussis yang perlu diulang setiap 10 tahun. Lain-lain jenis vaksin untuk orang dewasa adalah vaksin influenza, vaksin varicella, vaksin HPV, vaksin Zoster (kayap), vaksin pneumococcal, vaksin meningococcal, vaksin hepatitis A, Vaksin hepatitis B, vaksin Haemophilus influenza, vaksin tifoid, vaksin anjing gila (rabies) dan lain-lain. Jadual imunisasi orang dewasa yang dikepilkan di bawah adalah dikeluarkan oleh CDC Amerika Syarikat. Jadual vaksin sesebuah negara perlu sesuai dengan jenis penyakit berjangkit yang berlaku di negara tersebut.

Dato' Dr. Mohd Rushdan Md Noor
26hb Okt 2018

No comments:

Post a Comment